|
|
PANTAI berlumpur Kampung Kuala Sala yang terletak kira-kira 20 kilometer dari bandar Alor Setar, Kedah yang biasanya sunyi, kini menjadi tumpuan ramai.
Kelibat sekumpulan wanita dan beberapa lelaki secara bersendirian terbongkok-bongkok mengorek sesuatu dari lumpur jelas kelihatan. Begitu juga beberapa pengunjung yang bermotosikal dan berkereta sabar menunggu di bahu jalan yang diturap dengan batu kerikil dan tanah merah.
Semua itu gara-gara ingin mendapatkan mentarang, sejenis siput yang hidup di kawasan berlumpur dan ‘dituai’ pada musim tertentu.
Dengan tangan membawa sekeping kayu yang dijadikan ‘pencedok’ untuk mencungkil lumpur sebelum butiran mentarang boleh dikutip. Mereka memakai sarung tangan getah untuk melindungi jari daripada terluka akibat cengkerangnya yang tajam. Di sisi mereka terdapat bekas plastik atau tong yang digunakan untuk menyimpan mentarang yang telah dikutip.
Dengan penuh sabar mereka mengorek lumpur dan mengutip hidupan tersebut satu persatu walaupun diri dipanggang matahari hampir tegak di atas kepala.
Beberapa pengunjung yang ingin mendapatkan mentarang segar pula setia menanti di pinggir jalan, menunggu mana-mana pengorek yang bermurah hati untuk menjual hasil mereka secara pukal.
Jika bernasib baik, mentarang segar yang masih diliputi lumpur berwarna hitam dapat dibawa pulang pada harga yang sangat berpatutan.
Jika bukan rezeki sekali pun, sekurang-kurangnya melihat si pencari mentarang sudah memberi satu pengalaman tersendiri dan mungkin boleh cuba di lain kali.
Bercerita mengenai mentarang, pasti ramai yang tidak mengenali siput jenis itu. Bukan sahaja ada yang tidak pernah mendengar, melihatnya pula jauh sekali. Berlainan dengan kerang, lala atau kepah yang mudah didapati di mana-mana.
Siput mentarang merupakan sejenis haiwan bercengkerang yang boleh dimakan. Ia mempunyai kulit yang nipis dan biasanya lebih menggemari air yang mempunyai suhu rendah.
Mentarang hanya boleh ditemui di pantai yang berselut sahaja seperti di Perlis, Kedah atau Pantai Sabak, Selangor dan biasanya ia dikutip semasa air surut.
Menurut salah seorang pencari mentarang, Mohamad Said Ariffin, 62, mentarang mudah diperolehi dengan banyak pada musim tertentu seperti sekitar bulan Januari hingga Februari.
“Orang kampung kata musim timur. Tak tahu juga kenapa, tapi ini mungkin disebabkan keadaan cuaca yang panas dan sesuai untuk pembiakan mentarang,” katanya yang merupakan anak jati kampung itu.
Dia yang telah lebih 30 tahun mencari rezeki dengan mengutip haiwan itu berkata, habitat mentarang mudah dikesan melalui lubang-lubang udara pada lumpur.
Tambahnya lagi, ketika air surut sebelum tengah hari adalah waktu yang paling sesuai kerana lubang tersebut jelas kelihatan.
“Mentarang boleh hidup di luar lumpur sehingga dua atau tiga hari, dengan syarat ia masih berlumpur atau disiram air laut dan tidak terkena air paip,” katanya.
Mentarang enak dimasak berkuah dengan serai, ditumis cili atau dibuat gulai lemak bersama nenas atau pisang. Walaupun sukar untuk membersihkannya kerana keadaan yang berselut, keenakan rasa isi yang manis menyebabkan ramai tertunggu dan sanggup memandu jauh untuk mendapatkan hidupan itu. Di pasaran, mentarang dijual antara RM6 hingga RM8 setiap kilogram.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: