![]() |
| Rekaan Shahrizad banyak menonjolkan motif wau. |
MENGETENGAHKAN konsep The Art Of Wau’ dalam setiap hasil rekaannya, sentuhan pereka muda, Shahrizad Fitri Mustapha dilihat berbeza dengan rekaan-rekaan lain.
Unsur keMelayuan jelas kelihatan pada setiap rekaan yang telah dikontemporarikan ,malah gaya elegan digarap penuh berseni menerusi penggunaan jenis dan warna fabrik.
Jelas anak muda yang berusia 24 tahun ini, selain mengetengahkan motif ‘awan darat’, rekaannya turut mementingkan jenis fabrik dalam memastikan setiap rekaannya tampil unik.
Garapan idea dan kreativiti anak muda ini nyata memberi nafas segar kepada corak ‘awan darat’ dengan kepelbagaian rekaan, motif, teknik baru, serta kesesuaian fesyen.
‘‘Dalam setiap rekaan yang saya hasilkan, ia adalah 100 peratus bermotifkan wau tetapi ia telah dikontemporarikan agar ia selari dengan aliran dunia fesyen hari ini.
‘‘Pada masa yang sama, saya turut mementingkan penggunaan jenis fabrik berat yang bukan sahaja menghasilkan rekaan bermutu tetapi ia dapat menstrukturkan (bentuk) rekaan saya,’’ ujar anak kelahiran Ipoh, Perak ini lagi.
Menurut graduan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ini, sebagai pereka baru, dia inginkan kelainan serta tampil berani dengan rekaan yang menggunakan motif kraftangan Melayu iaitu wau bulan.
Kelainan yang cuba ditampilkan Shahrizad melalui rekaannya jelas menunjukkan ia satu rekaan yang kreatif dan futuristik.
Secara tidak langsung, motif yang diketengahkan turut mengangkat warisan kesenian secara kontemporari dalam menghasilkan seni tekstil yang berseni dan unik.
Tambah Shahrizad, setiap rekaan yang dihasilkannya turut menampilkan warna-warna terang di samping susunan reka corak yang melambangkan wau.
Bagi anak bongsu daripada lima beradik ini, rekaan yang dihasilkan bukanlah satu tugasan yang mudah malah ia mengambil masa selama 14 minggu untuk membuat kajian dan penelitian bagi mendapatkan rekaan yang menepati tema.
‘‘Penyelidikan serta kajian yang teliti dijalankan bagi memastikan setiap rekaan yang ditampilkan mempunyai nilai komersial dan elemen artistik.
‘‘Setelah mendapat kesemua bahan yang dikehendaki, saya menghimpunkan lakaran-lakaran seterusnya memulakan jahitan.
‘‘Yang penting, saya suntik rekaan dengan elemen-elemen segar dan versatil,’’ ulasnya.
Ditanya mengapa memilih wau bulan, menurut Shahrizad, ia bukan sahaja merupakan salah satu produk tarikan dari sudut pelancongan tetapi ia juga cantik yang ditampilkan dalam pelbagai motif, corak dan warna-warni mengikut bentuknya yang unik.
Sehubungan itu, jelasnya, menghasilkan rekaan berasakan wau bukanlah satu perkara mudah kerana ia memerlukan ketelitian dalam mengekalkan keunikannya.
Selain itu, dalam setiap rekaannya juga, Shahrizad turut menggunakan fabrik satin sebagai lining.
Shahrizad yang turut terlibat
semasa Minggu Fesyen Graduan
London di London pada pertengahan Disember lalu amat teruja dengan maklum balas yang diterima semasa berada di sana.
‘‘Sesungguhnya saya tidak menyangka akan mendapat maklum balas yang begitu positif semasa berada di sana.
‘‘Lagipun, ini merupakan kali pertama yang menyertai majlis sebegitu dan sudah pasti saya berpuas hati kerana berjaya memperagakan rekaan yang mempunyai elemen-elemen warisan budaya dan pengayaan kontemporari untuk ditunjukkan kepada seluruh dunia.
‘‘Padangan serta dorongan ini menjadi pembakar semangat kepada saya untuk menghasilkan karya yang lebih kreatif pada masa depan,’’ katanya.
Walaupun baru sahaja menamatkan pengajiannya pada penghujung tahun lalu, Shahrizad bukanlah calang-calang pereka kerana sebelum ini dia pernah mereka pakaian Yuna pada Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-24.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: