Tuesday, February 1, 2011

Hari Wilayah, Tahun Baru Cina medan erat perpaduan

Raja Nong Chik (dua dari kiri) dan isteri Nafesah Raja Nong Chik (tiga dari kanan) meluangkan masa beramah mesra dengan pengunjung di sebuah restoran ketika melawat pasar Lucky Garden, Bangsar.

FEBRUARI 2011 merupakan bulan ‘ekstra’ sibuk tetapi memberi penuh pengertian buat Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Nong Chik dikatakan akan sibuk memandangkan beliau bakal meraikan tiga perayaan besar berturut-turut sepanjang Februari ini.

Pertama, sambutan Hari Wilayah yang ke-37 kali ini tentunya akan disambut bersama rakyat dan warga kota, kedua sambutan Tahun Baru Cina yang akan disambut bersama keluarga dan sanak-saudara dan ketiga sambutan ulang tahun kelahiran beliau yang akan disambut pada tanggal 14 Februari ini.

Sebagai insan penting dan bertanggungjawab dalam membangunkan tiga wilayah iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, tentunya tumpuan berterusan diberikan terhadap usaha-usaha memajukan tiga wilayah ini.

Namun, beliau tidak menafikan Hari Wilayah mampu menjadi platform terbaik bagi mewujudkan perpaduan kaum dan kerjasama di antara kerajaan dan rakyat.

Ulang tahun ke-37

Sempena sambutan ke-37 Hari Wilayah pada tahun ini, Nong Chik beriltizam menaikkan semangat warga ketiga-tiga wilayah dalam usaha meningkatkan kemajuan bandar dan kesejahteraan penduduk.

Raja Nong Chik (dua dari kanan) dan isteri (kanan) ketika melawat pasar Lucky Garden dan peniaga di Bangsar.

“Saya melihat respons rakyat, khususnya warga Kuala Lumpur hari ini terhadap kerajaan semakin positif.

“Sebagai wilayah yang terletak di tengah-tengah ibu kota dan menjadi tumpuan ramai termasuklah pelancong asing, sambutan Hari Wilayah dapat dijadikan landasan untuk mengeratkan hubungan sesama rakyat,” katanya.

Menurut Nong Chik, wujudnya perpaduan rakyat dan hubungan erat di antara kerajaan dengan rakyat secara tidak langsung akan meningkatkan kemajuan negara secara amnya, dan tiga wilayah yang terletak di bawah tanggungjawabnya secara khususnya.

“Kita tak mahu warga wilayah anggap Hari Wilayah sebagai hari cuti sahaja. Kita mahu warga wilayah memanfaatkan tawaran istimewa dan aktiviti yang telah kita susun sepanjang Februari ini,” katanya.

Jelasnya, walau apa pun kehendak rakyat dan walau apa pun sasaran kerajaan, ianya hanya akan dapat dilaksanakan dengan sempurna dengan adanya kerjasama dan persefahaman.

“Paling penting, apa yang dibuat kerajaan adalah untuk kebaikan semua. Kalau ada kerjasama, saya yakin apa sahaja yang dihajati akan tercapai,” katanya.

Antara usaha-usaha kementerian dalam mengtransformasikan Kuala Lumpur termasuklah melaksanakan projek Greater Kuala Lumpur dan melantik agensi Invest KL dalam projek pelaburan yang melibatkan pelaburan bernilai tinggi oleh pelabur-pelabur asing.

Kawasan hijau

Sepanjang berkhidmat, Nong Chik juga melihat pertambahan kawasan hijau di seluruh bandaraya Kuala Lumpur sebagai satu perubahan besar yang dapat dilihat pada hari ini.

“Kalau nak cakap tentang Putrajaya, saya rasa kemajuannya sudah melebihi sasaran.

“Apa yang kita mahu usahakan sekarang ialah menghijaukan lagi bandaraya Kuala Lumpur yang sudah hijau.

“Kita akan pastikan 30,000 pokok ditanam di sekitar bandaraya Kuala Lumpur tahun ini.

“Kita juga akan mulakan usaha membersihkan sungai sepanjang sembilan kilometer di bandaraya Kuala Lumpur,” katanya.

Mengulas tentang pembangunan di Kampung Baru, beliau mengaku optimis dengan adanya sokongan kuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Perbadanan Kemajuan Kampung Baru (PKKB), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan kerjasama masyarakat di kampung tradisi itu sendiri.

Katanya, adalah tidak wajar untuk sesetengah pihak berkata kerajaan gagal membangunkan Kampung Baru memandangkan memajukan Kampung Baru memerlukan perancangan teliti dan sokongan banyak pihak.

“Kita tak gagal, cuma ianya satu projek jangka panjang dan kita tak boleh salahkan pihak tertentu apabila Kampung Baru tak membangun pesat.

“Yang penting sekarang saya nampak peluang untuk berjaya amat tinggi.

“Tapi saya bercakap tanpa mengambil kira unsur atau campur tangan politik,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: