Wednesday, February 9, 2011

Bersemuka pelakon 'bawa mulut'

pix_middle

DIA masih hijau dalam dunia lakonan. Malah, filem sulung lakonannya hanya akan ditayangkan di pawagam tempatan pada 17 Mac ini. Bagaimanapun, nama Tryambikay Vengades atau Bkay Nair, 28, sudah mula menjadi sebutan pihak media.

Namun pelakon baru kelahiran Kulai, Johor ini menjadi sebutan bukan kerana bakat, sebaliknya kontroversi dengan orang kuat dalam produksi yang dilakonkan.


Seorang pelakon yang turut terbabit dalam filem yang dibintangi Bkay iaitu Ratu mendakwa Bkay menjalin hubungan dengan Latif Mohaideen, adik kepada pengarah terkenal, Prof Madya A Razak.

  • Foto

  • Foto

Ternyata kontroversi yang terpampang di dada akhbar tempatan dulu itu sedikit sebanyak meninggalkan kesan terhadap nama baik Bkay sebagai pelakon baru. Pastinya ada yang memandang sinis kehadirannya dalam industri seni ini dan berkata, Bkay mahu popular sebab gosip.


Ditemui pada sesi fotografi khas bersama sisipan Rap, baru-baru ini, graduan perundangan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini akui lama-kelamaan dia menganggap peristiwa yang berlaku itu asam garam anak seni.


"Dalam filem Ratu, ada lapan pelakon utama dan dua pembantu. Semuanya perempuan. Apabila sudah ramai perempuan dalam satu-satu filem, tentulah ada rasa tak puas hati timbul. Waktu sama, kadang-kadang apabila berdepan dengan tekanan, ada antara kita tidak dapat mengawal emosi dengan stabil sehingga tercetus perkara tak diingini."Seperkara lagi, ramai pelakon filem Ratu baru diperkenalkan menerusi filem ini, jadi kami belum kenal rapat antara satu sama lain. Kami tak tahu lagi perangai dan latar belakang setiap pelakon. Bagaimanapun, saya secara peribadi anggap kontroversi itu satu pengalaman sangat berharga dan cuba belajar baiki kelemahan diri," katanya.


Jelas Bkay apa yang digembar-gemburkan termasuklah dia memperoleh layanan lebih istimewa berbanding yang lain menyebabkan dia sendiri terkejut.

"Tiada apa yang terlintas di fikiran waktu itu selain risau penerimaan keluarga terutama ibu dan ayah terhadap gosip itu. Bagaimanapun, saya lega kerana mereka cukup memahami. Malah, keluarga pula yang banyak memberikan nasihat. Selain itu mereka juga berkata sebagai artis saya kena hadapi gosip seperti ini. Perlu berdepan dan jangan lari dari masalah.


"Saya sendiri berdepan dengan pelakon yang menuduh dan menimbulkan kontroversi ini. Saya tak marah tapi lebih kepada mahu mendapatkan penjelasan daripadanya. Lagipun saya faham dia masih muda, jadi sudah tentu ada tindakan yang dibuat secara melulu," katanya.


Jelas Bkay lagi dia juga tidak pernah berdendam atas apa yang sudah ditimbulkan pelakon berkenaan dan perkara itu juga turut diluahkan apabila setiap kali ada wakil media bertanyakan hal berkenaan. Pada Bkay, permohonan maaf sudah memadai untuk menyejukkan hatinya.

Lagipun jelas Bkay lagi, setiap anak seni ada rezekinya masing-masing. Jadi tidak perlu hendak berdengki atau bermasam muka antara satu sama lain.


Selain berlakon, Bkay juga kini bertugas sebagai Pengurus Perhubungan Awam, Wayang Studios International yang juga anak syarikat Line Clear Motion Pictures Sdn Bhd, milik Razak dan Latif.

Selain itu Bkay turut menguruskan beberapa aktiviti dilakukan Wayang Studios termasuklah kelas lakonan dan tarian untuk pelakon.


"Inilah antara cara saya untuk mendalami bidang seni dan produksi. Kalau boleh saya mahu pergi jauh dalam bidang ini. Sebab itu saya menerima tawaran untuk menjadi Pengurus Perhubungan Awam Wayang Studios. Ia secara tidak langsung dapat membantu saya mempelajari selok-belok bidang penerbitan filem dan drama demi masa depan," ujarnya.


Memastikan promosi Ratu berterusan, Bkay bersama kakitangan Wayang Studios kini mula mengadakan aktiviti bertemu peminat bersama pelakon di seluruh Malaysia. Antara lokasi dijelajahi mereka adalah Seremban, Melaka dan Johor.


"Aktiviti ini akan diteruskan sehinggalah filem Ratu ditayangkan. Selain mengadakan sesi bertemu peminat, pelakon filem Ratu turut menyanyikan lagu tema Jelita yang dicipta khas Damien Mikhail. Walaupun kebanyakan antara kami membintangi Ratu adalah pendatang baru, tetapi kami sangat gembira kerana penerimaan peminat cukup positif.

"Saya sangat berharap sambutan sama turut diterima apabila Ratu ditayangkan nanti. Saya juga tidak sabar hendak mendengar maklum balas berkenaan bakat lakonan saya tonjolkan dalam filem itu," katanya.


>PROFIL
Nama Penuh: Tryambikay Vengades
Panggilan: Bkay Nair
Tarikh Lahir: 15 Februari 1982
Usia: 28 tahun
Asal: Kulai, Johor.
Kerjaya: Model, Pelakon dan Pengurus Koordinasi Wayang Studios International Sdn Bhd
Filem: Ratu, Bujang Terlajak, Raya Tak Jadi
Rancangan TV: Impian Anggun
Iklan: Julie's, Breeze, Kao Laurier dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk 1Malaysia.
Pencapaian: Finalis Miss Malaysia India Global 2008/2009, Miss India Tourism 2007/2008

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: