Friday, February 25, 2011
Bank Rakyat isytihar dividen 15 peratus
Bank Rakyat mengisytiharkan pembayaran dividen tunai 15 peratus yang berjumlah RM294.9 juta kepada anggotanya mulai hari ini berikutan prestasi bank itu memberangsangkan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak dua peratus daripada keuntungannya turut disumbangkan kepada Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi dan satu peratus kepada Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi.
“Bagi tahun 2010, jumlah sumbangan kepada Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi berjumlah RM34.3 juta, manakala sumbangan untuk Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi berjumlah RM17.2 juta,” katanya selepas mengumumkan Prestasi Kewangan Bank Rakyat bagi tahun 2010, di Kuala Lumpur, semalam.
Menurutnya, rekod keuntungan berkenaan dicapai berikutan peningkatan pendapatan, pengurusan kos cekap, kualiti aset yang kukuh, di samping mengekalkan amalan perbankan berhemah.
“Prestasi kewangan meningkat ini didorong pertumbuhan pembiayaan terutama pembiayaan peribadi dan pendapatan berasaskan fi serta disokong peningkatan deposit,” katanya.
Bank Rakyat turut mencatatkan peningkatan 19.1 peratus atau RM215.2 juta kepada RM1.34 bilion bagi keuntungan bersih, berbanding RM1.13 bilion pada tahun sebelumnya untuk tahun kewangannya berakhir 31 Disember tahun lalu.
Peningkatan 10.8 peratus atau RM167.1 juta turut dicatatkan bagi keuntungan sebelum cukai dan zakat, berbanding RM1.55 bilion pada tahun sebelumnya.
Jumlah pendapatan kasar meningkat 24.3 peratus atau RM921.1 juta kepada RM4.70 bilion, berbanding RM3.78 bilion pada tahun sebelumnya.
Manakala, pendapatan bersih selepas agihan keuntungan kepada pendeposit meningkat 16.7 peratus atau RM435.7 juta kepada RM3.05 bilion, berbanding RM2.61 bilion pada tahun sebelumnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: