Tuesday, February 22, 2011

Risaukan keselamatan penumpang


SULTAN JOHOR menunjukkan isyarat bagus sebelum memandu tren dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur semalam.


GEMAS - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berangkat untuk menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-223 bermula esok dengan memandu sendiri tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dari Johor Bahru ke ibu negara semalam.

Sepanjang perjalanan tersebut, baginda risau tentang keselamatan 350 penumpang yang menaiki kereta api Ekspres Rakyat dari stesen JB Sentral di Johor Bahru ke stesen KL Sentral di Kuala Lumpur.

Bagi Sultan Johor, keselamatan penumpang adalah satu keutamaan, justeru baginda khuatir perkara tidak diingini mungkin berlaku sepanjang perjalanan.

"Saya takut-takut bawa kereta api ini kalau malang tidak berbau. Jika apa-apa terjadi pada saya tidak mengapa, jangan 350 orang penumpang yang lain.

"Apa yang saya tahu kereta api ekspres perlu tepat pada masanya dan dalam perjalanan kereta api ini berhenti di 13 stesen.

"Saya perlu memastikan tiada masalah berlaku sepanjang tempoh saya mengendalikan kereta api ini," titah baginda pada sidang akhbar di Stesen Kereta Api Gemas, Negeri Sembilan di sini semalam.

Ia merupakan kali kedua Sultan Ibrahim memandu kereta api penumpang selepas menerima lesen memandu Kereta Api Berkuasa Tinggi Kelas 26 pada Program Kembara Mahkota Johor tahun lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: