Saturday, February 12, 2011

Komedi muzikal yang kurang mantap


DUA hos Raja Lawak musim kelima (dari kiri) Zizan dan Johan bersama tiga peserta tercorot kali ini, kumpulan Balas, kumpulan Pukau dan Man.


TEMA komedi muzikal yang dibawa oleh lapan peserta pada minggu kelima Gelanggang Raja Lawak musim kelima seolah-olah kurang menjadi apabila mereka gagal memikat hati ketiga-tiga pengkritik tetap.

Persembahan yang berlangsung pada minggu lepas itu sepatutnya lebih gamat dengan iringan muzik daripada band jemputan kerana ia dilihat mampu meningkatkan kualiti jenaka yang mungkin di luar jangkaan penonton.

Bukan itu sahaja, kesinambungan dari penceritaan kepada lagu dilihat menjadi masalah utama kepada kebanyakan peserta.

Mungkin disebabkan oleh beberapa kemahiran yang perlu diambil perhatian sehingga menyebabkan mereka kurang fokus pada persembahan.

Salah seorang juri tetap Raja Lawak musim ini, Afdlin Shauki berkata, ramai antara peserta tidak memahami komedi muzikal dan dia turut mengakui ia satu tema yang sukar dibawa.

"Perkara penting apabila berhadapan dengan komedi muzikal ini bukan terletak pada lagu yang perlu dinyanyi dengan best (bagus) tetapi sebuah penceritaan yang nak dilihat penonton.

"Genre ini sebenarnya senang dengan bantuan muzik tetapi mungkin mereka baru sehingga menyebabkan ianya susah," katanya ketika ditemui selepas siaran langsung rancangan itu yang berlangsung di studio Finas, Hulu Kelang.

Bagaimanapun, Afdlin berkata, walaupun persembahan yang ditunjukkan oleh kelapan-lapan peserta sedikit menghampakan, namun terdapat peningkatan daripada aspek penceritaan.

Sementara itu, seorang lagi juri tetap, Sathiya juga sependapat dengan Afdlin mengenai kesukaran komedi muzikal.

Katanya, jika komedi dalam lagu sukar dibawa, namun jika lirik sesebuah lagu itu ditukar kepada bahasa lain mungkin lebih berkesan.

"Idea komedi muzikal ini bagus juga kerana ia juga boleh melahirkan pelakon yang mahir menyanyi memandangkan sekarang ini sudah ramai penyanyi bertukar karier sebagai pelakon," katanya.

Undian khidmat pesanan ringkas (SMS) pada minggu lepas menyaksikan Leman mendapat SMS tertinggi sebanyak 18 peratus, Nazmi (14 peratus), R2 (13 peratus) Lucky dan Epy (12 peratus), Man dan Balas (11 peratus) dan Pukaw (10 peratus).

Pada Gelanggang Raja Lawak kali ini, pengkritik David Teo mengumumkan tiada penyingkiran lantaran melegakan lapan peserta terutamanya Pukaw, Balas dan Man yang berada pada kedudukan tiga tercorot.

Bagaimanapun, Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani ketika ditemui memberitahu, bermula minggu hadapan, para peserta tidak lagi berasa selesa kerana mereka bakal meninggalkan pentas Raja Lawak 5 jika mendapat undian terendah.

Menurut Nizam, musim ini pihaknya banyak memberi peluang kepada para peserta mempamerkan bakat lawak masing-masing.

"Sempena Tahun Baru Cina kita masih memberi peluang apabila tidak menyingkirkan peserta agar mereka berusaha dengan lebih baik. Tetapi jika tidak buat betul-betul minggu hadapan, mereka pasti terkeluar.

"Selain itu, bagi mengelak sebarang jenaka lucah, kita sudah beri panduan mana yang boleh dan sebaliknya. Seperti lawak burung oleh Balas tak jadi isu kerana subjek (burung) ada sekali dalam persembahan," ujarnya.

Peserta yang mendapat undian tertinggi, Leman atau nama sebenarnya Sulaiman Ibrahim, 29, berkata, fikirannya agak merosot sedikit minggu lepas akibat memikirkan idea yang sesuai bagi persembahannya.

"Sebahagian babak yang tak ingat saya tukar di saat-saat akhir. Tetapi untuk minggu hadapan saya akan mantapkan lagi persembahan," katanya.

Pada minggu lepas, Leman membawa watak pemburu Pokke iaitu sejenis haiwan dari spesies cicak malah lawaknya semakin gamat dengan kelebihannya bertutur bahasa Siam.

Bagi peserta yang mendapat undian terendah, Pukau mengakui mereka kekurangan idea kreatif dan kemungkinan lawak yang disampaikan kurang difahami penonton.

Salah seorang anggota kumpulan itu, Indra menegaskan, setiap kali perancangan yang dibuat oleh mereka serba tidak menjadi di saat-saat akhir menyebabkan persembahan mereka kurang menyerlah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: