Tuesday, February 22, 2011

Elak pengajian tertangguh


ADA pelajar yang dibawa pulang dari Mesir baru-baru ini terpaksa kembali ke sana dalam tempoh terdekat bagi mengelak mereka dipaksa mengambil pengajian semula. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Pelajar Malaysia yang menuntut di Mesir mengharapkan supaya perbincangan antara kerajaan negara ini dengan pihak universiti di sana dapat dipercepatkan bagi mengelakkan mereka terpaksa mengambil semula pengajian dari awal.

Pelajar Tahun Satu Fakulti Pergigian Universiti Al-Azhar, Abir Yasmin Mohamed Al berkata, dia telah dimaklumkan oleh pihak universiti supaya mendaftar kembali selewat-lewatnya pada awal Mac ini dan kegagalan berbuat demikian akan memberi kesan kepada pengajiannya.

"Sepatutnya kami kena daftar pada Jumaat ini (26 Februari) tetapi pihak universiti telah beri kelonggaran sehingga dua minggu selepas tarikh itu dan tidak akan tunggu pelajar Malaysia untuk mulakan pengajian.

"Ini akan memberi kesan kepada pelajar Malaysia kerana terpaksa mengambil semula pengajian dari awal sekiranya tidak daftar pada hari ditetapkan," katanya selepas muncul dalam rancangan Hello Malaysia terbitan Bernama TV di sini semalam.

Menurut Abir Yasmin, jika terpaksa mengambil semula pengajian, ia akan membebankan kerana dia menggunakan duit sendiri bagi membayar yuran pengajian sebanyak RM24,292 (AS$8,000) setahun.

Katanya, dia terpaksa membayar jumlah sama sekali lagi jika gagal mendaftar seperti yang ditetapkan oleh universiti.

Dia menjelaskan, jika kerajaan Malaysia dengan pihak universiti belum mencapai persetujuan, dia terpaksa mengambil keputusan kembali ke Mesir kerana tidak mahu menanggung kerugian akibat kelewatan itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: