Sunday, January 30, 2011

‘Spiderman’ terima padah

BERATUR... sebahagian pendatang tanpa izin ditahan ketika serbuan awal pagi semalam.
BERATUR... sebahagian pendatang tanpa izin ditahan ketika serbuan awal pagi semalam.

SUBANG JAYA: Tindakan berani seorang lelaki warga Indonesia melakukan aksi ‘spiderman’ dengan terjun dari kediamannya di tingkat tiga membawa padah apabila cedera parah di pinggang dan patah kaki.

Lelaki terbabit panik selepas Pangsapuri Seri Mutiara diserbu Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dengan kerjasama pegawai Imigresen dan anggota Rela, semalam.


Dia mulanya melawan anggota yang menahannya sebelum terjun semata-mata ingin melarikan diri.

Dalam operasi dijalankan pada jam 1 pagi, lelaki berkenaan tidak mempedulikan kecederaannya dan terus melarikan diri, namun berjaya ditangkap pihak berkuasa di bawah pangsapuri terbabit.


Sementara itu, satu unit di pangsapuri berkenaan terpaksa dipecahkan apabila penghuni enggan membuka pintu selepas diketuk berulang kali.


Selepas berjaya memasukinya, muncul seorang wanita berpura-pura seperti baru bangun daripada tidur dan mengaku dia tinggal berseorangan.Bagaimanapun, hasil pemeriksaan lanjut menjumpai seorang wanita pendatang tanpa izin dari Indonesia bersembunyi di bawah tilam.


Yang Dipertua MPSJ, Datuk Adnan Ikhsan berkata, serbuan terbabit dilakukan selepas mendapat aduan orang ramai yang bimbang dengan kehadiran pendatang tanpa izin.Beliau berkata, orang awam turut bekerjasama memberi maklumat berkaitan kediaman diduduki warga asing yang memudahkan pihaknya melakukan serbuan.


“Hasil serbuan ini kita memeriksa 112 warga asing dari Indonesia, Nepal, Bangladesh, India dan Vietnam. Bagaimanapun kita hanya menahan 14 orang yang tidak mempunyai dokumen sah.


“Semua mereka yang ditahan akan diserahkan kepada Imigresen Selangor bagi tindakan selanjutnya,” katanya pada sidang media selepas operasi berkenaan.


Adnan berkata, pihaknya memeriksa 50 unit kediaman yang disewa warga asing, bagaimanapun lima daripadanya tidak tepat.


“Lelaki yang cedera akibat terjun dari tingkat tiga dibawa ke Hospital Serdang bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: