Wednesday, February 2, 2011

Maybank mampu sasar pendapatan AS$1 bilion

Malayan Banking Bhd (Maybank) yakin dapat meneruskan momentum pendapatan AS$1 bilion seperti dicatatnya dalam keuntungan selepas cukai untuk tahun kewangan 2010 ke tahun semasa berakhir pada 30 Jun tahun ini.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Wahid Omar berkata, dia yakin dengan jumlah itu berdasarkan pasaran domestik semakin rancak, di samping ekonomi serantau bertambah baik.

Ini sudah terbukti apabila perbankan terbesar negara meraih keuntungan selepas cukai RM1.03 bilion pada suku pertama untuk Tahun Kewangan 2011.

“Pada suku pertama tahun kewangan 2010, keuntungan selepas cukai RM881.8 juta,” katanya ketika diwawancara bersama Christine Tan daripada rangkaian CNBC.

Abdul Wahid berkata, Kim Eng Securities, firma pembrokeran Singapura dibeli Maybank dengan harga RM4.3 bilion, dijangka meningkatkan sumbangan luar negaranya melebihi 25 peratus daripada 20 peratus ketika ini.

Dalam pada itu, menurutnya, perbankan itu akan mengukuhkan sasaran Maybank untuk operasi asingnya menyumbang 40 peratus kepada keuntungan sebelum cukai menjelang 2015.

Menurutnya, perbankan itu mempunyai sumber pendapatan mencukupi membiayai pembelian berkenaan, tetapi merancang mengumpul modal hutang dan menerusi tawaran saham kecil.

Mengenai secepat mana pembelian itu akan memberi sumbangan pendapatan, menurutnya, ia dijangka menyediakan sumbangan pendapatan dalam tahun pertama berdasarkan kepada pulangan pendapatan 5.0 peratus.

Abdul Wahid tidak menolak pembelian serantau lain, terutama di Thailand adalah jurang utama bank itu dalam operasi Aseannya, tetapi akan dibuat pada harga dan masa sesuai.

“Menerusi Kim Eng, dalam perbankan pelaburan dan ekuiti, langkah seterusnya perbankan runcit dan perdagangan, tetapi pembelian tidak dibuat dengan segera.

“Kami berhasrat menjadi peneraju perkhidmatan serantau menjelang 2015 dan nadi wawasan itu, mengembangkan operasi luar negara Maybank,” katanya.

Menurutnya, Kim Eng menyediakan platform terbaik kepada kumpulan itu untuk mengembangkan perbankan pelaburannya di rantau ini.

Menurutnya, sumbangan luar negara menjelang 2015 akan diterima daripada operasi Islam dan konvensional serta perbankan runcit dan borong.

“Menerusi konteks perbankan Islam, kami adalah bank nombor satu di Malaysia dan jika anda lihat perbankan Islam, pasaran berikutnya, Indonesia kurang ditembusi ketika ini,” katanya.

Abdul Wahid berkata, produk patuh syariah mendapat permintaan tinggi di Indonesia.

Produk mendapat perhatian termasuk gadai janji, pembiayaan kereta dan pembiayaan runcit serta produk runcit pelaburan untuk kereta.

“Berikutan itu, kami menggunakan banyak sumber untuk menukar bank kami kepada PT Maybank Syariah Indonesia dan bekerjasama dengan BII supaya dapat mengembangkan perniagaan berkenaan,” katanya.

Kumpulan terbabit mempunyai kepakaran mencukupi memperluas rangkaian cawangan di Indonesia daripada 300, kepada 450 menjelang akhir 2012.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: