|
|
JAM di tangan menunjukkan pukul 12 tengah malam. Kompleks membeli-belah sudah lama ditutup. Beberapa kedai kecil juga mengambil langkah yang sama.
Namun jalan-jalan utama sekitar Nanba, sebuah kawasan membeli-belah dan berlibur yang terkenal di Osaka, masih belum menampakkan tanda-tanda akan lengang. Kenderaan bersilih ganti, begitu juga pengunjung tetap berpusu memenuhi bahu-bahu jalan.
Malam terakhir di bandar raya ketiga terbesar Jepun itu, penulis bersama beberapa orang teman mengambil peluang untuk menyusuri kehidupan warganya yang sentiasa bergaya.
Kebetulan malam Sabtu, maka kesempatan cuti keesokan hari digunakan sepenuhnya untuk mereka berlibur hingga ke pagi. Dan tatkala jarum jam bergerak hampir ke pukul 1 pagi, Osaka seakan tiada penghujungnya.
Atmosfera musim luruh yang menggigit hingga ke tulang tidak membataskan aktiviti malam di situ. Dari lobi Swissotel Nankai, kami berjalan kaki menyusuri jalan sekitar Dotonbori hingga ke Shinsaibashi tanpa tujuan tertentu. Sekumpulan lelaki kacak dengan gaya rambut yang menawan mencuri tumpuan. Fesyen pula tak ubah seperti hero filem Jepun, berseluar panjang dan berjaket material kulit, sesuai dengan wajah mereka yang tampan. Sekumpulan lagi lelaki bergaya profesional, lengkap dengan suit pejabat dan menjinjing briefcase. Mungkin mereka dari pejabat, tidak terus pulang ke rumah sebaliknya menikmati malam minggu bersama teman-teman.
Beberapa gadis comel, memakai but tinggi dihiasi bulu haiwan, berskirt pendek bersarung stokin ketat pelbagai gaya. Menariknya gadis-gadis Jepun dan kosmetik seakan tidak boleh dipisahkan. Menurut seorang teman yang tinggal di sana, mereka sentiasa bersolek lengkap, memakai bulu mata palsu dan rambut berdandan rapi.
Kami berjalan hingga ke sebuah jambatan yang dikenali sebagai Bridge of Love. Di situ menjadi tempat beberapa gadis memikat pasangan. Tanpa segan silu, mereka cuba mendekati lelaki yang lalu lalang dan menegurnya. Jika bernasib baik dan perangkap mengena, maka bermulalah adegan yang seterusnya. Jambatan itu juga menjadi saksi beberapa pasangan untuk menghabiskan waktu malam bersama.
Menariknya, warga Osaka dan Jepun sendiri amnya memang tidak suka mengambil tahu hal orang. Buatlah apa yang anda mahu, tiada siapa yang akan peduli, masing-masing punya agenda tersendiri.
Beberapa kedai kecil masih beroperasi. Kedai menjual alat solek, pakaian dan cenderahati masih menjadi tumpuan. Restoran eksklusif dan juga warung kecil juga masih menjalankan perniagaan.
Osaka sememangnya terkenal dengan pelbagai jenis makanan enak terutama makanan laut. Ini berikutan kedudukannya yang terletak berhampiran dengan Teluk Osaka. Antara yang terkenal adalah takoyaki (bebola sotong), ketam bakar, ebiyaki (bebola udang), okonomiyaki (pankek), udon (sejenis mee) dan juga sushi tradisional. Gelagat pengunjung yang menikmati udon panas menarik perhatian. Sepinggan udon panas licin dalam sekelip mata.
Kedai pachinko atau dalam bahasa mudah, mesin tikam ada di mana-mana. Pelbagai hadiah yang ditawarkan, memenuhi kiri dan kanan jalan. Kegilaan anak muda Jepun terhadap pachinko tak perlu dipertikaikan. Apatah lagi jika habuannya cukup menarik seperti patung anime dan gajet elektronik masa kini.
Lebih menarik bermain pachinko di situ, pekerja kedai sudi membantu seandainya kita gagal mendapatkan barangan yang dihajati. Selepas beberapa kali mencuba, mereka akan membantu meletakkan hadiah yang diingini pada posisi yang memudahkan kita mencuba. Dan akhirnya barangan yang dihajati menjadi milik sendiri.
Kami meneruskan lagi perjalanan, mencuci mata dengan pelbagai ragam pengunjung di situ. Benar kata orang kemajuan dan kemodenan sesebuah negara belum pasti menjanjikan kesenangan rakyatnya.
Golongan merempat masih ramai memenuhi kaki lima kedai. Mereka menjadikan kotak yang diubah seakan kamar kecil yang hanya muat seorang untuk berbaring, sebelum kembali meneruskan rutin seharian pada keesokan harinya. Pengemis dengan gaya tersendiri turut tidak ketinggalan.
Pagi semakin larut, keletihan dan kedinginan bayu Osaka membuatkan kami akhirnya mengambil keputusan pulang sahaja ke kamar hotel. Pun begitu, sepanjang perjalanan pulang kelibat manusia tetap sesak seperti biasa, seakan tidak mahu tidur selamanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: