Thursday, February 3, 2011

Pengiktirafan Khas Kepada Karyawan Penyiaran Terbaik 2010

Anugerah Seri Angkasa (ASA) merupakan sebuah anugerah berprestij karyawan penyiar tanahair yang diperkenalkan pada tahun 1972, iaitu tiga tahun selepas penggabungan Radio Malaysia dan TV Malaysia kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Daya tarikan utama penganugerahan ketika era tersebut ialah penerbitan drama dan hiburan dengan memperkenalkan beberapa kategori anugerah termasuk drama terbaik, pelakon drama lelaki dan wanita, penulisan skrip, pengacaraan, juruhebah radio serta penerbitan dokumentari terbaik.

Kategori lain yang turut diiktiraf adalah bahagian sokongan seperti audio, jurukamera, penyunting visual serta penataan cahaya walaupun ketika era itu penerbitan dibuat dalam hitam putih.

Penganugerahan ini diteruskan sehingga era TV warna pada tahun 1978 hingga awal tahun 2000 dan hanya dibuka penyertaannya kepada kakitangan dan penerbitan yang disiarkan menerusi RTM sahaja memandangkan anugerah ini dianjurkan atas inisiatif RTM.

Pada tahun 2004, Anugerah Seri Angkasa buat pertama kalinya membuka penyertaan kepada stesen-stesen swasta dalam usaha mewujudkan persaingan yang lebih sihat di kalangan karyawan industri penyiaran negara. Usaha ini diteruskan lagi pada penganjuran Anugerah Seri Angkasa 2006.

Bagi mengukuhkan lagi hubungan yang akrab serta semangat setiakawan di antara tiga peneraju utama stesen-stesen penyiaran negara masa kini; iaitu Radio Televisyen Malaysia (RTM) selaku stesen penyiaraan kerajaan, Media Prima Berhad (stesen penyiaran swasta) dan ASTRO (stesen penyiaran berbayar), maka Anugerah Seri Angkasa 2010 dianjurkan buat pertama kalinya oleh ketiga-tiga peneraju utama ini dengan kerjasama Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) selaku peneraju induk.

logo Anugerah ASA tahun ini

Gabungan Kerajaan Dan Swasta

Matlamat ASA 2010 ini diadakan sebagai pengiktirafan kerajaan kepada industri penyiaran di Malaysia selain menyuntik semangat para karyawan dan penyiar tempatan agar terus berjuang di persada industri penyiaran dan seni tanahair menerusi acara gilang-gemilang lagi berprestij.

ASA 2010 bakal diadakan selama dua hari berturut-turut iaitu pada 18 Februari 2011 (rakaman) dan 19 Februari 2011 (siaran langsung) bermula jam 8:30 malam dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur.

Siaran langsung boleh diikuti serentak menerusi TV1 (RTM), TV9 (Media Prima) dan Astro Prima (ASTRO).

Anugerah Seri Angkasa 2010 melibatkan kerjasama stesen-stesen penyiaran kerajaan dan swasta iaitu RTM, ASTRO, TV3, TV9, ntv7, 8TV, HotFm, Suria FM dan Sinar FM.

Dalam penganugerahan ini, karyawan dalam industri penyiaran yang diberi pengiktirafan termasuklah pengarah, penulis skrip, pengacara, pelakon, pelawak, dan ramai lagi. Anugerah ini diadakan bertujuan untuk menggalakkan persaingan yang sihat di kalangan penyiar dan karyawan agar dapat menerbit dan menghasilkan rancangan-rancangan TV dan radio yang lebih kreatif, berkesan dan bermutu untuk menarik lebih ramai penonton dan pendengar.

Membawa tema Dunia Penyiaran: Citra Budaya Malaysia, ASA 2010 berhasrat untuk mengetengahkan saluran radio dan televisyen sebagai saluran utama dalam menggambarkan perkembangan kemajuan warga Malaysia.

YB Dato Seri Utama Dr Rais Yatim dan Datuk Johan Jaffar di sidang media ASA 2010

53 Anugerah

Sebanyak 53 Anugerah dipertandingkan kali ini iaitu 34 Anugerah TV, 16 Anugerah Radio dan 3 Anugerah Khas merangkumi Anugerah Khas Juri TV, Anugerah Khas Juri Radio dan Anugerah Tokoh Seri Angkasa. Penerima anugerah bakal membawa pulang trofi dan sijil manakala dua penerima anugerah utama bagi kategori Pengarah Terbaik dan Drama Terbaik akan membawa pulang hadiah istimewa berupa lawatan khas ke Los Angeles.

Rancangan anugerah yang mengiktiraf pelbagai kategori untuk radio dan TV merupakan anugerah paling berprestij dalam bidang penyiaran. Penyertaan yang telah diterima adalah sejumlah 521 pencalonan, iaitu 198 bagi kategori radio dan 323 pencalonan bagi kategori TV.

Pencalonan Anugerah Seri Angkasa 2010 terbuka kepada rancangan-rancangan Radio/TV terbitan RTM, terbitan agensi-agensi di bawah Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, syarikat-syarikat swasta di Malaysia yang telah membekalkan rancangan-rancangan untuk siaran di RTM dan stesen-stesen swasta dalam tempoh 1 Jun 2009 hingga 31 Julai 2010.

Kategori pencalonan Anugerah Seri Angkasa 2010 dibahagikan kepada dua kategori iaitu Kategori Televisyen dan Kategori Radio.


Trofi berprestij ASA 2010 yang dinanti-nantikan

Senarai pencalonan Anugerah Seri Angkasa 2010

MALAM PERTAMA: 18 FEBRUARI 2011 (JUMAAT)


KATEGORI RADIO (18 FEBRUARI 2011)

1. Pengulas Radio Terbaik

2. Liputan Berita Radio Terbaik

3. Buletin Berita Radio Terbaik

4. Majalah Radio Terbaik

5. Rancangan Interaktif Radio Terbaik

6. Drama Radio Terbaik

7. Hiburan Radio Terbaik

8. Bicarawara Radio Terbaik

9. Skrip Drama Radio Terbaik

10. Pelakon Drama Radio Lelaki Terbaik

11. Pelakon Drama Radio Wanita Terbaik

12. Kapsul Radio Terbaik

13. Pengimbang Muzik Radio Terbaik

KATEGORI TV (18 FEBRUARI 2011)

1. Pelakon Pembantu Drama TV Lelaki Terbaik

2. Pelakon Pembantu Drama TV Wanita Terbaik

3. Pelakon Drama TV Kanak-Kanak Terbaik

4. Bicarawara TV Terbaik

5. Animasi tempatan TV Terbaik

6. Rancangan Kanak-Kanak TV Terbaik

7. Liputan Berita TV Terbaik

8. Laporan Khas Berita TV Terbaik

9. Wartawan TV Terbaik

10. Suntingan Rancangan TV Terbaik

11. Jurukamera TV Terbaik

12. Penataan Cahaya Penerbitan Hiburan TV

13. Rekaan Set TV Terbaik

14. Promo/Montaj/Teaser TV Terbaik

15. Audio Rancangan TV Terbaik

16. Pengimbangan Muzik TV Terbaik

17. Penerbitan Kapsul TV Terbaik

18. Rancangan dan Liputan Sukan Terbaik

MALAM KEDUA: 19 FEBRUARI 2011

KATEGORI RADIO (19 FEBRUARI 2011)

1. DJ Radio Lelaki Terbaik

2. DJ Radio Wanita Terbaik

3. Penyampai Berita Radio Terbaik

KATEGORI TV (19 FEBRUARI 2011)

1. Pengulas TV Terbaik

2. Pengacara TV Terbaik

3. Penyampai Berita TV Terbaik

4. Majalah TV Terbaik

5. Hiburan TV Muzikal Terbaik

6. Rancangan Realiti TV Terbaik

7. Candawara (Game Show) TV Terbaik

8. Komedi TV Terbaik

9. Pelakon Komedi TV Terbaik

10. Skrip Drama TV Terbaik

11. Pelakon lelaki Drama TV Terbaik

12. Pelakon Wanita Drama TV Terbaik

13. Pengarah Drama TV Terbaik

14. Drama TV Terbaik

15. Anugerah Tokoh Seri Angkasa

16. Anugerah Khas Juri Radio

17. Anugerah Khas Juri Televisyen

18. Dokumentari TV Terbaik

19. Buletin TV Terbaik

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: