Wednesday, February 2, 2011

Kelvin Lau jaga pantang larang



Artis Cina, Kelvin Lau yang sering membintangi drama Melayu mengakui teruja menyambut Tahun Baru Cina bakal tiba.

Bercerita tentang sambutan Tahun Baru Cina, pelakon dan penyanyi itu mempunyai kisah menarik untuk dikongsi bersama peminat.

Menurutnya, seperti diketahui, masyarakat Cina mempunyai pantang larang tersendiri ketika menyambut perayaan mereka. Walaupun hidup di zaman moden, Kelvin mengakui masih mempercayai dan memegang kuat pantang larang diamalkan nenek moyangnya.

“Hari pertama Tahun Baru Cina adalah penentu kepada nasib dialami sepanjang tahun. Pada hari itu, saya akan mengikut pantang larang seperti tidak membunuh benda bernyawa, tidak menyapu dan tidak boleh marah.

“Sekiranya mematuhi pantang larang ini, seseorang dipercayai akan memperoleh kehidupan baik dan dapat mencapai perkara dihajatinya pada tahun itu, begitu juga sebaliknya,” katanya.

Dalam kegembiraan menyambut hari penuh bermakna itu, Kelvin mengakui merindui saat meraikan perayaan berkenaan bersama mendiang ibunya yang meninggal sejak dia berusia 15 tahun.

“Tidak mungkin saya melupakan kenangan menyambut Tahun Baru Cina dan makan besar bersama mendiang ibu kerana itu detik paling bermakna sepanjang hidup saya,” katanya.

Kini, walaupun tanpa ibu, Kelvin tetap meneruskan tradisi makan besar bersama kaum keluarga dan saudara maranya.

Bagi Kelvin, perayaan itu masa terbaik mereka berkumpul dan menjadi tradisi, setiap tahun Kelvin akan beraya bersama keluarganya di Klang.

“Pada malam Tahun Baru Cina, saya akan membawa bapa di Taiping, Perak makan besar bersama nenek dan ahli keluarga di Klang.

“Ini peluang kami berjumpa setahun sekali dan kebiasaannya kami akan menikmati steamboat sambil bertukar-tukar cerita,” katanya.

Setiap kali Tahun Baru Cina, paling menyeronokkan, Kelvin mengakui masih menerima angpau kerana belum berkahwin.

Menurutnya, dia akan menerima angpau daripada orang lebih berusia kerana dipercayai mampu membawa tuah.

Kelvin berkata, sempena semangat 1Malaysia, dia berharap kaum lain di negara ini akan turut memeriahkan perayaan Tahun Baru Cina bersama masyarakat Cina.

“Semoga kedatangan Tahun Arnab akan memberi kehidupan bahagia dan baik kepada semua.

“Nasihat saya kepada peminat, jaga kesihatan anda di musim perayaan ini dan ambil peluang mengeratkan hubungan kekeluargaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: