Wednesday, February 23, 2011

Himpunan karya 28 pelukis


SEBAHAGIAN daripada barisan pelukis pameran Kami yang kini sedang berlangsung di Arti Gallery Desa Melawati.


KAMI, yang merujuk kepada barisan pelukis yang berhubungan erat antara satu sama lain tetapi hadir dalam tiga generasi berbeza, kini bersatu di Arti Gallery, Desa Melawati, Kuala Lumpur. Mereka berkolaborasi bersama karya lukisan masing-masing untuk tatapan umum sehingga 4 Mac depan.

Nama-nama pelukis tersohor seperti Amron Omar, Mad Anuar Ismail, Khalil Ibrahim, Rosli Mat, Rohaizad Shaari, Ahmad Fuad dan Bayu Utomo Radjikin sudah semestinya amat dikenali melalui kehebatan mereka menterjemah kehidupan dalam bentuk catan.

Amron, 54, yang tampil dengan siri Pertarungan menampilkan unsur kesenian tradisi Melayu dalam bahasa visual yang bersifat figuratif. Beliau yang merupakan bekas pensyarah Fakulti Seni Halus, Universiti Teknologi Mara (UiTM) kini adalah pelukis sepenuh masa.

"Tema pertarungan atau seni silat telah membentuk karya-karya lukisan saya sejak menceburi bidang ini pada tahun 80-an dan aktif sebagai pelukis dan pensyarah sambilan bermula tahun 90-an.


PELUKIS Rosli Mat memilih untuk memotretkan imej seorang wanita berusia emas dalam karyanya.


"Pemilihan tema pertarungan adalah kerana ia begitu dekat dengan latar belakang kehidupan saya yang dibesarkan di Alor Setar, Kedah. Pameran Kami hanya menampilkan sedikit karya daripada ribuan pertarungan yang saya zahirkan dalam bentuk catan," katanya ketika ditemui di Arti Gallery baru-baru ini.

Tidak dapat lari dengan tema alam sekitar, pelukis, Hushinaidi Abdul Hamid, 38 tampil dengan dua buah lukisan bertajuk Merenung arus dan Satu dikandung empat. Menurutnya yang merupakan anak jati Perlis, interpretasi lukisannya adalah manusia yang semakin jauh dengan alam iaitu realiti.

"Saya mahu membawa kesegaran alam melalui catan kerana ketika ini, manusia sudah semakin jauh dengan alam. Saya sendiri semakin jauh dengan tempat kelahiran saya. Justeru, saya ingin merasai kewujudan alam melalui lukisan-lukisan saya," jelasnya.

Sementara itu, Rohaizad Shaari mencabar dirinya dengan mengangkat latar kehidupannya sebagai bahan pengucapan karya yang diterjemahkan dalam bentuk catan cat air.

"Jika sebelum ini cat air dilukis di atas kertas, saya mencuba sesuatu yang baru dengan melukis di atas kanvas. Tema kehidupan yang tampil dalam imej kampung, persekitaran, kampung Melayu dan sawah padi sering menjadi pilihan saya untuk diterjemah menjadi karya," katanya yang tampil dengan lukisan bertajuk Arus Pembangunan.


BAYU UTOMO tampil lukisan bertajuk Terlerai.


Pelukis yang berasal dari Sabah, Samsuddin Lappo juga tidak dapat lari daripada tema figuratif dalam penghasilan karya-karyanya. Untuk pameran kali ini, dia tampil dengan lukisan bertajuk Sigar dan Sebiji Epal di Hujung Songkok.

"Saya percaya tubuh manusia adalah yang paling tepat untuk menceritakan mengenai manusia itu sendiri," jelasnya mengenai pemilihan konsep atau tema figuratif dalam karya-karyanya.

Sementara itu, Arti Fine Art Studio adalah merupakan sebuah galeri seni yang terletak di Desa Melawati, Kuala Lumpur dan ditubuhkan pada tahun 2010. Ia mempunyai pengalaman yang agak lama dalam dunia seni tampak Malaysia sebelum ini.

Galeri itu berperanan menyediakan platform kepada seniman tempatan dalam mempamerkan karya mereka, sekali gus memperkembangkan dunia seni tanah air. Karya seperti arca, catan, cetakan dan beberapa bentuk seni lain dapat dihayati di galeri itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: