Sekalipun baru berusia 13 tahun, namun Shafimie Saedon atau lebih dikenali sebagai Fimie Don antara pelakon kanak-kanak popular dalam industri seni tanah air.
Seawal usia 9 tahun, Fimie sudah menceburi bidang seni dan drama Hikayat Putera Shazlan berjaya membuktikan kemampuannya sebagai pelakon.
Komitmennya terhadap bidang seni menyebabkan dia tidak menang tangan menerima pelbagai watak dalam bidang lakonan.
Karier seninya tidak terhenti di situ sahaja, sebaliknya Fimie terus mengorak langkah melebarkan sayap menceburi bidang pengacaraan apabila dia ditawarkan sebagai pengacara Nasi Lemak Kopi O di TV9.
Ternyata, anak bongsu daripada tiga beradik itu berjaya membuktikan dia berbakat.
Terbaru, menerusi drama Kem Pink slot Senda Pagi di TV3, Fimie menguji kemampuannya membawakan watak kanak-kanak berperwatakan lembut.
Berikutan itu, Fimie menerima pelbagai tindak balas penonton mengenai watak dibawanya itu.
“Saya tidak nafikan watak diberikan boleh membuatkan penonton tertanya-tanya. Bukan sahaja cara saya bercakap yang begitu lemah lembut, sebaliknya imej saya yang sentiasa membawa tuala kecil berwarna merah jambu membuatkan penonton tidak henti-henti bercakap mengenainya.
“Bagaimanapun, ia sekadar watak anak yang terlalu manja dengan ibunya dan tidak pernah berpisah dengan keluarga. Bagi saya, pengalaman membawa watak itu sangat menarik, di samping berpeluang berlakon dengan beberapa nama besar.
“Saya suka dengan watak ini kerana lain daripada kebiasaannya sekali gus berbeza dengan karakter saya sebenar. Saya teruja membawa watak yang mempunyai kelainan, seperti watak lembut ini dan watak kanak-kanak buta dalam drama Sekilas Qalbu,” katanya.
Pun begitu, Fimie tidak terkecuali menerima tempias apabila terdapat rakan di sekolah mengejeknya kerana watak lembut itu.
“Memang ada yang mengejek saya apabila mereka tahu saya berlakon seperti itu. Kalau dahulu, saya sedih, sekarang tidak lagi. Saya sudah boleh menerima apa sahaja cakap-cakap orang mengenai saya.
“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana mempunyai keluarga yang begitu memahami dan sentiasa memberi nasihat kepada saya untuk terus berjaya,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: