Wednesday, February 23, 2011

Perabot Malaysia bertaraf dunia


KIRI: Pameran perabot adalah peluang yang baik untuk pengusaha perabot tempatan mempamerkan produk mereka.


MALAYSIA sebenarnya menghasilkan perabot berkualiti untuk dieksport. Namun, rakyatnya berbelanja secara purata hanya RM120 setahun untuk membeli perabot, kata Pengarah Urusan Pameran Perabot Antarabangsa Malaysia (MIFF), Datuk Dr. Tan Chin Huat. Sebaliknya, penduduk Eropah rata-rata membelanjakan 400 euro (RM1,660) manakala rakyat Amerika Syarikat (AS) secara puratanya melabur AS$300 (RM910) setahun untuk membeli perabot

“Perabot di Malaysia sebenarnya murah. Kita boleh membeli sejenis perabot pada harga RM1,000 dan produk yang sama dijual pada harga RM1,600 di Taiwan dan RM2,500 di Hong Kong

“Namun masih ramai rakyat Malaysia yang gemar membeli perabot buatan luar negara. Tidak hairanlah ramai pengeluar perabot tempatan terpaksa mengeksport,” katanya dalam satu temu bual sempena MIFF ke-17 Mac ini.

Turut hadir ketika temu bual itu ialah Pengarah Urusan MIECO Manufacturing, Datuk Yong Seng Yeow dan Ketua Pengarah Eksekutif Jemaramas Jaya Sdn. Bhd., Roland Law.

Chin Huat berkata, hampir 85 peratus daripada perabotnya dieksport ke luar negara.

Statistik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menunjukkan, Amerika Syarikat (AS) adalah pengimport terbesar perabot buatan Malaysia. Jumlah eksport perabot ke negara itu adalah RM1,982.7 juta pada bulan Januari hingga Oktober tahun lalu. Ini diikuti Jepun, RM573 juta, Singapura, RM477 juta dan United Kingdom, RM407 juta.

Pasaran tertinggi eksport Malaysia bagi tempoh yang sama ialah Australia, Kanada, Emiriah Arab Bersatu (UAE), India, Arab Saudi dan Jerman.

Tan mengakui kebanyakan negara dalam pasaran eksport tertingginya adalah negara Barat. Namun beliau merasakan pasaran Asia juga harus diteroka.

Peluang pekerjaan

“Secara tradisinya negara-negara Asia lebih suka mengeksport perabot ke Barat. Jarang sekali mereka cuba memasarkan ke negara-negara jiran walaupun sebenarnya ada potensi yang baik.

“China mempunyai 1.3 bilion penduduk, India pula mencecah lebih satu billion. Di samping itu, populasi rantau ASEAN mencecah kira-kira 550 juta orang.” Beliau menggesa industri itu agar meneroka pasaran seumpamanya hingga ke Rusia.

“Saya berpendapat ada potensi pasaran yang bagus di sana,” katanya.

Bulan lalu, Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (Mida) mengumumkan ia telah meluluskan 42 projek industri yang membuka 5,163 peluang pekerjaan. Sebanyak RM218 juta pelaburan domestik dan RM241.2 pelaburan asing telah dilaburkan bagi projek berkenaan. Daripada jumlah itu, RM443 juta untuk industri perabot.

Sementara itu, Seng Yeow berkata, industri perabot tempatan dapat menandingi saingan luar negara kerana kualiti, jaminan dan harga yang kompetitif produknya.

“Kami terkenal pun kerananya,” katanya. Malaysia adalah pengeksport perabot kesembilan di dunia.

Industri itu telah banyak berubah di samping mengalami pelbagai cabaran sejak ia bertapak tiga dekad lalu. Selain krisis ekonomi dunia yang memberi kesan mendalam kepada industri, ia terpaksa berhadapan dengan cabaran yang tidak wujud beberapa dekad lepas.


PENGELUAR perabot di Malaysia terpaksa mengeksport produk mereka ekoran rakyat Malaysia yang gemar membeli produk luar negara.


Contohnya, bagaimanakah ia harus menangani kekurangan kayu-kayan berkualiti dan kenaikan harga barang mentah seperti besi?

Ia bukan saja masalah tempatan malah masalah global. Semuanya bergantung kepada kecekapan industri berubah mengikut keadaan semasa.

“Sememangnya sumber kayu-kayan berkualiti makin berkurangan. Tetapi kita kini ada pilihan bahan alternatif yang mesra alam.” Seng Yeow sendiri terlibat dalam perniagaan kitar semula bahan buangan industri untuk mengeluarkan produk mesra alam seperti kayu papan dan chipboard keluaran syarikat MIECO.

“Saya ni seperti pengumpul bahan kitar semula. Apa sahaja yang orang buang, saya akan ambil. Ini termasuklah kayu lebihan dari kilang atau batang pokok. Jadi bahan-bahan saya bolehlah dikatakan sebagai hijau. Hari ini kita dapat menghasilkan sebuah kerusi yang kukuh dan selesa menggunakan sedikit kayu berbanding dahulu. Kualitinya tetap bagus.”

Pendekatan hijau

Katanya, tahap kecekapan industri itu berubah dari segi bahan, reka bentuk dan pemasaran bagi memastikan kesinambungan hayatnya dalam industri.

Menggunakan pendekatan hijau juga sebahagian daripada mengikuti arus peredaran zaman.

“Pengeluar tempatan sememangnya sedang menuju ke arah itu. Kerajaan juga memainkan peranan penting dengan mengawal penebangan hutan.” Kata Chin Huat, permintaan pasaran juga memainkan peranan.

Kini lebih banyak permintaan untuk perabot yang dihasilkan dengan cara mesra alam. Pendekatan hijau itu bukan sahaja bermaksud menggunakan bahan hijau untuk menghasilkan perabot, tetapi kaedah pembungkusan juga diambil kira.

Misalnya kalau kita hendak mengeksport ke Jepun, kita tidak boleh membungkus produk kita dengan plastik kerana ia memudaratkan alam sekitar. Jadi kita kena pastikan bahan pembungkusan juga adalah hijau.

Mengenai MIFF 2011, Chin Huat berkata, ia adalah peluang yang baik untuk pengusaha perabot tempatan mempamerkan produk mereka pada harga yang rendah.

MIFF menyasarkan jualan eksport lebih daripada AS$755 juta (RM2.3 bilion) yang diperoleh pada pameran tahun lepas.

Lebih 15,000 pelawat hadir pada pameran tahun lepas yang kebanyakannya adalah dari Malaysia, rantau ASEAN, Eropah dan Timur Tengah.

MIFF tahun ini akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra dan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 1 hingga 5 Mac 2011.

1 comment:

  1. kks international-Amaken Sdn Bhd........................Hotel Furniture Supplier - Exp OF saudi arabian Hotel Furniture.

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: