|
|
RASA macam dah betul-betul kahwin ni," seloroh pemenang tempat pertama peraduan Gerbang Cinta Mega-Utusan Malaysia Musim Ke- 2 (GC2), Mohamad Danial Hasan Basari, 24.
Jurutera muda itu yang sempat mencuba persalinan pengantin lelaki rona keemasan tidak mampu menyembunyikan perasaan teruja kerana buat pertama kalinya menyarungkan busana indah tajaan Dios Astana Bridal.
Begitu juga dengan tunangnya, Nurul Illiyana Nor Zaidi, 24, yang mengakui pilihan busana pengantin di butik tersebut memang tidak pernah dilihatnya di mana-mana butik pengantin yang pernah dikunjungi sebelum ini.
"Dios memang terbaik, pilihan persalinan pengantin lelaki dan perempuan di sini memang menawan. Saya sendiri sudah rambang mata nak memilih yang mana satu berkenan di hati," katanya ketika ditemui dalam sesi pemilihan dan mengambil ukuran baju pengantin di Dios Astana Bridal yang terletak di Puchong Prima, Selangor.
Dalam pertemuan tersebut, yang turut disertai oleh pemenang tempat ketiga, Marni Azlina Deraman dan pasangannya, Mohd. Saharul Hisham Hashim, mereka berbincang tentang tema pakaian, fabrik, aksesori dan juga cenderahati untuk tetamu.
Pasangan Marni dan Mohd. Saharul yang akan melangsungkan perkahwinan di kediaman pengantin perempuan di Jengka pada 6 Mac ini, telah menetapkan konsep moden kontemporari untuk hari persandingan mereka.
Manakala untuk pemenang tempat pertama, Danial yang memilih tema perkahwinan dalam taman telah menggabungkan idea tersebut dengan Nurul Illiyana, yang memilih tema Inggeris. Hasilnya gabungan taman Inggeris sebagai konsep pakaian mereka berdua nanti.
Sesi tersebut telah dikendalikan oleh pengurus besar Dios Astana Bridal, Zaidi Osman bersama kumpulan lapan pereka fesyen butik tersebut.
Mereka ialah Norazuan Wasim, 20, Siti Aishah Mohamed Shafie, 24, Ruwaida Rosli, 24, Syamimi Mohd Salleh, 24, Sulily Razali, 24, Saliza Sariman, 25, Siti Darmiah Miswan, 24 dan Nor Haslinda Hassan, 23.
Kesemua mereka mempunyai latar belakang dalam bidang seni reka fesyen dari pelbagai institusi seperti Universiti Teknologi Mara, Universiti Kolej Lim Kok Wing dan Politeknik Johor Bahru.
Terdahulu, pemenang tempat kedua dan keempat iaitu pasangan Farid Fikri Shukri dan Nur Natalia Ku Yusof bersama pasangan Mohd Ridhuan Roselee dan Nur Yasmin Mahazir telah melalui sesi tersebut dua hari lebih awal berikutan komitmen tugas.
Zaidi yang sentiasa memantau ketika sesi tersebut berkata, pihaknya begitu berbesar hati terpilih sebagai penaja persalinan persandingan untuk pemenang pertama hingga keempat GC2.
Malah untuk pemenang pertama, pakaian majlis akad nikah turut ditaja.
"Istimewa untuk pengantin GC2, semua persalinan yang dipakai pada majlis persandingan nanti adalah terbaru dan direka khas untuk mereka.
"Sesi hari ini adalah untuk kami semua berbincang dan menentukan apakah yang paling bersesuaian dengan mereka mengikut tema perkahwinan masing-masing.
"Selain itu, faktor warna kulit, saiz badan, waktu perkahwinan sama ada malam atau siang juga menjadi perhatian sebelum menghasilkan busana.
"Kami mengetahui tentang nama pemenang seminggu yang lalu. Kami begitu mengalu-alukan kehadiran mereka untuk berkongsi idea tentang pemilihan busana persandingan," jelasnya.
Kata Zaidi, selepas mengukur saiz badan, kumpulan pereka fesyennya akan menzahirkan lakaran. Ketika itu mereka akan mendapatkan persetujuan pengantin sebelum meneruskan dengan proses potongan kain.
"Semua rekaan sebelum diputuskan perlu mendapat kelulusan saya terlebih dahulu. Tempoh menghasilkan pakaian setiap pasangan adalah selama sebulan," katanya yang turut menaja cenderahati untuk tetamu kepada pemenang pertama hingga ke tiga.
Malah setiap pengantin juga turut mendapat tajaan bunga pahar yang direka khusus.
"Pemenang GC2 kali ini memang bertuah kerana mereka bukan sahaja dapat menggembirakan hati tetamu dengan cenderahati eksklusif kami, malah mereka dapat memberikan satu kenangan yang tidak akan dilupakan," ujar Zaidi.
Lebih istimewa lagi kata Zaidi, pihak pengantin turut berpeluang mengukir nama mereka atas cenderahati tersebut.
Sementara itu salah seorang pereka busana, Norazuan berkata, kesemua pengantin mahukan imej muslimah dalam setiap penampilan dan tema yang mereka pilih.
Justeru, katanya mereka perlu melakukan kajian terperinci agar penampilan tetap anggun di samping memenuhi tuntutan syariat.
Dia dan kumpulannya akan memastikan mereka menghasilkan busana yang sempurna yang memerlukan mereka berkerja kuat untuk menjayakannya.
"Bagi saya sendiri akan memfokuskan pada perincian manik, labuci dan juga teknik rekaan seperti pleat dan gathers di bahu.
"Rekaan ini adalah yang terkini untuk tahun 2011 ini dari hasil pemerhatian kami juga pereka fesyen terkenal tidak mengabaikan potongan ini dalam rekaan busana pengantin mereka.
"Bagi pengantin lelaki pula fabrik bridal satin digunakan dan pengantin perempuan pula gabungan bridal satin, sifon, renda perancis. Setiap rekaan akan mendapat persetujuan dua pihak iaitu pihak pengantin dan Dios sendiri," tambahnya.
Sementara itu, Siti Aishah yang juga bertindak sebagai penasihat aksesori untuk pemenang GC2 berkata, dia turut akan membuat kajian tentang aksesori apakah yang bersesuaian dengan pakaian setiap pengantin tersebut.
"Dengan pengalaman dan ilmu yang ada setiap pengantin akan tampil dengan aksesori yang akan melengkapkan penampilan mereka pada hari bersejarah kelak," jelasnya.
Siti Aisyah juga akan memastikan bahawa aksesori yang dipilih tidak begitu sarat namun tetap anggun pada lelaki dan perempuan.
Selain pakaian, faktor fizikal pengantin turut diberi perhatian terutama untuk layah dan kasut pengantin.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: