Saturday, January 15, 2011

Teater Spider-Man RM198.6j ditangguh lagi


SATU imej publisiti yang dikeluarkan pihak The O and M Come menunjukkan lagak Spider-Man lakonan Christopher Tierney dalam teater muzikal Spider-Man: Turn Off the Dark di New York.


NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) - Pementasan teater muzikal Spider-Man: Turn Off the Dark dihantui penangguhan yang meningkatkan kos selain kemalangan menjelang persembahan teater itu di Broadway di sini.

Pada Khamis lalu, para penerbit teater Spider-Man di Broadway itu yang menelan kos AS$65 (RM198.6 juta) mengumumkan penangguhan buat kali kelima dengan alasan untuk melancarkan beberapa aspek persembahan tersebut.

Menurut mereka, persembahan teater itu dijadual bermula pada 15 Mac depan, lebih sebulan lewat daripada jadual asal pembukaannya iaitu pada 7 Februari depan.

"Kami memerlukan lebih banyak masa untuk melaksanakan sepenuhnya aspek kreatif persembahan ini," kata penerbit bersama teater Spider-Man, Michael Cohl.

Pementasan yang paling mahal dalam sejarah Broadway itu ditimpa pelbagai masalah sejak dari mula lagi. Setakat ini, empat pelakon cedera semasa sesi latihan.

Seorang pelakon teater itu, Natalie Mendoza menarik diri selepas dia cedera semasa melakukan latihan.

Teater itu yang diwarnai aksi lagak ngeri menyebabkan pegawai-pegawai penyiasat keselamatan dipanggil bagi menyiasat aspek keselamatan dalam adegan lagak ngerinya.

Ia diarahkan oleh Julie Taymor manakala pelakon utamanya, Christopher Tierney cedera selepas melakukan aksi lagak negeri pada 20 Disember lalu.

Dia mengalami keretakan tengkorak, retak tulang selangka, empat tulang rusuk dan tiga tulang belakangnya turut retak.

Dalam teater itu, penyanyi terkenal, Bono turut menyumbangkan kepakarannya menerusi muzik bersama The Edge.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: