TANGGAL 22 Februari 1992 menyaksikan negara telah kehilangan satu permata yang cukup bersinar dalam industri hiburan tanah air iaitu Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad.
Bagi generasi yang lahir pada era 90-an, mungkin mereka tidak terlalu mengenalinya. Ada segelintir yang mengenalinya sebagai seorang penyanyi sahaja rentetan lagu-lagu yang sering menjadi siulan seperti Merisik Khabar, Salam Terakhir, Balik Kampung serta banyak lagi.
Namun siapa sangka kerana insan istimewa yang lahir pada 25 Mei 1954 di Temerloh, Pahang itu sebenarnya merupakan seorang peguam, penghibur, pelakon, penulis, pelukis, usahawan dan pengarang. Lebih menarik lagi, Allahyarham turut dikenali di kalangan pelbagai kaum di negara ini seperti Melayu, Cina dan India.
Pernah membuat konsert secara percuma di Chow Kit Road, Kuala Lumpur dengan disaksikan 100,000 peminat serta dinobatkan selaku Penghibur Terbaik Asia ketika membuat persembahan di Royal Albert Hall, London pada tahun 1989, itu adalah antara kenangan paling manis untuk dikaitkan dengan penghibur yang cukup versatil itu.
Bagi mengenang kembali individu yang pernah mengharumkan nama Malaysia itu, AETN All Asia Network telah mengambil inisiatif untuk menerbitkan satu dokumentari khas berjudul Sudirman Arshad.
Mendapat kerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), dokumentari berkenaan mengimbas kembali detik pahit dan manis serta liku-liku yang terpaksa dilaluinya sepanjang menjadi penghibur tersohor negara.
Pengurus Besar AETN, Louis Boswell melahirkan rasa gembiranya apabila berjaya menghasilkan sebuah dokumentari penghibur terkenal yang pernah dilahirkan di negara ini.
“Pada saya Sudirman adalah ikon rakyat Malaysia dan sudah tentu ramai yang ingin mengenalinya dengan lebih dekat lagi,” ujarnya pada majlis pelancaran program itu baru-baru ini.
Bagi Gerard Benedict yang bertindak sebagai pengarah, apa yang dipaparkan dalam dokumentari berkenaan tidak terlalu tertumpu kepada kejayaan yang diraih oleh penghibur yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Malaya itu.
“Rasanya semua orang sudah tahu tentang kejayaan yang diraih oleh Sudirman sepanjang menjadi penghibur. Jadi kami lebih menumpukan kepada kisah pahit getir serta cabaran yang terpaksa dilalui oleh Sudirman sehinggalah namanya terkenal di peringkat antarabangsa,” ujarnya.
Menurutnya lagi, idea untuk menghasilkan dokumentari itu muncul pada 10 tahun yang lalu setelah berjumpa dengan beberapa individu yang rapat dengan Allahyarham seperti Habsah Hassan, Bahyah Mahmood dan Manan Ngah.
Bagaimanapun, ia tidak dapat dihasilkan kerana beberapa sebab dan barulah kini ia dapat direalisasikan.
Sesuatu yang agak menarik tentang penerbitan dokumentari Sudirman Arshad yang berdurasi selama sejam itu, sebenarnya tiada langsung penglibatan ahli keluarga Allahyarham.
Sebaliknya, kisah yang dipaparkan adalah berdasarkan cerita daripada mereka yang agak rapat dengan Allahyarham. Bagaimanapun, dokumentari berkenaan masih lagi tetap menarik untuk ditonton.
Kakak kepada Allahyarham, Datin Rodziah Arshad yang ditemui pada majlis pelancaran dokumentari itu memberitahu bahawa sebelum ini sudah beberapa kali dia dihubungi oleh pihak penerbit untuk meminta kebenarannya menerbitkan dokumentari tersebut.
Tidak mahu diwawancara
“Sudah banyak kali mereka menghubungi sehinggalah saya terpaksa mengalah dan bersetuju untuk ia diterbitkan. Namun saya beritahu mereka yang saya tidak mahu diwawancara dalam dokumentari ini.
“Pada saya biarlah orang luar yang menceritakan tentang kisah Allahyarham daripada ahli keluarga sendiri. Kalau saya yang menceritakannya, tentu saya akan memujinya sahaja dan akan ada orang yang anggap saya seperti masuk bakul angkat sendiri nanti kerana dia itu adik saya,” ujarnya.
Menurut Rodziah, dia sendiri meluahkan rasa kegembiraannya setelah menontonnya dan tidak dapat menahan air matanya daripada mengalir. Jelasnya, dia yakin dokumentari yang dihasilkan itu mampu menjadi salah satu bahan untuk masyarakat mengenali Sudirman dengan lebih dekat lagi.
Malah, dia juga memberitahu bahawa mempunyai keinginan untuk menulis sebuah buku yang mengisahkan tentang kisah hidup adiknya.
“Saya sebenarnya memiliki kebolehan untuk menulis dan sekiranya tergerak hati mungkin saya akan menulis cerita mengenai riwayat adik saya itu. Cuma bila hendak menulis tu, saya sendiri tidak tahu hendak memulakannya,” ujarnya yang kini sudah berusia 68 tahun.
Sementara itu, anak saudara Allahyarham, Razman Azrai Zainuddin atau lebih dikenali sebagai Atai, 37, yang ditemui ketika majlis sama memberitahu sehingga kini ingatannya kepada pak cik kesayangannya itu tidak pernah luput.
Sebagai seorang anak saudara yang paling rapat dengan Allahyarham, dia menyatakan bahawa dirinya sangat berbangga dapat memiliki seorang pak cik yang begitu penyayang dan sangat terkenal seperti Sudirman.
“Ketika saya kecil dia banyak membantu saya dari segi pelajaran. Tidak dinafikan bahawa dia adalah sumber inspirasi kepada saya sehingga dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana di luar negara,” ujarnya.
Kini Atai hidup bahagia di samping isteri tersayang, Mazlyn Mena Mustapha, 34, dan seorang anak bernama Mira Razman Azrai yang kini berusia tiga tahun.
Untuk mengetahui lebih lanjut, penonton boleh menyaksikan dokumentari Sudirman Arshad yang akan mula disiarkan pada 20 Februari ini di saluran History 555 Astro pada pukul 10 malam. Manakala Siaran ulangannya pula pada 22 Februari (11 malam), 23 Februari (9 malam), 1 Mac (7 malam), 11 Mac (11 malam) dan 13 Mac (7 malam).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: