Tuesday, February 15, 2011

Kreatif, yakin diri, berdisplin




PANTULAN imej beberapa remaja yang sedondon memakai kemeja-T hijau pucuk pisang di sebuah cermin besar memperlihatkan riak wajah yang berbeza. Masing-masing menonjolkan karakter tersendiri.

Emosi seperti marah, dendam dan sesekali berlelucon menghiasi bayangan diri mengikut watak yang dikehendaki. Apa yang pasti, mereka begitu bersemangat menjalani latihan di Studio Beringin pada petang Selasa lalu.

Remaja berkenaan turut menunjukkan beberapa aksi menarik melibatkan pergerakan anggota badan seperti menendang, melompat dan membuka bunga-bunga silat atau seni mempertahankan diri.

Selesai menjalani latihan fizikal, masing-masing mula mengambil tempat sambil bersantai di sebuah bangku kayu yang terletak sudut tepi studio. Sebuah gitar dicapai salah seorang daripada mereka.

Sebaik membetulkan posisi, masing-masing mula melontarkan vokal bertenaga menyanyikan lagu kumpulan Bumiputra Rockers (BPR) berjudul Dari Sinar Mata yang popular sekitar tahun 1980-an. Situasi itu menjadikan suasana di dalam studio gamat dengan suara mereka.

Begitulah antara rutin yang akan dijalani pelajar yang mengikuti kelas seni anjuran studio tersebut. Biasanya sesi latihan bermula selepas waktu pejabat dari pukul 6 hingga 10 malam.


KUMPULAN pelajar Studio Beringin mempamerkan bakat mereka dengan mendendangkan lagu Dari Sinar Mata.


Menurut Muhammad Syazwan Mohd. Hashim, 23, yang merupakan salah seorang tenaga pengajar bagi kelas lakonan dan teater di studio itu, dia seronok apabila melihat komitmen pelajar-pelajarnya.

"Kebanyakan mereka terdiri daripada pelajar sekolah menengah yang mahu mendalami ilmu berkaitan bidang seni termasuk lakonan di pentas teater.

"Walaupun langsung tidak mempunyai pengalaman dalam bidang ini, namun usaha yang mereka tunjukkan untuk belajar dan memperbaiki kelemahan diri wajar dipuji," kata Syazwan yang kini melanjutkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Teater (Lakonan) di Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (Aswara) itu.

Tambah anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu, menerusi kelas lakonan, ia mampu menjadikan seseorang itu berani menonjolkan diri di hadapan khalayak.

"Secara tidak langsung ia meningkatkan keyakinan diri mereka untuk berinteraksi dengan baik dan membuang perasaan malu yang dialami lantaran rasa rendah diri yang terlalu tinggi," ujarnya yang sering memberitahu pelajar bahawa lakonan adalah satu perkara yang sangat dekat dengan kehidupan manusia kerana kita juga adalah pelakon di pentas dunia.

Mula beroperasi sejak Januari 2010, Studio Beringin yang terletak di Wangsa Link, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, menawarkan pelbagai perkhidmatan yang bertemakan Kesenian dan Kebudayaan selaras dengan matlamat untuk melahirkan generasi yang kreatif dan mempunyai jati diri sebagai anak Malaysia.

Ini termasuklah kelas teater, lakonan, muzik, vokal, tarian dan seni visual. Studio itu dimiliki dan dikendalikan oleh pihak pengurusan Beringin Entertainment yang ditubuhkan pada Jun 2008.


STUDIO Beringin memberi peluang kepada Joosaidy berkarya dan mengekspresi diri.


Bagi pengasasnya, Joosaidy Johari, 39, cintanya yang terlalu mendalam terhadap bidang seni menyebabkan dia mengambil keputusan untuk menyediakan platform kepada mereka yang berminat terutama golongan remaja bagi mengasah bakat dalam diri.

Ekspresi diri

"Kewujudan studio ini secara tidak langsung membolehkan saya mengekspresi diri dalam berkarya dan berpeluang mendidik anak-anak muda menghayati nilai-nilai kesenian dengan cara betul.

"Setiap program atau kelas yang diadakan dikendalikan sepenuhnya oleh tenaga pengajar yang berpengalaman luas dan profesional dalam bidang ini.

"Malah, kami turut menyediakan rancangan pengajaran dan pembelajaran yang sistematik serta teratur yang dirangka khas bagi melahirkan pelajar yang berilmu dalam pendidikan kesenian dan kebudayaan," jelas Joosaidy yang merupakan pendidik di salah sebuah sekolah di Kuala Lumpur.

Tempoh pembelajaran setiap kelas adalah selama tiga bulan bagi melayakkan pelajar mendapatkan sijil asas mengikut tahap. Terdapat tiga tahap pembelajaran yang ditawarkan.

Menariknya, selepas menamatkan kelas atau program yang diminati dalam tempoh tersebut, setiap pelajar akan diberikan peluang bagi mengadakan persembahan untuk tontonan umum seperti persembahan teater dan sebagainya.


STUDIO Beringin adalah platform kepada mereka yang berminat mengasah bakat dalam diri.


Salah seorang pelajar, Mohamad Noor Mohd. Tahir, 16, memberitahu, penglibatannya dalam kelas kesenian anjuran Beringin Entertainment banyak memberi manfaat pada dirinya.

"Terus-terang saya katakan, saya memang tergolong sebagai pelajar yang agak nakal di sekolah. Tetapi, apabila menyertai kelas lakonan dan teater di sini, ia berjaya mendidik saya untuk menjadi seorang pelajar yang lebih berdisiplin.

"Melalui kelas teater juga, ia mampu membentuk kita mempercayai kebolehan diri untuk ditonjolkan di khalayak dan berusaha mencapai impian yang diimpikan," tutur pelajar tingkatan empat SMK Wangsa Melawati yang gemar mengungkapkan kata-kata puitis secara spontan ini.

Untuk maklumat lanjut mengenai Studio Beringin, layari laman web http://beringinentertainment.blogspot.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: