|
|
APAKAH yang perlu dilakukan oleh seorang isteri kala suaminya menderita kesakitan? Pihak hospital mengesahkan usus besar suami harus dipotong. Pada masa yang sama, perbelanjaan keluarga, rumah sewa, yuran sekolah dan segala keperluan lain terus mendesak.
Itulah secebis kisah kesempitan hidup Ruzita Ismail, 32, dan suaminya, Azman Ali, 40, yang bakal mengisi ruangan Jejak Asnaf kali ini.
Kata Ruzita, peristiwa itu berlaku pada tahun 2006. Suaminya disahkan mengidap ketumbuhan di usus besar dan doktor meminta bahagian yang dijangkiti itu dipotong.
"Sebelum itu, suami saya adalah pemandu bas kontrak dengan gaji kira-kira RM1,500 sebulan. Ditambah pelbagai masalah lain, beliau terpaksa berhenti kerja.
"Bayangkanlah, sebagai suri rumah sepenuh masa kami tidak mempunyai pendapatan lain bagi menyara keluarga. Mujurlah keluarga suami ada juga sedikit-sebanyak membantu. Namun, kehidupan amat rumit. Sukar rasanya mengenangkan saat itu," katanya.
Ibu muda itu terdiam seketika. Rona wajahnya kembali mengenang kisah silam saat hidup mereka sekeluarga dirundung kelam.
"Bayangkan, sewa rumah sudah tertunggak hampir setahun lamanya. Yuran tadika anak pun saya tidak mampu jelaskan. Kami terpaksa meminjam daripada kawan-kawan bagi membayar bil elektrik dan air, jika tidak semuanya akan dipotong.
"Saat itu, saya selalu menangis mengenang kesusahan diri dan keluarga. Tidak pernah saya bayangkan, kami akan melalui kegetiran sehebat itu," katanya sayu.
Azman yang berada di sisi kala wawancara hanya mendengar isterinya berkisah tentang kenangan itu. Setelah menjalani pembedahan, Azman tidak mampu melakukan kerja-kerja berat, kerana bimbang boleh menjejaskan kesan luka di ususnya. Semuanya menambah parah, kerana beliau adalah nadi kepada keluarganya.
Menurut Ruzita, mujurlah pada tahun 2006 itu juga, mereka didatangi pihak jawatankuasa masjid berdekatan yang dapat menghidu kesusahan lantas membuat bancian dan siasatan.
"Akhirnya, kami didaftarkan sebagai asnaf zakat di Lembaga Zakat Selangor (LZS). Bermula dari saat itulah, sinar kebahagiaan mulai memancar kembali dalam hidup kami sekeluarga.
"LZS banyak memberikan bantuan yang tidak kami jangkakan. Misalnya, rumah kami sekarang ini adalah hasil bantuan LZS. Cukup memuaskan, dengan tiga bilik dan siap dengan kemudahan elektrik dan air. Dapatlah kami enam beranak tidur dengan selesa tanpa memikirkan sewa lagi," jelasnya.
Penulis terpandangkan kelengkapan membuat kuih baulu Kemboja yang tersedia di sudut rumahnya. Ada dua mesin pengadun dan sebuah ketuhar pembakar yang agak besar.
"Ketuhar dan mesin ini pun saya dapat daripada pihak LZS di bawah Skim Bantuan Modal. Saya memang berhasrat menjalankan perniagaan.
"Alhamdulillah, pihak LZS telah membantu saya memenuhi impian itu. Di samping LZS, pihak kerajaan juga ada memberikan bantuan tambahan," katanya penuh semangat.
Sebuah lagi mesin pengadun dan sebuah ketuhar yang lebih besar sudah pun disumbangkan oleh pihak kerajaan.
Kini, pasangan itu bercadang menambah sedikit lagi binaan di tepi rumah untuk menempatkan segala kelengkapan membuat kuih.
"Lagipun, tidak selesa rasanya berkongsi ruangan dengan mesin. Nanti jika sudah ada bengkel, mudahlah jika LZS nak membawa orang datang melawat," tambah Ruzita.
Kini kehidupan Ruzita dan suaminya Azman, bersama empat orang anak mereka, Adzwin, 11; Fauzan, 9; Fauzul, 7 dan Faizul, 5, kian teratur.
Ada senyuman yang menghiasi wajah mereka. Senyuman itu pastinya terbit daripada sebuah kegembiraan yang bukan rekaan.
Kini, keluarga itu disantuni dengan wang zakat dalam pelbagai bentuk. Mereka diberi bantuan hari raya, bantuan bulanan dan anak-anak mereka diberi bantuan persekolahan setiap tahun. Rumah mereka pula dibina pada tahun 2009 dengan kos RM38,000 oleh LZS. Modal bagi memulakan perniagaan pula berjumlah RM5,000.
"Kini, kuih baulu kami sudah menembusi pasaran di merata tempat. Bagi daerah Sungai Besar ini sahaja, ada 44 kedai yang menjadi pelanggan tetap kami.
"Hitung panjang, setiap bulan kami mengeluarkan sejumlah 2,400 keping baulu Kemboja dengan harga pasaran RM3 setiap satu. Tetapi bagi pengedar, adalah keistimewaannya.
"Insya-Allah, kami dalam proses menambahkan lagi rangkaian pengedar. Sambutan memang positif. Tak menang tangan kami berdua," katanya.
Menjelang hari raya, kata Ruzita, tempahan akan meningkat sekali ganda. Bahkan ada orang menjadikan produk mereka sebagai oleh-oleh kenduri kahwin.
"Mereka kata, produk kami berbeza. Mungkin kerana resipi saya memang istimewa berbanding baulu Kemboja yang lain," tambahnya.
Hari ini, Ruzita dan Azman boleh tersenyum bangga dengan titik peluh mereka. Pendapatan mereka juga kian meningkat. Tidak mustahil dalam tahun ini, mereka sudah terkeluar daripada senarai asnaf di LZS.
"Kami mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pembayar zakat. Teruskanlah membayar zakat kerana terbukti sudah, LZS benar-benar mengotakan amanahnya membela ummah," kata Ruzita.
Jika ada pembaca yang menempah atau menjadi pengedar kuih Baulu Kemboja keluaran Ruzita Ismail, sila hubungi beliau di talian 013-3109337.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: