|
|
WANITA genit ini sekali lagi dihimpit kontroversi. Namanya kembali di bibir peminat industri seni. Ia atas sebab yang cukup klise di kalangan perempuan iaitu lelaki.
Biarpun berulang kali Nora Danish mengatakan dia tidak terlibat langsung dengan perpisahan yang terjadi antara bekas suaminya, Rizal Ashram atau Jejai yang merupakan anak bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib dengan seorang aktres, tapi Nora tetap diasak dengan persoalan yang sama.
Sekarang ini pula pelakon drama Puteri ini berdepan dengan pelbagai dakwaan negatif seperti gila talak dan penghancur kebahagiaan percintaan orang lain.
Dalam tenang, anak kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu yang ditemui baru-baru ini menerangkan bahawa dia tak pernah berniat untuk mengganggu urusan percintaan mereka.
“Beginilah, isu ini sebenarnya sudah berlanjutan selama tiga tahun, selepas penceraian saya. Malah, saya dah lali kalau orang bercakap yang bukan-bukan tentang saya. Begitu juga tentang kisah perkahwinan yang digembar-gemburkan mereka.
“Tapi yang saya betul-betul tak faham kenapa kali ini ‘perempuan’ itu mengaitkan saya sebagai punca perpisahan? Saya ada bertanyakan perkara yang sama kepada Jejai. Dia cakap ada sebab lain dan bukan saya puncanya.
“Lepas itu keluar dakwaan saya menghasut keluarga bekas mentua agar membenci pelakon itu. Fakta itu sebenarnya salah dan buat saya betul-betul terkilan.
“Satu dunia tahu, keluarga Tan Sri adalah keluarga berpengaruh dan disegani. Mana mungkin, saya yang bekerja sebagai pelakon ini mampu menghasut mereka agar turut membenci pelakon itu,’’ reaksi awalnya tentang hubungan Jejai dengan bekas kekasihnya, Fasha Sandha.
Apa yang menyebabkan Nora menggelengkan kepala apabila ada pihak masih menuding jari ke arahnya walaupun berulang kali dia menafikan.
Tegasnya, “Kalaulah saya ada kuasa untuk mempengaruhi Jejai agar memberitahu kepada semua orang tentang duduk perkara sebenar, sudah pasti saya akan buat sebegitu. Malangnya, tidak. Saya pula dipersalahkan.
“Apa pun, saya sangat bersyukur apabila Jejai bantu bersihkan nama saya dengan mengeluarkan kenyataan di media. Itu yang membuatkan saya terharu setelah sekian lama saya berdiam diri dengan hubungan cinta mereka,” katanya lagi.
Percutian paling bermakna
Melihat gambar-gambar kenangan percutian Nora bersama bekas suami dan keluarganya, terlintas di fikiran, apakah akan ada perkembangan positif tentang mereka?
Apakah akan ada kemungkinan untuk Putera Rayqal kembali mendapat kasih sayang ibubapanya dalam ikatan yang sah?
Ditanya adakah kemungkinan Nora akan kembali ke pangkuan Jejai, wanita kecil molek ini berulang kali menggelengkan kepala.
Katanya, perkara itu tidak mungkin berlaku kerana dia dan Jejai hanya selesa dalam ikatan sahabat atau kawan sahaja ketika ini.
“Saya bukan menafikan tentang soal jodoh. Tapi, lebih baik tiada ikatan sebagai suami isteri demi kebaikan anak. Biarlah kami selesa menjadi ibu dan bapa sahaja kepada Rayqal tanpa ikatan suami isteri.
“Malah semasa bercuti baru-baru ini di Tokyo dan Niseko, Jepun baru-baru ini, saya akui memang lebih baik antara kami tiada ikatan nikah.
“Kami selesa bercerita tentang masalah masing-masing. Kami mesra sebagai ibu dan bapa kepada seorang anak, bercerita tentang perancangan masa depan Rayqal, tentang kehidupan baru kami dan ia sesuatu yang menggembirakan kami,” katanya jujur.
Semasa percutian selama 20 hari bermula pertengahan Disember 2010 itu, dia adalah ibu paling bahagia dan terharu di dunia kerana melihat Rayqal dikelilingi bapa, datuk, nenek dan bapa saudara yang cukup menyayangi anaknya.
Anak berusia dua tahun itu mahu Jejai sentiasa berada di sisinya untuk bermain atau melakukan banyak perkara bersama.
Dalam perkembangan yang sama, tatkala ditanya adakah Jejai pernah bercerita sesuatu kepada Nora semasa percutian bersama mereka tentang punca perpisahan dengan Fasha, wanita berusia 29 tahun ini menyungging senyum.
“Jujurnya memang ada perbincangan. Ada juga dia bercerita. Tetapi tidak perlu diceritakan kepada orang lain. Saya tak mahu dikata penghasut lagi dan saya cuma menjadi pendengar. Cukuplah perkara yang sudah-sudah tu.
“Saya pun tak mahu fikir masalah orang lain, lebih baik fikir masalah diri sendiri,’’ katanya.
Mahu bertemu pelakon itu?
Diajukan soalan sama apa tindakannya andai bersemuka dengan bekas kekasih Jejai, wanita ini enggan membayangkan perkara itu.
Seboleh-bolehnya, dia mengelak dari bertemu dengan ‘perempuan’ itu atas apa jua tindakan yang pernah dilakukan atasnya.
“Apa yang berlaku dalam set penggambaran drama Spa Qistina dulu, adalah satu pengajaran. Saya tak mahu membuat silap untuk kali kedua dan itu adalah pengajaran sepanjang zaman.
“Saya berdoa agar tidak berlaku perkara yang sama lagi. Saya juga tak menolak kemungkinan andai satu masa nanti saya dengan aktres itu akan berdamai.
“Tapi perkara ini terlalu awal untuk ketika ini, saya masih tak boleh lupa semua apa yang sudah berlaku. Kalau suatu masa nanti, saya sudah okey, mungkin akan ada perdamaian, “ katanya tanpa hipokrasi.
Kisah banglo 10 bilik
Berhubung dengan hadiah pemberian istimewa daripada keluarga bekas mentua, sebuah rumah banglo 10 bilik yang bernilai jutaan ringgit, heroin Cuti-Cuti Cinta ini tersenyum sambil menyangkal dakwaan itu.
“Jujurnya, saya sendiri tidak tahu dari mana timbul cerita ini. Pening kepala juga kalau orang di luar lebih tahu tentang kehidupan saya.
“Saya sedar asal usul saya, di mana kedudukan saya di kalangan keluarga bekas mentua saya itu. Janganlah saya dikata mengambil kesempatan kerana sangkaan itu tidak benar sama sekali.
“Terima kasih saya ucapkan kepada penyebar cerita palsu itu sebab bercerita tentang keburukan itu. Semoga Tuhan membalas segala perbuatannya itu,” selar wanita ini.
Tiupan semangat
Ditanya dari mana pemilik nama sebenar Nora Danish Mohd. Hanif mendapat tiupan semangat yang kuat untuk berdepan dengan dugaan tatkala kini, pelakon drama Arjuna ini ada cerita tersendiri.
“Saya pernah diceraikan ketika sedang mengandung. Hanya wanita yang pernah mengalami situasi perit sebegini yang tahu macam mana sakitnya. Ia tercatat sebagai peristiwa paling perih dalam sejarah hidup saya.
“Pemikiran, jiwa dan perbuatan ketika itu tak selaras. Macam-macam benda yang kita fikir. Apa pandangan orang sekeliling bila keluar rumah dengan keadaan membuncit sebegitu? Macamana nak jaga anak?
“Tapi, disebabkan mahu lihat darah daging saya lahir di dunia ini, saya bulat hati untuk jadi kuat. Saya tak pedulikan apa yang orang di luar sana berkata tentang saya.
“Biarkan mereka bercakap dan saya percaya semua perkara itu akan berhenti. Ketika itu hikmah di sebalik kejadian pasti muncul, dan orang akan tahu siapa sebenarnya yang bersalah,” ceritanya membuka lembaran lama.
Pada masa yang sama, bintang filem Jangan Pandang Belakang Congkak 2 ini mengharapkan kebahagiaan mutlak miliknya satu masa nanti, apabila dipertemukan dengan jodoh sekali lagi.
Siapakah gerangan jejaka, masih belum boleh didedahkan lagi kerana menurut Nora, hatinya belum ditawan sesiapa lagi sehingga ke hari ini.
nora..dulu msa ko keja kilang...ko idolakan aku ja...
ReplyDelete