Sunday, January 30, 2011

Fotografi: Kuasai dengan mudah


Minggu depan WOW! akan berkongsi panduan menggunakan fungsi asas pada kamera untuk gambar lebih baik. Sebarang pertanyaan, cadangan atau maklum balas boleh diemelkan kepada rekreasi@utusan.com.my.


DUNIA fotografi sering digambarkan sebagai kemahiran yang rumit ekoran kepelbagaian alat yang digunakan dan juga kaedah pembelajaran melalui kursus-kursus yang mahal.

Persepsi itu mungkin benar bagi yang mahu berkecimpung secara serius . Namun bagi mereka yang sekadar ingin merakam gambar yang lebih menarik untuk ditatap, ia bukanlah sesuatu yang terlalu sukar untuk dilakukan.

Bagaimanapun seperti apa juga bidang, fotografi menuntut pemahaman teknik dan kaedah tertentu. Dengan kecanggihan dunia digital sekarang, seni itu tidak memerlukan pengorbanan masa dan wang ringgit.

Dengan memahami fungsi-fungsi asas pada kamera dan mengingati beberapa kaedah mudah, gambar kenangan ketika majlis perkahwinan, hari jadi dan melancong kini boleh diabadikan dengan cara lebih menarik.

Kedudukan subjek

Kedudukan subjek di dalam bingkai atau disebut 'komposisi' merupakan satu daripada perkara paling penting yang perlu difahami. Ia menentukan penyampaian mesej dan jalan cerita pada setiap gambar.

Cara paling mudah untuk memahami konsep komposisi adalah dengan mengaktifkan fungsi garisan menegak dan melintang atau grid yang ada di dalam menu kamera kompak dan DSLR.

Garisan sembilan kotak yang dinamakan rule of thirds ini berfungsi sebagai panduan kedudukan subjek di dalam gambar. Dengan menempatkan subjek di antara titik-titik persimpangan, gambar akan menyampaikan cerita dengan cara yang lebih mudah difahami.

Perhatikan kedudukan lelaki di dalam gambar di bawah yang 'berat' ke sebelah kanan. Jika subjek diletak di tengah-tengah bingkai, ia akan kelihatan membosankan dan menyebabkan subjek terlalu kecil (jauh) di dalam gambar.

Peraturan ini walaupun bukan sesuatu yang wajib dipatuhi tetapi boleh dijadikan rujukan untuk mendapatkan kedudukan subjek yang seimbang dengan latar belakangnya.

Fahami pencahayaan

Secara teori ataupun teknikal, faktor pencahayaan memainkan peranan penting di dalam penghasilan setiap gambar. Oleh itu, memahami keadaan, arah dan jumlah cahaya di sekeliling memberi kesan yang ketara pada gambar.

Salah satu teknik untuk mendapatkan pencahayaan yang baik adalah dengan memanfaatkan kesan terang dan gelap (bayang). Misalnya, dengan meletakkan seseorang di tepi lubang tingkap yang ditembusi cahaya, kita boleh merakam gambar potret yang lebih dramatik.

Selain membantu, pencahayaan juga boleh memberikan cabaran. Misalnya, merakam gambar rakan bertentangan dengan sumber cahaya boleh menyebabkan subjek kelihatan gelap.

Bagi mengatasi masalah itu, rakaman seharusnya dilakukan dari arah di mana kamera membelakangi pancaran cahaya. Jika tiada pilihan, rakaman bertentangan dengan cahaya boleh diatasi dengan penggunaan flash.

Bagaimanapun, elakkan penggunaan flash ketika mengambil gambar objek berkilat seperti kaca dan besi kerana pantulan cahaya menghasilkan tompok putih yang mencacatkan gambar.

Untuk mendapatkan cahaya terbaik, jurugambar biasanya memilih dua waktu untuk merakam gambar iaitu pada awal pagi atau lewat petang. Contoh terbaik ketika matahari terbit dan terbenam.

Penentuan arah

Selain konsep komposisi yang amat berkait rapat dengan keseimbangan gambar, memasukkan arah pergerakan dan haluan subjek adalah satu lagi cara untuk menyempurnakan komposisi dan menghidupkan gambar.

Dengan cara itu, gambar memaparkan pergerakan subjek dari titik A ke titik B sekali gus memberi gambaran tentang apa yang sedang berlaku.

Pergerakan kenderaan di lebuh raya dan aliran air di sungai misalnya tidak akan lengkap tanpa memasukkan arah dan laluan ke mana ia bergerak.

Kesederhanaan

Sebelum ‘menggubah’ gambar yang diinginkan, fikirkan sejenak apa yang ingin dirakamkan.

Memasukkan terlalu banyak perkara di dalam satu gambar tidak dapat menceritakan segalanya, sebaliknya menjadikan gambar tiada fokus.

Contohnya, merakam gambar ahli keluarga dengan latar belakang bangunan universiti cukup untuk menyampaikan keceriaan di sebuah majlis konvokesyen berbanding rakaman di tengah-tengah khalayak ramai.

Namun kesederhanaan tidak bermaksud kita kekal sepanjang masa dengan cara ringkas yang mungkin membosankan.

Mempelbagaikan perspektif rakaman dari arah unik serta berbeza seperti dari bawah dan atas dapat menjadikan subjek lebih menonjol.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: