Friday, February 4, 2011

Aroma daun pisang bangkit selera


Ayam masak pedas pedas yang menyelerakan.


HIDANGAN beralaskan daun pisang menjadi antara makanan popular di kalangan masyarakat tempatan di Malaysia hari ini. Lazimnya, sajian ini dipelopori kaum India ataupun mamak. Tetapi hari ini bagi peminat-peminat setia makanan ini, mereka boleh menikmatinya di sebuah restoran Melayu.

Terletak di Nombor 2, Jalan Tengku Ampuan Zabedah K9/K, Seksyen 9, Shah Alam, Selangor, menu yang disajikan bukan sahaja memenuhi selera orang ramai bahkan kepelbagaian resipi turun temurun yang ditampilkan pastinya menambat citarasa.

Menurut pemilik restoran tersebut, Hazreena Makmin, 40, resipi yang digunakan di restorannya adalah turun temurun yang dihasilkan keluarga mertuanya.

''Sebenarnya, restoran ini diusahakan oleh suami saya bersama ibunya, Halimah Saaid. Sebelum ia dibuka di sini, ibu bersama bapa mertua saya mengusahakannya di Alor Star, Kedah.

''Yang pasti, resipi yang digunakan sudah menjangkau 20 tahun dan ia sememangnya merupakan 'air tangan' ibu mertua saya hingga ke hari ini.

''Kiranya ini merupakan menu versi Melayu nasi daun pisang,'' ujar ibu kepada tiga orang cahaya mata itu.

Tambah Hazreena, restorannya menyediakan dua set menu makanan di atas pinggan berlapik daun pisang iaitu set nasi putih dan set nasi minyak.

Katanya, setiap set para pelanggan bebas memilih lauk yang mereka gemari seperti udang, sotong, burung puyuh, ikan siakap, senangin dan jenahak untuk nasi putih.

Untuk nasi minyak pula, pilihan lauk terdiri daripada kurma daging, ayam masak merah, daging kicap, air asam, dalca dan acar timun.

Selain menyediakan pelbagai pilihan menu kepada para pelanggan, uniknya Restoran Cili Merah, Daun Pisang ini ialah, kesemua sajian dihidangkan panas-panas. Ia hanya akan dimasak apabila dipesan oleh pelanggan.

Bukan itu sahaja, beras yang digunakan juga berkualiti iaitu beras herba ponni, yang tidak berkanji.

Ulas anak kelahiran Johor Bahru itu lagi, bagi setiap makanan yang ditawarkan di sini, penggunaan santan diminimumkan supaya makanan yang disajikan lebih sihat.

Selain menu nasi daun pisang, Restoran Cili Merah, Daun Pisang turut menyediakan pelbagai pilihan menu istimewa lain seperti kuetiau kerang, laksa Kedah, mi rebus, nasi goreng, mi bandung tulang, nasi goreng udang besar dan banyak lagi.

Dalam pada itu, menu barat turut dihidangkan seperti lamb chop, hainan chicken shop, fish and chips, chicken chop dan sirloin steak.

''Di sini, kami menyediakan pelbagai menu untuk dinikmati para pelanggan. Sudah pasti kami menyediakan menu-menu istimewa dari Kedah dan tidak ketinggalan dari Johor.

''Yang pasti, segala bahan yang digunakan adalah segar dan berkualiti supaya setiap menu yang dihasilkan berkualiti untuk dinikmati setiap pelanggan yang datang.

''Kami juga menyediakan segala bahan-bahan masakan setiap pagi bagi memastikan kesegarannya terjamin,'' katanya.

Boleh memuatkan seramai 60 orang pada satu-satu masa, dekorasi yang ditampilkan juga sedap mata memandang.

Selain menawarkan harga yang berpatutan untuk setiap menu, restoran tersebut turut dilengkapi dengan pendingin hawa.

Tidak rugi kiranya anda membawa keluarga menikmati makanan di Restoran Cili Merah, Daun Pisang kerana di sini 'macam-macam ada'.

Selamat menjamu selera!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: