Wednesday, February 16, 2011

Nafkah zahir hak mutlak isteri

RAMAI lelaki tidak menyedari bahawa antara tanggungjawab terpenting mereka sebagai suami adalah untuk menanggung dan memberi nafkah zahir. Ia dalam bentuk wang ringgit secara bulanan kepada isteri bagi memastikan segala keperluan rumah tangga cukup dan selesa mengikut kemampuan.

Namun senario yang berlaku kepada Puan J , sering kali berlaku sejak kebelakangan ini. Terdapat banyak aduan di pejabat-pejabat agama negeri mahupun di Mahkamah Syariah berkenaan perlakuan suami yang secara sedar atau tidak enggan, ingkar atau lalai dalam menjalankan tanggungjawab menyediakan nafkah.

Suami perlu akur bahawa hak isteri untuk mendapatkan nafkah zahir dalam bentuk wang ringgit adalah hak mutlak mereka.

Jika suami ingkar terdapat peruntukan di bawah Akta Undang-Undang Keluarga Islam (WP) 1984 dan Akta Membaharui Perkahwinan & Perceraian 1976 yang membolehkan pihak Mahkamah Syariah mahupun Sivil (dalam kes bukan Islam) untuk campur tangan dan mengeluarkan perintah sewajarnya bagi memaksa suami menunaikan tanggungjawab tersebut.

Malahan kegagalan suami untuk membayar nafkah zahir kepada isteri tanpa kerelaan dan keredaan isteri, akan dianggap sebagai hutang tertunggak yang boleh dituntut oleh isteri jika berlaku sebarang tindakan atau tuntutan di mahkamah.

Hukum atau peruntukan bagi suami menunaikan tanggungjawab itu jelas melalui firman Allah SWT: "Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah mengikut kemampuannya. Dan orang yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah dia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepada (sekadar yang mampu)..." (Surah at-Talaq:7).

Melalui perintah Allah ini, jelas dalam apa jua keadaan (melainkan jika isteri telah tamat idah setelah bercerai, hidup dalam perzinaan atau diisytiharkan nusyuz) suami tidak boleh atau tidak sepatutnya melalaikan atau cuai dalam menunaikan hak isteri tersebut.

Sekiranya suami menghadapi masalah kewangan, jika rezekinya disempitkan Allah, dia tetap perlu menunaikan tanggungjawab itu. Melainkan suami tersebut meminta kerelaan dan keredaan isteri dalam hal yang berkenaan.

Namun, apa yang berlaku pada hari ini, sebilangan besar suami tidak pernah atau tidak berani untuk menyatakan secara jelas kedudukan kewangan mereka kepada isteri.

Lebih menyedihkan apabila mereka berandaian urusan wang ringgit dalam rumah tangga adalah kuasa dan hak mutlak suami.

Hakikatnya, isterilah yang berhak untuk meredakan dan melepaskan tanggungjawab suami dalam hal-hal kesempitan hidup sekiranya berlaku dalam rumah tangga.

Terutama apabila suami tidak mempunyai pekerjaan atau berhadapan dengan masalah kewangan.

Ada juga suami yang mempunyai persepsi sekiranya mereka membenarkan isteri bekerja untuk mencari pendapatan sendiri, maka secara automatik tanggungan nafkah zahir itu akan gugur terhadap mereka.

Persepsi ini adalah suatu penyelewengan kerana tanggungan suami terhadap isteri ia;ah dalam menyediakan wang ringgit bagi kehidupan yang selesa.

Suami perlu faham walaupun dalam situasi isteri bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri, tanggungan suami bagi memberikan nafkah zahir itu tidak hilang secara automatik.

Walaupun dalam situasi pendapatan isteri adalah jauh lebih besar daripada suami.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: