Sunday, February 13, 2011

Shahir bangkit bina karier

Sekalipun masih baru dalam bidang seni, namun juara program realiti Akademi Fantasia musim ke-8 (AF8), Ahmad Shahir Zawani, 22, atau Shahir sudah berdepan pelbagai ujian.

Bermula musibah ditimpa kemalangan jalan raya dan ditaja memandu kereta mewah seterusnya kisah khimat pesanan ringkas (SMS) pelakon cantik, Rozita Che Wan dan mengejutkan ramai peminat akhir tahun lalu Shahir menghilangkan diri tanpa sebab, sehingga ada melabelkan Shahir ‘besar kepala’.

Namun, Shahir tidak melatah dan menerima semua itu sebagai takdir. Shahir turut menganggap apa yang berlaku sebagai rencah kehidupannya sebagai selebriti.

“Kalau asyik memikirkan apa yang orang katakan, memang tidak jadi kerja. Sukar untuk menutup mulut orang. Saya tidak bimbang atau menyalahkan sesiapa dalam soal ini. Saya bersyukur dengan pencapaian saya setakat ini.

“Saya anggap diri ini masih baru dalam dunia seni dan banyak perkara perlu dipelajari,” katanya.

Pelatun Kebahagiaan Dalam Perpisahan itu berkata, dia enggan menoleh kebelakangan dan sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan peminat, Shahir kini dalam proses menyiapkan single dan album penuh yang sudah lama dinantikan peminat.

“Saya dan pihak pengurusan merasakan sudah tiba masanya untuk merakamkan album penuh, bimbang peminat bosan dengan satu lagu sahaja.

“Saya sudah merakamkan tiga lagu setakat ini, Luar Biasa, Pendam dan Dia Yang Kau Pilih. Setakat ini, Luar Biasa sudah mula dimainkan di radio,” katanya yang masih memikirkan untuk menyumbang sebuah lagu di dalam album sulungnya nanti.

Shahir berkata, buat masa ini, dia hanya mahu memberi perhatian terhadap album sulungnya dan berharap album itu dapat dikeluarkan dalam masa terdekat ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: