Wednesday, February 9, 2011

Jangan biar diri jadi mangsa


ORANG ramai perlu berwaspada dengan tipu muslihat penganjur peraduan Gores dan Menang. – Gambar hiasan


PENGGUNA diminta menitikberatkan tiga perkara bagi memastikan diri tidak menjadi mangsa sesuatu penipuan termasuk peraduan Gores dan Menang.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Muhammad Sha’ani Abdullah berkata, pengguna perlu meningkatkan pengetahuan dan lebih prihatin mengenai isu kepenggunaan termasuk kes penipuan peraduan Gores dan Menang.

“Kebanyakan individu dalam masyarakat hari ini dilihat kurang prihatin mengenai pendidikan pengguna termasuk masalah pengguna, isu pengguna dan kempen kepenggunaan yang dijalankan badan bukan kerajaan berkaitan termasuk Fomca.

“Walaupun masalah, isu dan kempen ini dipaparkan dalam media massa terutama akhbar, radio serta televisyen, namun masih ada yang kurang prihatin atau mengambil sikap tidak peduli kerana menganggap mereka terlalu bijak untuk ditipu.

“Kedua, membuang sikap tamak ingin cepat menjadi kaya atau mendapatkan sesuatu keuntungan,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Muhammad Sha’ani berkata, pengguna perlu bijak menilai, mengenalpasti atau membezakan sesuatu tawaran diterima.

“Fikirlah, logikkah jika tawaran yang dibuat itu dikatakan hanya diniagakan hari ini, jadi esok dia tidak mahu berniagakah?

“Biasanya, bukan susah mahu menentukan sama ada sesuatu tawaran itu adalah Gores dan Menang atau tidak kerana jika peraduan ini, semua tawaran termasuk dividen, peratus diskaun adalah pada tahap terlalu tinggi.

“Sekiranya dinilai, tawaran yang diberikan tidak logik atau akan dibuat secara lisan, bukannya bertulis,” ujarnya.

Menurut Muhammad Sha’ani, institusi seperti bank dan amanah saham yang disokong kerajaan sekalipun tidak mampu menawarkan dividen berlipat kali ganda seperti ditawarkan mereka.

“Saya cukup pelik, susah payah berniaga setiap hari, boleh sentiasa menawarkan hadiah lumayan kepada ramai orang, jadi nampak sangat ia muslihat .

“Aduan yang diterima Fomca menunjukkan, ada antara mangsa skim Gores dan Menang termasuk individu yang terpelajar dan di kalangan penduduk bandar besar seperti profesor.

“Dalam mengekang masalah ini, orang ramai perlu sentiasa mengambil tahu isu kepenggunaan dan berwaspada kerana wang yang anda beri kepada penganjur peraduan Gores dan Menang sebenarnya tidak boleh dianggap dicuri atau ditipu kerana anda merelakannya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: