Sunday, January 30, 2011

MPV serba mewah


Enjin: 3 liter, 6V, 4 injap setiap silinder
Kuasa Maksimum: 231 kuasa kuda @ 6000 rpm
Kuasa Kilas: 300 Nm pada 2500-5000 rpm
Transmisi: Tujuh kelajuan 7G-TRONIC
Tangki Penuh: 80 liter
Harga: RM470,888 dan RM478,888


DALAM himpunan kenderaan penumpang Mercedes-Benz, R-Class adalah yang terbesar daripada segi saiz, sesuai dengan fungsinya untuk keluarga. Namun, disebabkan elemen mewah pada R-Class ia juga diguna oleh korporat atau individu berpendapatan tinggi sebagai kereta rasmi. Alasannya mudah. Ruang di dalamnya sangat luas dan selesa.

Pertama kali diperkenalkan ke pasaran Malaysia pada 2006, kini Mercedes-Benz memperkenalkan generasi terbaru R-Class. Rupa depannya diubah sama sekali bagi meningkatkan daya estetika kepada lebih sporty yang digarap dari reka bentuk kereta sedan dan SUV Mercedes-Benz yang lain.

Generari terbaru R300L memaparkan penampilan baru yang teguh. Ia membawa tafsiran keseluruhan yang dipahatkan oleh kewibawaan pada reka bentuknya yang mendakap personaliti unik kereta mewah ini. Fokus pereka ialah menyusun semula bahagian depannya dengan memberi penekanan pada lebar dan mengguna pakai bonet yang direka secara melintang, seterusnya diselaraskan dengan sentimen dinamik yang cukup kukuh padanya. Selain bonet, sis badan kenderaan, jeriji radiator dan sekitarnya, lampu depan dan bamper dengan garis berwarna krom di bawahnya merupakan rekaan baru. Lampu LED siang hari juga menambah rupa R-Class.

Daripada sudut sisi, badan R-Class baru ini bagaikan ada unsur coupe, yang menjarakkan dirinya daripada rekaan konvensional MPV dan diperkukuhkan lagi dengan reka letak cermin luar dan rekaan roda. Falsafah reka bentuk dari depan tersebut berterusan hingga ke bahagian belakang di mana bamper baru juga diperkenalkan, di samping lampu belakang.

Di ruang dalam, ia adalah sebuah MPV yang boleh memuatkan tujuh penumpang dan masih boleh memuatkan beg besar di belakang. Namun, kerusi barisan terakhir boleh dilipat rata bagi memberi ruang kargo seluas 2,385 liter.

R300L dipasang dengan transmisi generasi terkini yang inovatif iaitu 7G-Tronic. Ia kini memiliki ciri baru yang beroperasi dengan tekanan minyak yang berbeza dan menggunakan minyak lincir yang rendah. Ia mengurangkan geseran, sekali gus meningkatkan kecekapan.

Kenderaan ini juga memiliki pelbagai ciri-ciri yang dipasang standard yang menjadikan perjalanan pendek atau jauh, menjadi lebih selamat dan tenteram. Ciri-ciri itu merangkumi sistem perlindungan penumpang PRE-SAFE®, lapan beg udara, sistem amaran kehilangan tekanan angin tayar dan lampu bi-xenon dengan pengubahan jarak yang dinamik. Keselamatan juga dipertingkatkan menerusi sistem telematiks seperti sistem navigasi COMAND APS beserta kawalan suara LINGUATRONIC.

Sebagai tambahan kepada teknologi keselamatan aktif dan pasif, Blind Spot Assist memberi sumbangan besar kepada langkah mengelakkan kemalangan dalam R-Class ini. Lampu segi tiga kuning akan bernyata pada cermin sisi (di samping bunyi amaran yang halus) apabila ada kenderaan memotong. Ia pertama kali diperkenalkan dalam S-Class pada 2007 sebagai amaran semasa kereta terbabas garisan jalan. Ia kini dilengkapi radar jarak dekat bagi memberi amaran kepada pemandu.

R300L yang diimport sepenuhnya (CBU) dari kilang pemasangan Mercedes-Benz di Amerika Syarikat (AS) itu diberi beberapa penambahbaikan ketara seperti sistem suspensi Airmatic dengan penyesuaian ketinggian lantai bagi menahan hentakan di jalan yang tidak sekata, bantuan lampu isyarat 'blind spot', selain reka bentuk luaran lebih sporty dan mewah memberikan personaliti unik kepada model generasi terbaru R-Class itu.

Kenderaan ini juga dipasang dengan sistem kawalan iklim automatik yang mewah,

THERMOTRONIC yang merupakan gabungan penapis udara untuk mengurangkan pencemaran daripada udara yang memasuki kenderaan dan memisahkannya daripada sistem pendingin hawa. Kotak barangan pada panel pemuka kini juga menempatkan sambungan media untuk memainkan MP3, USB dan sebagainya.

Untuk hiburan penumpang belakang, mereka kini boleh memainkan filem pilihan menerusi sistem hiburan yang dilengkapi paparan LCD 8 inci.

Sungguhpun memiliki badan besar, R300L dilengkapi enjin 3.0L V6 dengan transmisi automatik 7 kelajuan 7G-Tronic yang membolehkan anda memecut 0-100 kilometer sejam dalam 9.7 saat sebelum mencecah kelajuan maksimum 222 kilometer sejam.

Tidak seperti model R350L yang menggunakan pacuan empat roda, versi R300L menggunakan sistem pacuan roda belakang, sekali gus memberikan pengalaman pemanduan sama seperti kereta Mercedes-Benz yang lain.

Ciri lain terdapat pada model R300L ialah penjimatan penggunaan bahan api dengan menggunakan 11.1 liter hingga 11.3 liter petrol bagi setiap 100 kilometer.

Mercedes-Benz R300L ditawarkan dalam dua versi iaitu pada rodanya. Versi menggunakan rim roda aloi 18 inci dijual pada harga RM470,888 dan versi lebih sporty menggunakan rim aloi 20 inci AMG berharga RM 478,888.00.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: