Thursday, February 17, 2011

Remy, Maya tiada cinta




MEMANG sejak hari pertama angin kencang yang membawa khabar Remy Ishak dan Maya Karin bercinta, kedua-duanya menentang keras gosip tersebut. Bagi Remy dan Maya, tali yang terikat antara mereka hanya bersimpul atas dasar pelakon profesional. Tidak lebih daripada itu.

Keintiman yang terbit antara mereka hanya untuk menjiwai teater Natrah. Namun ia disalah tafsir lantas menjadi satu gosip yang tiada berpenghujung. Sehingga akhir tahun lalu, Remy mula dikaitkan dengan 'isteri'nya dalam Nur Kasih, Tiz Zaqyah dan Maya sendiri rapat dengan salah seorang trio KRU, Yusry Abdul Halim.

Maka lenyaplah kisah cinta dongeng antara Remy dan Maya. Namun kini nampaknya 'api cinta' mereka bagai bersemarak semula. Malah kedua-duanya langsung tidak menafikan hal tersebut. Tetapi kata mereka, api cinta yang menyala itu hanya untuk sebuah naskhah filem bernama Cun!.

Dalam filem arahan Osman Ali itulah mereka merasa erti cinta seperti yang dihebohkan khalayak sebelum ini.

Maya yang membawakan watak gadis desa bernama Luna Latisya dalam filem tersebut meluahkan rasa terujanya memandangkan watak yang dilakonkan kali ini agak berbeza dengan watak-watak sebelumnya.

"Secara ringkasnya, Luna adalah seorang pengacara rancangan gosip yang berjaya dalam industri hiburan tanah air. Kemudian telah berlaku satu insiden sehingga menyebabkan dia lari ke sebuah kampung.

"Apa yang menariknya, watak yang saya lakonkan dalam filem ini tidaklah terlalu gedik seperti dalam Pisau Cukur dan lawak yang dilakukan juga tidak slapstik," ujarnya yang mengakui cukup selektif memilih tawaran berlakon.

Tambah Maya, jika sebelum ini dia sering melakonkan watak-watak yang berakhir dengan kesedihan seperti kehilangan insan yang tersayang atau cinta yang tidak kesampaian, kali ini dia dapat merasakan satu kepuasan dalam filem tersebut.

Ujarnya, selain menganggap watak yang dimainkannya itu satu cabaran baru, dia turut gembira kerana jalan cerita filem itu berakhir dengan penamat yang menggembirakan setelah berjaya memiliki lelaki idamannya.

Mengenai pengalaman menarik yang dilalui sepanjang penggambaran, Maya menceritakan apa yang paling tidak dapat dilupakan adalah babak yang memerlukannya menunggang seekor kerbau.

"Bayangkan kerbau yang saya harus tunggang itu bersaiz besar dan memiliki tanduk yang panjang. Perasaan takut memang ada kerana takut ditanduk, tetapi itu adalah antara pengalaman yang paling menyeronokkan.


REMY tidak kekok menyuap makanan untuk Maya.


"Selain itu, saya berasa sangat seronok sepanjang tiga minggu berada di Alor Star, Kedah. Memang pada masa itu saya rasa tenang kerana dapat lari daripada kesibukan kota," ujarnya.

Remy yang memainkan watak sebagai Atan pula memberitahu bahawa pada asalnya dia tidak dapat berlakon dalam filem arahan Osman Ali tersebut kerana sudah terikat dengan beberapa projek lain.

"Mulanya saya terpaksa menolak tawaran yang diberikan kerana saya terlalu sibuk. Jadual lakonan saya pada masa itu memang padat dan saya risau tidak dapat memberikan komitmen sekiranya menerima tawaran tersebut.

"Kemudian saya dapat tahu projek untuk menghasilkan filem tersebut telah ditunda. Mungkin sudah menjadi rezeki saya apabila ditawarkan sekali lagi setelah melihat gandingan mantap saya bersama Maya dalam teater Natrah," ujarnya.

Tambah Remy, sepanjang berlakon dalam filem itu dia tidak berhadapan dengan masalah yang besar terutama untuk membentuk keserasian bersama Maya kerana pernah berlakon bersama-sama.

Biarpun watak sebagai Atan memerlukannya bercakap menggunakan loghat utara, namun dia tidak tidak berdepan kesukaran kerana pernah bersekolah di Kedah selama sembilan tahun sebelum ini.

"Apa yang mencabar adalah untuk membentuk karakter Atan dalam filem Cun!. Lagipun ini adalah percubaan pertama saya berlakon dalam filem bercorak komedi setelah sering diberikan watak serius," ujarnya.

Keluar topik tentang pengalaman berlakon dalam Cun!, Maya yang ditanya tentang kesediaannya untuk kembali berkahwin pantas memberitahu dia belum bersedia untuk hidup berumah tangga semula.

Namun duta produk Innershine ini tidak menafikan dia menjadi buruan ramai lelaki yang ingin cuba mengisi kekosongan hatinya itu.

Maya belum sedia

"Bohonglah kalau saya cakap tidak ada lelaki yang cuba mendekati saya. Memang ada yang mengajak untuk menjalinkan hubungan yang lebih serius, tetapi saya menolak dengan cara baik.

"Saya akan berterus-terang dengan mereka dan memberitahu yang saya masih belum bersedia lagi. Buat masa ini saya ingin lebih fokus kepada kerjaya sahaja," ujarnya.

Menurutnya lagi, ketika ini dia sedang berdebar menantikan kelahiran album terbarunya selepas kali terakhir menghasilkan album kira-kira tujuh tahun yang lalu.

Ujarnya lagi, komposer yang terbabit dalam pembikinan albumnya itu ialah Audi Mok dan Azlan Abu Hassan. Lebih istimewa, ada di antara lagu-lagu dalam album berkenaan yang menceritakan tentang kisah hidup dirinya.


SERASI bersama. Maya dan Remy intim seperti pasangan kekasih.


"Kalau boleh saya tidak mahu bercerita dengan lebih lanjut tentang album ini. Segalanya tentang album berkenaan akan saya ceritakan pada majlis pelancarannya nanti," ujarnya yang enggan mengulas lanjut.

Remy tak cinta Tiz

Kesempatan bercakap tentang kisah peribadi juga diajukan kepada Remy yang cukup sukar ditemui lewat kebelakangan ini kerana jadual kerjanya yang cukup padat.

Tentulah topik yang dilontar adalah tentang hubungan intimnya dengan Tiz Zaqyah.

Tidak mahu hubungannya terus menjadi teka-teki di kalangan para peminat, Remy akhirnya bersedia membuat kenyataan setelah dilihat lebih banyak berdiam diri apabila kontroversi mengenai dirinya timbul.

"Rasanya ramai pihak yang sudah salah erti mengenai hubungan saya dan Tiz. Sebenarnya hubungan kami memang baik sebagai kawan dan tidak dinafikan kami memang pernah keluar bersama dengan rakan-rakan lain.

"Cerita saya dan Tiz tinggal serumah adalah tidak benar sama sekali. Mungkin cerita ini timbul apabila melihat kami berdua membeli barangan kelengkapan rumah di Ikea, sedangkan kami beli barang rumah masing-masing," terangnya.

Jelas Remy lagi, apa yang lebih mengejutkannya apabila ada yang membuat cerita kononnya Tiz sanggup terbang ke Terengganu semata-mata untuk bertemu dengannya yang sedang menjalani penggambaran di negeri tersebut.

Menurut pelakon yang semakin meningkat naik itu, memang dia sengaja mengambil sikap untuk berdiam diri sahaja apabila timbul pelbagai cerita negatif yang membabitkan dirinya.

Menurutnya, dia sebenarnya memang malas untuk memberi sebarang komen kerana merasakan tidak perlu sebarang kisah peribadinya diceritakan kepada semua orang.

"Dahulu bila saya keluar dengan ramai kawan-kawan lelaki ada yang menuduh saya seorang gay. Sekarang ini bila saya keluar dengan rakan wanita, orang kata saya kaki perempuan pula.

"Selama ini saya tidak pernah membataskan pergaulan dan berkawan dengan sesiapa sahaja. Kalau berkawan dengan seseorang artis itu, saya tidak berkawan semasa berada lokasi penggambaran sahaja tetapi termasuk di luar lokasi," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: