Sunday, February 20, 2011

Perjelas 1Malaysia di Jordan


Salah seorang pelajar bertanya kepada ahli panel pada kursus Bina Minda 1Malaysia di Amman, Jordan, baru-baru ini .


Perkembangan mutakhir di Mesir dan Tunisia adalah manifestasi perasaan jutaan rakyat terhadap penindasan dan ketidakadilan sosioekonomi.

Kadar pengangguran yang tinggi, kenaikan harga barang harian dan pendapatan yang tidak meningkat membangkitkan kemarahan sehingga mencetuskan protes secara besar-besaran.

Ramai pemuda Mesir dilaporkan masih bujang kerana tidak mampu menyediakan mas kahwin yang tinggi memilih untuk melepaskan geram dalam cara yang ganas.

Kebencian kepada pemerintahan, jurang pendapatan antara kelas dan kerenah birokrasi mengeruhkan lagi situasi tegang di negara tersebut.

Barangkali, itu antara faktor pencetus kepada gerakan antikerajaan sehingga membawa kepada jatuhnya Presiden Mesir, Hosni Mubarak, 12 Februari lalu.

Ini adalah satu peringatan kepada kita di Malaysia. Kerana itu di negara kita, rakyat tetap didahulukan. Sejak kerajaan pimpinan Tunku Abdul Rahman sehingga sekarang, banyak dasar politik, ekonomi dan sosial yang digubal berdasarkan input orang ramai bertujuan memajukan rakyat dan membangunkan negara.

Dasar Ekonomi Baru yang dilaksana bermula era Tun Abdul Razak telah mengubah landskap politik dan sosio-ekonomi negara. Walaupun dikritik pelaksanaannya dalam beberapa aspek, semua pihak bersetuju bahawa impaknya terhadap penyusunan semula masyarakat dan ekonomi negara telah mewujudkan perpaduan dan menstabilkan negara.

Ini diikuti Wawasan 2020, Dasar Wawasan Negara dan Dasar Pembangunan Nasional, dan dilaksana serentak dengan rancangan-rancangan pembangunan lima tahun. Kesemua bertujuan memantapkan kedudukan ekonomi dan bermatlamatkan perpaduan kaum.

Di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, program-program transformasi politik, sosial dan ekonomi telah digubal dan sedang dilaksanakan di bawah naungan gagasan 1Malaysia dengan slogan ‘Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’.

Baru-baru ini, satu rombongan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dihantar ke Jordan untuk bertemu, mendengar dan memberi penerangan kepada pelajar-pelajar Malaysia di sana.

Diketuai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim, rombongan itu disertai pegawai-pegawai kanan agensi, tokoh akademik dan profesional serta ahli korporat.

Menurut beliau, lawatan dilakukan atas permintaan para pelajar yang mengirim e-mel untuk mendapatkan maklumat terkini isu-isu semasa dan penerangan jelas mengenai gagasan 1Malaysia.

Untuk tujuan itu, satu kursus Bina Minda 1Malaysia diadakan di Amman, Jordan yang dihadiri ratusan pelajar. Hadir sama ialah Duta Besar Malaysia ke Jordan, Datuk Abdul Malek Abdul Aziz dan Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di sana, Sulaiman Ismail.

Dr. Mashitah semasa membentangkan kertas kerja bertajuk Graduan Harapan: Menangani Isu-Isu Semasa berkata, adalah penting para pelajar Malaysia di luar negara memahami dan menjiwai gagasan 1Malaysia.

Ia boleh membakar semangat mereka untuk mencurah bakti kepada masyarakat dan sama-sama menjayakan matlamat negara.

Beliau memuji pelajar yang patriotik dan bersemangat mengharumkan nama negara melalui pencapaian peribadi dan akademik mereka.

Dr. Mashitah menasihati para penuntut agar belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya dan pulang menabur bakti kepada negara.

Turut membentang kertas kerja ialah Prof. Datuk Dr. Mohd. Yusuf Othman (Transformasi: Faktor Utama Kejayaan 1Malaysia dan Hak dan Tanggungjawab Pemimpin dan Rakyat’), Prof Dr. Redzuan Othman (Masyarakat Melayu Dalam Gagasan 1Malaysia dan Peranan dan Harapan Pelajar Timur Tengah Selaku Ulama), Zainul Rijal Abu Bakar (Gagasan 1Malaysia Daripada Sudut Perundangan Islam) dan Datuk Md. Sharif Shamsudin (Kongsi Rahsia Jadi Jutawan Berjaya’).

Penutup kursus dua hari pada 24 Dis 2010 itu dilakukan oleh Dr. Mashitah. Beliau turut menyampaikan sijil kepada semua peserta kursus.

Atas sambutan baik di Jordan serta permohonan persatuan-persatuan pelajar Malaysia di Jepun, Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat, Dr. Mashitah berkata, lebih banyak rombongan akan dihantar menemui pelajar-pelajar pada masa depan.

“Usaha mengadakan kursus sebegini bukan sahaja satu sokongan kepada gagasan 1Malaysia malah bertujuan menjawab maklum balas bahawa penuntut kita masih keliru mengenainya.

“Diharap usaha ini dapat menyumbang kepada pembentukan warganegara yang lebih patriotik dan bersungguh-sungguh menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya yang turut melawat Institut Wasatiyyah di Murtada, Jordan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: