GONG LI ialah satu nama besar yang mampu menarik jutaan penonton untuk mengisi kerusi di panggung wayang setiap kali wajahnya menjadi taruhan sesebuah filem.
Bukan sekadar bersandarkan kecantikan fizikal, wanita kelahiran China yang kini merupakan rakyat Singapura itu turut membuktikan kredibiliti lakonannya menerusi pelbagai anugerah yang diraihnya.
Malah, kerjaya lakonannya berkembang sukses apabila diberi kepercayaan berlakon dalam beberapa buah filem gred A Hollywood antaranya Miami Vice, Hannibal Rising dan Shanghai.
Terbaru, wanita yang lahir pada tanggal 31 Disember 1965 itu muncul dengan filem romantik komedi yang diadaptasi daripada filem Hollywood lakonan Mel Gibson dan Helen Hunt, What Women Want.
Menggunakan judul yang sama dalam versi China arahan Chen Dai Ming itu, Gong Li memegang watak Li Yi-Long iaitu seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat pengiklanan.
Dia bergandingan dengan aktor terkenal Andy Lau yang menghidupkan karakter Fred Wang.
Menurut Gong Li, karakter lakonannya itu sungguh mencabar kerana buat pertama kali dia melakonkan watak wanita moden China yang penuh dengan karisma dan bijak bergaya.
"Ia lebih kurang sama dengan watak yang saya bawakan dalam filem Miami Vice, bezanya kali ini saya berlakon dalam filem China, bukan produksi Hollywood," ujarnya.
Meskipun diadaptasi daripada naskhah Hollywood, namun ia masih menyuntik elemen realiti yang sedang berlaku di China.
Katanya, karakter yang dibawakan menghadapi masalah sama seperti kebanyakan wanita berkarier di China iaitu untuk menyeimbangi antara karier dan kehidupan peribadi.
"Disebabkan wanita di China terikat kuat dengan nilai-nilai tradisi, mereka terpaksa menjaga kedua-duanya, kerja dan keluarga dalam masa yang sama, yang mana ia satu hal yang sukar untuk mereka imbangi," jelasnya.
Bagi menghayati karakternya itu, Gong Li menjalankan inisiatif sendiri dengan menemu bual beberapa orang CEO wanita di alam realiti. Apa yang memeranjatkan dirinya, kebanyakan CEO tersebut didapatinya telah terpaksa mengorbankan banyak perkara untuk mereka kekal maju dalam karier masing-masing.
"Ada antara mereka terpaksa berputus asa untuk banyak perkara penting dalam hidup termasuk keluarga untuk mengekalkan status mereka dalam syarikat. Mereka juga terpaksa berlagak tegas pada kebanyakan masa dan mereka juga lakukan banyak perkara seperti lelaki," bicaranya.
Selain itu, Gong Li turut menonton filem tersebut dalam versi Hollywood, malah berbincang dengan pengarah untuk menambah skrip supaya keserasian antara Andy dan dirinya lebih terserlah.
Babak apabila karakter lakonannya itu dibuang kerja, menurut Gong Li, adalah babak paling mencabar dalam filem itu.
"Perasaan kecewa dan pelbagai perasaan berkecamuk dalam jiwa harus dilontarkan.
"Babak itu memerlukan karakter lakonan saya itu perlu membuat keputusan yang sukar. Dia tidak faham kenapa dia dipecat dan dia tidak bersedia untuk meninggalkan hubungan cinta yang baru sahaja bermula. Ia sangat mencabar walaupun nampak mudah," jelasnya.
Dalam pada itu, Chen Dai Ming menjelaskan, dia memilih Gong Li untuk bergandingan denganAndy Lau disebabkan Andy sudah lama menyimpan hasrat untuk berlakon bersama Gong Li.
Bukan itu sahaja, kata Dai Ming, Gong Li dilihatnya sebagai aktres yang paling dekat dengan karakter Li Yi-Long.
"Kami berhubung dengannya ketika kami sedang menyiapkan skrip filem ini. Dalam kehidupan sebenar, Gong Li sangat berkarisma. Apabila kita memandangnya, dia seolah-oleh mempunyai daya tarikan seperti magnet. Usianya juga sangat bersesuaian dengan karakter sebagai CEO wanita berjaya," jelas Dai Ming.
Filem What Women Want telah mula ditayangkan sejak 10 Februari lalu di seluruh negara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: