Thursday, February 24, 2011

Berkesan untuk kuruskan badan

MINUM TEH...selepas melakukan rawatan sauna pelanggan diberikan secawan teh hijau bagi memberikan kesegaran selepas kehilangan banyak cecair.
MINUM TEH...selepas melakukan rawatan sauna pelanggan diberikan secawan teh hijau bagi memberikan kesegaran selepas kehilangan banyak cecair.

KONSEPNYA mungkin sama seperti pusat rawatan lain, sebuah bilik menempatkan pelanggan untuk melakukan sauna.

Namun, apa yang membezakan spa ini dengan pusat kecantikan lain adalah rawatannya menggunakan Far Infrared atau sinar infra merah jauh yang diletakkan di dalam sebuah kabin berkayu seakan-akan sebuah almari dengan dikelilingi cermin.

  • Foto

    URUT...Garden Of Life menggunakan pakar terapi terlatih dan menjalankan urutan Bali kepada pelanggan.

  • Foto

    WAJAH...terasa segar apabila wajah diurut sehingga pelanggan terlena menikmatinya.

  • Foto

    MEMBACA...sementara menunggu sauna menggunakan infra merah selesai, pelanggan boleh membaca di dalam kabin berkayu.

Pelanggan boleh duduk di atas kerusi panjang selama 30 minit sambil menikmati aroma panas dan suam yang terhasil daripada karbon gentian daripada sinar infra merah ini. Sambil duduk mereka boleh membaca atau berehat sepenuhnya.

Infra merah yang banyak digunakan dalam bidang komunikasi, perubatan dan teknologi ini asalnya daripada cahaya matahari namun kini semakin meluas digunakan dalam bidang kecantikan.


Sinar yang mempunyai panjang gelombang empat hingga 1,000 mikrometer ini selepas dijalankan kajian membawa banyak manfaat kepada tubuh manusia sekali gus menjadi terapi terbaik dalam bidang kecantikan.Menurut Pengarah FIR Health & Fitness Sdn Bhd, Sharon Anne Rowe, yang juga pemilik pusat rawatan dan kecantikan Garden Of Life, gelombang infra merah boleh memberi faedah terapi yang baik kepada badan manusia menerusi rawatan sauna.

"Ini bermakna sauna menggunakan infra merah sangat berkesan untuk menguruskan badan kerana pancarannya mampu menembusi lapisan kulit lalu menghancurkan lemak yang terkumpul di bawah permukaan kulit," katanya.

Sharon Anne memberitahu, banyak kebaikan diperoleh daripada infra merah ini kerana pancarannya akan menghasilkan rasa suam yang menyebabkan pembuluh darah membesar, meningkatkan suhu kulit, membaiki peredaran darah dan mengurangkan tekanan jantung.

Justeru, kehadiran cahaya yang datangnya 80 peratus daripada matahari ini memberi kebaikan bukan saja dalam kecantikan, tetapi juga kesihatan.

"Molekul dalam cahaya ini akan pecah menjadi molekul tunggal sekali gus meningkatkan arus cairan tubuh, seterusnya kandungan oksigen dalam darah," nyatanya.

Menurutnya, Garden Of Life menyediakan perkhidmatan terbaik bukan saja dalam bidang kecantikan, tetapi memperbaiki tahap kesihatan pelanggan. Hanya dengan rawatan setengah jam menerusi sauna kabin menggunakan sinar infra merah, ia boleh membantu untuk menangani pelbagai masalah kesihatan.

"Rawatan sauna infra merah membantu memperbetulkan sistem peredaran darah menerusi getaran yang sama dengan molekul air.

"Molekul itu akan pecah menjadi molekul tunggal sekali gus meningkatkan arus cairan tubuh, sehingga meningkatkan oksigen dalam darah. Selain itu, ia akan meningkatkan sistem imunisasi badan dan membunuh virus dan bakteria yang tidak diperlukan dalam tubuh," jelasnya.

Bagi wanita yang menghadapi masalah berat badan, rawatan sauna infra merah akan meningkatkan metabolisme iaitu pembakaran lebih 600 kalori dalam masa 30 minit rawatan. Apabila pengaliran mikro meningkat, racun dapat dikurangkan menerusi proses metabolisme sekali gus mengurangi beban hati dan ginjal.

"Namun, kadar penurunan kalori ini bergantung kepada tubuh badan seseorang. Ada yang melakukan hanya pada kali pertama sudah nampak perubahan ketara," katanya.

Bagi penghidap asma dan sakit jantung, mereka tidak perlu bimbang kerana walaupun rawatan ini meningkatkan kadar metabolisme dalam badan, ia tidak menjejaskan fungsi jantung atau paru-paru. Malah ada hospital menggunakan kaedah infra merah dalam perubatan mereka.

Dengan suhu sekitar 25 darjah celsius, setiap orang akan merasai pengalaman berbeza selepas menggunakan rawatan ini.

"Ada yang mendapat kesan serta-merta misalnya hilang rasa pening atau kurang migrain, rasa lebih segar dan sihat serta mengatasi masalah sukar tidur malam," katanya.

Rawatan infra merah yang berasal dari China ini amat digemari dalam kalangan wanita bagi membantu untuk memulihkan penyakit kulit seperti ekzema dan mengurangkan selulit. Mereka yang menghadapi masalah jerawat yang teruk juga digalakkan mencuba kerana menerusi pengeluaran peluh dan cecair daripada liang roma, ia akan melancarkan peredaran darah sekali gus mengurangkan masalah kulit yang dihidapi wanita.

"Dalam erti kata lain, infra merah akan bertindak sebagai antioksidan dan menyingkirkan toksid melalui perpeluhan. Ia adalah rawatan antipenuaan yang sangat bagus tanpa menggunakan sebarang produk pada wajah," katanya.

Rawatan infra merah ini bukan saja untuk wanita malah lelaki juga boleh melakukannya. Di Garden Of Life, terdapat dua bilik untuk pelanggan melakukan rawatan secara berpasangan khusus untuk suami isteri.

Bagi memenuhi kehendak wanita yang ingin mendapatkan rawatan sampingan, ia menyediakan perkhidmatan urut Bali yang dilakukan pakar terapi terlatih. Selepas berurut mereka boleh melakukan lulur badan menggunakan bahan tradisional yang boleh memberikan kebaikan kepada kulit.

Selain badan, pakej rawatan wajah disediakan termasuk aromaterapi dan botani sama ada untuk kulit normal atau sensitif.

"Pelanggan tidak perlu bimbang kerana rawatan urut dan wajah menggunakan kaedah Bali boleh memberikan kepuasan bagi pelanggan yang baru kali pertama mencuba," jelasnya.

Bagi memberi keselesaan kepada pelanggan, pusat rawatan ini menyediakan sebuah kafe mini untuk membolehkan pelanggan memesan minuman sementara menunggu pasangan mereka tamat berurut. Pelanggan juga boleh melakukan rawatan rias tangan dan kaki sementara menunggu rawatan infra merah. Tetapi mereka dinasihatkan membuat temu janji terlebih dulu bagi mengelak tidak dapat melakukannya sekiranya terus berkunjung ke spa.

Garden of Life yang terletak Mutiara Tropica dibuka pada Isnin hingga Sabtu bermula jam 9.30 pagi hingga 9 malam.

>INFO - Garden Of Life, Unit 7-1, Jalan Mutiara Tropicana 3, Mutiara Tropicana PJU3, Petaling Jaya, Selangor (03-78055226)

1 comment:

  1. salam..sy ada menjual sabun susu beras..jika berminat boleh layari laman blog sy

    www.sabunberasmurah.blogspot.com

    untuk keterangan lanjut...

    terima kasih...

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: