Saturday, February 12, 2011

2 kapal cuba pindah minyak ditahan


KAPAL MT Pacific Brave (kiri) dan MT Pelangi Berjaya yang ditahan kerana memindahkan minyak tanpa permit di Tanjung Piai, Pontian semalam.


JOHOR BAHRU – Cubaan sebuah kapal untuk memindahkan 300,000 liter minyak Marine Gas Oil (MGO) secara haram ke sebuah kapal lain di perairan Tanjung Piai, Pontian semalam berjaya digagalkan oleh anggota Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan.

Ketua Penguat Kuasanya, Laksamana Pertama Maritim Zulkifili Abu Bakar berkata, kedua-dua buah kapal terbabit, MT Pacific Brave dan MT Pelangi Berjaya ditahan kira-kira pukul 4.45 pagi.

Katanya, kedua-duanya dikesan kira-kira 3 batu nautika dari Tenggara Tanjung Piai dalam keadaan mencurigakan kerana berlabuh berdekatan di antara satu sama lain.

“Anggota kami yang meronda dengan bot laju Kilat 47 kemudian menghampiri kedua-dua kapal tersebut yang disyaki melakukan aktiviti pemindahan minyak dari kapal ke kapal,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Menurut Zulkifli, apabila diperiksa, kira-kira 300,000 liter minyak untuk kegunaan enjin kapal itu sedang dipindahkan dari kapal MT Pacific Brave yang didaftarkan di Singapura ke kapal MT Pelangi Berjaya yang berdaftar di Pelabuhan Klang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: