Sunday, February 13, 2011

AuraFaizal Ismail



Nama Faizal Ismail cukup sinonim sebagai penyampai radio. Namun, di sebalik suara itu, Faizal sebenarnya sudah lama menyimpan hasrat tampil sebagai pengacara. Lebih tepat mengacarakan rancangan berbentuk bual bicara.

Pun begitu, impiannya kini menjadi kenyataan apabila diberitahu pihak pengurusan untuk tampil dengan program terbaru Apa Saja... FBI.

Program bual bicara ringan itu begitu dekat dengan dirinya dan menggunakan namanya di dalam rancangan berkenaan.

“Saya terkejut dan tidak sangka akan menjadi pengacara rancangan sendiri. Sebelum ini, suka tengok program bual bicara. Tidak kisah daripada dalam atau luar negara. Sampai berangan mahu ada program sendiri. Akhirnya menjadi kenyataan.

“Menerusi Apa Saja.. FBI saya dapat berkongsi segala info dengan penonton. Saya diberi kebebasan menentukan setiap segmen dalam rancangan ini,” katanya.

Penerbit rancangan itu, Roslina Abdul Rahman berkata, pemilihan Faizal sebagai pengacara adalah kerana kepetahan dan keceriaannya sebelum ini sama ada di radio atau di pentas Juara Lagu berjaya membuatkan penonton terhibur. Ditambah wajahnya yang bersahaja ketika membuat jenaka.

“Kami bangga dapat bekerja dengan Faizal. Dia bukan sahaja memberikan sepenuh komitmen, sebaliknya Faizal mempunyai banyak idea menarik.

“Faizal sudah menunjukkan kesungguhannya dan ini dibuktikan menerusi dua episod yang mengetengahkan topik panas dan sensasi seperti 'Suami Muda' dan 'Terkenal di Youtube' yang berjaya mendapatkan lebih 500,000 penonton,” katanya.

Untuk kelainan, Apa Saja... FBI turut mengetengahkan segmen Terkono Den sama seperti panggilan hangit di Hot.fm. Menerusi segmen itu, Faizal akan ke luar studio dan berlakon ‘mengenakan’ orang ramai.

Tidak hanya terhad kepada selebriti, Apa Saja... FBI turut menampilkan kelainan di mana menjemput mereka yang terkenal menerusi laman sosial YouTube seperti Cikgu Shida serta Paku dan Belacan dalam episod ‘Terkenal di YouTube’.

“Ramai orang di luar sana suka mengambil video dan dimuat turun ke laman sosial YouTube. Mereka tidak sangka akan menjadi glamor dan popular. Jadi kita panggil mereka untuk kongsi pengalaman bersama penonton.

Walaupun baru tiga kali bersiaran, namun rancangan berkenaan mendapat tindak balas positif penonton.

“Kami terharu dengan sokongan peminat terhadap rancangan ini. Banyak kritikan membina kami terima menerusi laman facebook. Antaranya, memanjangkan tempoh siaran selama sejam. Kami menghargai sokongan peminat terhadap rancangan ini, walaupun masih baru,” katanya.

Rancangan 13 episod itu akan disiarkan setiap Jumaat, jam 8.30 malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: