Tuesday, February 1, 2011

Ahli politik mengaku seludup dadah


RONALD SINGSON ditemuramah wartawan di luar sebuah mahkamah di Hong Kong semalam.


HONG KONG - Ahli Kongres Filipina, Ronald Singson semalam mengaku cuba menyeludup kokain ke Hong Kong di sebuah mahkamah di sini.

Mahkamah itu diberitahu bahawa dadah itu disembunyikan di dalam seluar dalamnya untuk mengelirukan pengawal-pengawal keselamatan lapangan terbang.

Ahli politik berusia 42 tahun itu yang berasal daripada keluarga yang berpengaruh di Filipina, mengaku membawa masuk 6.7 gram kokain dan dua tablet dadah Nitrazepam ke bandar raya ini pada 11 Julai 2010.

Dia ditangkap di lapangan terbang antarabangsa Hong Kong oleh beberapa pegawai kastam yang menemui sejumlah kecil kokain dan pil khayal dalam bagasinya, bersama-sama enam gram kokain di dalam seluar dalamnya.

Nilai keseluruhan kokain berkenaan adalah sekitar AS$2,000 (RM6,120).

Namun, dia menafikan untuk menjual dadah itu sebaliknya menggunakannya untuk melegakan tekanan politik yang dihadapinya.

"Apabila saya mengambil kokain, saya akan mengambilnya dalam jumlah yang besar, selalunya pada setiap hari," katanya di mahkamah.

"Saya meminta maaf kepada penduduk Hong Kong. Ia merupakan satu kesalahan besar dan saya telah merosakkan nama reputasi saya, memalukan keluarga saya dan menyebabkan kekasih saya sakit," tambahnya.

Hukuman terhadapnya akan diputuskan hari ini dan jika disabit kesalahan akan dihukum penjara seumur hidup atau denda AS$640,000 (RM1.96 juta).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: