Saturday, January 29, 2011

Kebas duit suami

BALIK PULAU: Seorang rakyat Indonesia berasal dari kawasan Palembang, Sumatera Selatan, didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas kesalahan pecah amanah membabitkan wang berjumlah RM315,000 milik syarikat suaminya seorang rakyat tempatan sejak Mac 2009.

Tertuduh, Devi Mulya Tristiati, 38, pengarah syarikat Ibrahim Hashim Sdn Bhd terletak di 96, Tingkat 2, Jalan Mayang Pasir, Taman Sri Tunas, Bayan Baru yang menyediakan perkhidmatan mengutip sampah bagi Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).


Devi didakwa menggunakan kuasanya sebagai pengarah dengan mengarah serta menandatangani 21 cek milik syarikat yang masing-masing bernilai RM15,000 dikeluarkan atas namanya tanpa pengetahuan dan kelulusan pengarah urusan syarikat iaitu suaminya, Ibrahim Hashim, 74.

Ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa, Devi yang memakai sepasang kot berwarna kelabu faham dengan pertuduhan ke atasnya, menggeleng kepalanya sebagai tanda tidak mengaku salah.


Timbalan Pendakwa Raya, Edward Chan, yang mengendalikan pertuduhan terhadapnya kemudiannya memohon kepada mahkamah untuk menetapkan RM20,000 sebagai ikat jamin dengan dua penjamin warga Malaysia.


Peguam RSN Rayer yang mewakili tertuduh juga akur kepada jumlah berkenaan dan tidak memohon kepada mahkamah untuk mengurangkan nilai ikat jamin.Majistret Muhammad Hidayat Wahab kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin dengan RM20,000 dan dua penjamin serta menetapkan 17 Februari depan untuk sebutan semula kes.


Pendakwaan terhadap tertuduh dijalankan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih dari 20 tahun dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda jika disabit kesalahan.Harian Metro difahamkan, Devi adalah isteri kedua kepada Ibrahim yang juga peniaga di kawasan Bayan Baru dan mereka sudah berkahwin sejak 13 tahun selepas isteri pertama Ibrahim meninggal dunia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: