Wednesday, February 16, 2011

Nasihat Sohaimi berhasil



Siapa sangka lagu berunsur nasihat, Kalau Berpacaran dinyanyikan Sohaimi Mior Hassan, Ana Rafali dan Altimet berjaya memikat pendengar sekali gus berjaya melonjakkan semula nama Sohaimi yang pernah popular pada era 80-an.

Susulan kejayaan lagu itu, Sohaimi tampil dengan album penuh berjudul ‘Kalau Berpacaran...The Album’ sejak Januari lalu.

Sebagai orang lama dalam industri seni, Sohaimi menganggap album itu sebagai medium untuknya menyampaikan kebaikan.

“Pada usia 54 tahun, saya tidak mencari glamor sebaliknya mahu perkara saya buat mendatangkan kebaikan kepada orang ramai. Ini termasuk melalui penerbitan album terbaru saya.

“Oleh sebab itu, saya gembira apabila nasihat disampaikan dalam Kalau Berpacaran dapat diterima. Selain itu, terdapat lagu lain yang mengandungi nasihat seperti Ramadan, Surat Dari Seberang Sana dan Hikayat Negeri Antah Berantah diharap turut memberi kesan baik kepada pendengar,” katanya.

Melihatkan usaha murninya itu, mungkin ada yang memandang sinis. Namun, Sohaimi menolak andaian golongan artis tidak boleh mengajak kepada kebaikan.

“Sebaliknya saya melihat tanggungjawab artis sangat besar kerana golongan ini sering menjadi ikutan ramai. Hiburan menjadi sebahagian daripada kehidupan kita.

“Tidak dinafikan dunia artis sangat mencabar kerana dikelilingi fitnah dan perkara dilarang seperti arak dan sebagainya. Oleh itu, sebagai artis kita perlu ada ilmu agama dan kekuatan jati diri untuk melawan keadaan yang boleh menyebabkan kita terjerumus ke kancah tidak sihat,” katanya.

Jika disingkap kembali perjalanan Sohaimi, dia pernah menjalani kehidupan di luar negara ketika menuntut di Kolej Kejuruteraan HMS Collingwood Weapon, Fareham Hampshire, United Kingdom.

Ketika di sana, didikan ibu bapa sejak kecil menjadi pegangannya supaya tidak terpengaruh dengan budaya masyarakat Barat.

Menurutnya, pegangan itu terus kukuh apabila dia menceburi bidang seni.

“Alhamdulillah, ibu bapa saya sangat tegas soal agama terutama solat dan hasil didikan mereka saya berjaya mengawal diri daripada terjebak dengan budaya bertentangan agama.

“Seni adalah anugerah dan kita sendiri membuat pilihan menggunakan seni untuk kebaikan atau sebaliknya,” katanya.


Gembira lagu diterima

Bercerita mengenai lagu Kalau Berpacaran, Sohaimi tidak pernah meletakkan harapan tinggi pada mulanya untuk lagu itu meletup seperti berlaku sekarang.

“Saya cuma hendak buktikan lagu nasihat mampu popular, walaupun masyarakat lebih menyukai lagu cinta. Nampaknya taruhan saya berhasil apabila lagu Kalau Berpacaran turut menjuarai beberapa carta radio.

“Apa yang lebih penting, mesej di dalam lagu ini dapat disampaikan kepada peminat terutama golongan muda. Ini kerana, lagu ini terhasil daripada pengamatan saya terhadap gejala tidak sihat yang semakin menular dalam kalangan remaja,” katanya.

Menurutnya, lagu itu dibuat berdasarkan pengalaman dia mendidik tiga anak perempuannya, Syaida Syarafina, 25, Syaza Sorfina, 23, dan Syaima Sabila, 20, hasil perkahwinannya dengan Roslina Hashim, 53, pada 1986.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: