Tuesday, February 15, 2011

Samsudin berdikari selepas nenek meninggal


SAMSUDIN dan air mempunyai perkaitan yang sangat rapat.


MENDALAMI historiografi seorang yang bernama Tan Sri Samsudin Osman adalah satu perkara yang paling menarik. Beliau adalah seorang tokoh negara yang disegani. Samsudin juga bukan sebarangan aristokrat. Pemikirannya di luar jangkauan.

Berada selama 42 tahun dalam perkhidmatan awam, sudah cukup menggambarkan betapa taat setianya kepada negara tercinta. Jasanya tidak terhitung. Pencapaiannya itu disifatkan oleh golongan bijak pandai sebagai satu perkara yang jarang berlaku dan sangat luar biasa.

Namun, ungkapnya apa jua fakta yang mengangkat dirinya, beliau masih seperti dulu. Samsudin adalah seorang individu yang merendah diri, tidak lekang dengan gelak tawa dan tidak angkuh. Sifatnya selari dengan zodiaknya, Pisces. Aristokrat itu boleh berbual dengan sesiapa saja tanpa mengira perbezaan umur.

Menjengah usia 64 tahun pada 3 Mac ini, anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu memberitahu penulis, dirinya sudah mencapai segala-gala yang diimpikannya. Dalam erti kata lain, setiap angannya telah menjadi kenyataan.

Ujarnya dengan renungan tajam di satu sudut di pejabatnya: “Pada peringkat usia sebegini, Alhamdullillah, saya rasa semuanya sudah OK, saya bukanlah seorang yang bercita-cita tinggi sangat.

“Namun, saya sentiasa berdoa agar Allah memberi bukan hanya kepada saya tetapi pada ahli keluarga kesihatan yang baik untuk bekerja dan dapat lakukan amalan-amalan yang diamanahkan-Nya.’’

Menyingkap portfolio kerjayanya, sebenarnya tokoh itu bermula dari bawah. Beliau mula bekerja sebagai Penolong Pengarah, Bahagian Perjawatan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Atas kecemerlangannya, Samsudin dilantik daripada satu jawatan ke satu jawatan yang lebih tinggi.

Kemuncak kerjayanya, beliau menggalas tanggungjawab yang lebih besar. Pada 15 Disember 1998, beliau dilantik secara rasmi sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) sehingga 1 September 2006. Ini bermakna dalam tempoh itu, beliau telah berkhidmat di bawah dua Perdana Menteri iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Erti hidup


GAYA hebat Samsudin ketika muda. Bersebelahan dengannya ialah anak bongsunya, Syahrizal.


Terkini, beliau adalah peneraju Perbadanan Putrajaya (PPj). Misi Samsudin sekarang ialah membikin Putrajaya sebagai kota metropolis.

Mengambil peluang bertanya siapa Samsudin pada zaman kanak-kanak dan remajanya membuatkan beliau ketawa besar. Barangkali memori itu sudah lenyap dalam pemikirannya. Namun, telahan itu silap sama sekali. Rupa-rupanya, beliau menuntut seketika waktu untuk memulakan dasar cerita.

Graduan Universiti Malaya (UM) dan Universiti Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS) itu memberitahu, beliau bukanlah datang daripada keluarga yang senang. Pelbagai onak dan duri terpaksa ditempuhi. Tokoh itu juga tidak pernah menafikan asal-usulnya sebagai anak kampung.

“Saya dipelihara oleh datuk dan nenek di sebuah kampung di Jalan Mariamah, Johor Bahru.

“Ibu bapa saya berpindah-randah dari satu daerah ke satu daerah kerana tuntutan kerja. Saya dimanjakan oleh nenek dan apabila nenek meninggal dunia, baru saya tahu langit itu tinggi rendah,’’ ujarnya sambil tertawa besar.

Pemergian insan tercinta itu sesungguhnya menjadi beliau lebih berdikari pada umur yang masih mentah.

Memasuki Maktab Tentera Diraja pada umur 15 tahun, menjadikan Samsudin semakin tabah dan mengenali erti hidup sebenar. “Benar, pengalaman itu mendewasakan kita,’’ katanya yang memberitahu, momentum perjalanan hidupnya semakin lancar apabila meningkat dewasa.

Lebih empat dekad dalam perkhidmatan awam, Samsudin memang menyimpan banyak kisah suka duka. Antara yang terkesan dalam jiwanya ialah peristiwa tanah runtuh di apartmen kuarters kerajaan di Presint 9 Putrajaya pada tahun 2007.


MINAT yang sama. Cucu-cucu Samsudin mengikut jejak langkahnya gemar memancing.


Kejadian itu mendapat liputan meluas sehingga membuatkan Perdana Menteri ketika itu, Abdullah turun padang.

Laporan akhbar antara lain menyebut, kesan daripada runtuhan yang dipercayai berpunca daripada aliran air bawah tanah itu menyebabkan 1,200 penghuni daripada 341 keluarga terpalit dengan kejadian itu.

“Saya terperanjat, ia satu yang tak diduga tapi Alhamdulillah tiada nyawa yang melayang tapi melibatkan kemusnahan kereta.

“Kita berfikir sejenak sebab-musabab bagaimana ia terjadi, Tun Abdullah sendiri berkata, dia tak jangka hal ini terjadi di Putrajaya, tapi bila saya fikir balik, Putrajaya juga terdedah kepada bahaya dan cuaca yang tak menentu,’’ imbasnya.

Gemar air dan melukis

Berdepan dengan situasi mencemaskan seperti itu kata Samsudin, menjadikan pihaknya lebih berjaga-jaga dan kajian demi kajian dijalankan untuk mengekang tragedi sama berulang kembali.

Beliau betah mengharungi cabaran besar itu. “Saya percaya, setiap yang berlaku ada sebab munasabab, sebagai hamba Allah, saya sentiasa bertawakal tidak kira masalah yang dihadapi besar atau kecil,’’ tuturnya dengan pandangan menerobos pintu biliknya.

“Saya seorang yang sangat sukakan air, sejak kecil saya suka memancing di laut.

“Angin yang sejuk dan menderu deras dapat menenangkan jiwa dan sanubari saya,’’ katanya yang dikenali sebagai seorang peminat kapal layar. Di Putrajaya, terdapat tasik yang saujananya sejuk mata memandang, ujar Samsudin. Namun, akuinya, beliau sudah lama tidak turun memancing sebaliknya tokoh ini mempunyai hobi yang lain.

Barangkali, ramai yang tidak mengetahui bahawa bekas KSN itu mempunyai satu bakat terpendam. Beliau seorang individu yang mahir melukis. Samsudin juga adalah Penaung Persatuan Lukisan Cat Air Malaysia (MWS).


PENDORONG utama Samsudin, isterinya, Puan Sri Suslita Abd. Majid.


“Betapa cintanya saya dengan air, lukisan saya pun berorientasikan pemandangan air dan menggunakan cat air juga,’’ katanya sambil tertawa.

Ya, memang benar. Beberapa sudut di pejabatnya di PPj, terdapat beberapa buah lukisan hasil sentuhannya yang digantung di dinding.

Baru-baru ini cerita Samsudin, beliau mula jatuh cinta dengan bidang fotografi. Katanya, ke mana saja beliau pergi, kamera pasti ada sentiasa di sisinya. Minatnya itu terserlah ketika kami memintanya bergambar dengan monumen-monumen Putrajaya.

Ketika sesi fotografi, beliau tidak henti berbual dengan jurufoto Utusan, Abdul Nazir Mohamed tentang hal fotografi. Samsudin juga sempat membelek kamera lensa refleks tunggal digital (DSLR) milik penulis dan menyatakan minat untuk membelinya.

Dengan jadualnya yang cukup padat, bagaimanakah beliau membahagikan masanya bersama keluarga? Jawab figura ini : “Anak-anak dan seluruh ahli keluarga saya sering berjumpa dan sering berkomunikasi.

“Mereka semua dah ada keluarga masing-masing, saya dan isteri tak mengongkong, kita hanya melihat perkembangan mereka,’’ ujar bapa kepada tiga orang anak ini iaitu Syahrunizam, 37, Suzleena, 34, dan Syahrizal, 32. Beliau juga mempunyai lima orang cucu.

Kemunculan teknologi canggih, blackberry messenger (bbm), beritahu Samsudin, semakin mendekatkan isteri, dirinya dengan anak-anak yang antaranya menetap di Kanada.

“Sejak ada bbm, tiap-tiap harilah saya dan isteri berkomunikasi,’’ ungkapnya.

Sebelum mengakhiri perbualan, Samsudin menitipkan pesan. “Hadapilah sebarang cabaran, cabaran itu suatu yang membina, kalau kita lari daripada cabaran, kita tak dapat membina dan atasi cabaran itu. Cabaran sebenarnya mengukur keupayaan kita.’’

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: