Sunday, January 30, 2011

Kalau tak kreatif duduk rumahlah!


Bukti nazim tidak bercakap kosong dan tidak mahu dirinya dikaitkan dengan hal-hal berbangkit selepas ini.


ISU ciplak bukan baru dalam dunia muzik tempatan. Isu yang sering kali melingkar penggiat seni nampaknya tiada berpenghujung apabila satu demi satu artis baru yang menjadi mangsa.

Terbaru pelakon yang sedang mencipta nama, Nazim Othman turut terkena tempiasnya. Dia yang bercita-cita merakamkan sebuah lagu khas untuk sebuah drama bersiri nampaknya telah dikhianati.

Bekerjasama dengan seorang artis program realiti yang dikatakan berbakat mencipta lagu, usaha Nazim yang juga pelakon drama Ponti Anak Remaja bagaikan memakan diri apabila lagu tersebut sebenarnya diciplak dari sebuah lagu yang ada di Youtube.

Tindakan tidak bertanggungjawab artis realiti bergelar pelakon ini bersama tunangnya cukup melukakan hati Nazim.

Dia yang bertekad untuk menyelesaikan masalah itu secara baik tidak menjadi kenyataan apabila artis realiti terbabit enggan mengakui kesalahan sendiri.

Cukup terkesan dengan apa yang telah berlaku, Nazim tidak mahu isu tersebut menjadi lebih parah. Dia juga tidak mahu ada pihak lain yang menunding jari ke arah dirinya. Jadi, Nazim telah membuat satu laporan polis pada hari Ahad lalu.

Bukan bertujuan untuk mengheret sesiapa tapi usaha yang dilakukan itu sekadar untuk melindungi dirinya daripada terus diperlekehkan oleh pasangan berkenaan.

Nazim mendedahkan apa yang telah berlaku pada dirinya.

Apa cerita sebenar?

Saya meminta lagu daripada artis ini dan tunangnya untuk dimuatkan dalam runut bunyi drama bersiri Begitukah Cinta yang akan ditayangkan bermula 14 Februari. Hasil perbincangan, akhirnya saya membeli lagu itu mencecah ribuan ringgit tanpa mengetahui lagu itu sebenarnya dicuri dari Internet. Bila lagu tu dah habis proses rakaman dan hanya menunggu masa nak diserahkan kepada pihak produksi, baru tembelang mereka pecah. Selidik punya selidik lagu tu memang sama dengan lagu You And I Unfulfilled Feeling yang ada dalam Youtube.

Apa jadi lepas tu?

Saya ada tanya artis tu, tapi dia tak mengaku. Memang saya cukup kecewa sebab seorang rakan baik sanggup buat saya macam tu. Saya ada bagi masa untuk dia mengaku dan minta maaf, tapi sampai ke sudah tak ada.

Macam mana boleh tahu lagu tu lagu curi?

Ada seorang rakan yang memberitahu lagu itu seakan-akan sama dengan demo yang saya miliki sebelum proses rakaman vokal. Setelah diamati, memang ada persamaan, cuma lagu Jepun itu dalam versi yang lebih laju temponya. Tapi bila saya tanya kepada artis ni, katanya persamaan seperti itu adalah biasa.

Yalah, dah kawan baik tentu kita percaya seratus peratus padanya. Tapi bila saya nak hantar lagu tersebut ke penerbit drama tersebut, ada sesuatu yang tak kena berlaku.

Apa yang jadi?

Tiba-tiba artis ni suruh saya tukar lagu tu. Ada masalah katanya. Tapi dia tak cakap apa masalah yang ada pada lagu tersebut. Ada kenalan saya yang terjumpa lagu tu di Youtube. Memang hampir keseluruhan lagu itu sama dengan versi instrumental lagu tersebut. Apa cerita beb?

Bagi tahu dia tak?

Memang saya ada tanya pada dia apa sebenarnya dah jadi. Sudahlah tak mengaku dia suruh saya menghormatinya pula. Tak ada sebab untuk saya hormat pada orang macam ni. Kalau dia mengaku dari awal, rasanya benda ni tak akan jadi sebesar ini.

Dia tak mengaku salah juga?

Banyak kali tanya tapi jawapan yang saya terima tak seperti yang diharapkan. Sekiranya dia ada membuat kesilapan, mengaku, minta maaf dan teruskan hidup. Tapi dia ni ego, malah saya pula dimarah kononnya cuba nak sekolahkan dia. Kita manusia biasa tak terlepas buat salah, sebab itu saya bagi ruang kepada dia dan tunangnya untuk berfikir dan mengambil langkah yang wajar. Tapi dalam tempoh masa yang saya berikan dia masih buat tak tahu, saya terpaksa ambil tindakan lanjut. Saya dah pun buat laporan polis baru-baru ini.

Kenapa sampai buat laporan polis?

Laporan polis perlu untuk membersihkan nama saya sekiranya ada isu-isu berkaitan yang mungkin berbangkit di masa hadapan. Tambahan pula isu ini melibatkan harta intelek yang memang tak sepatutnya terjadi. Saya langsung tidak dihormati sebagai seorang kawan, apatah lagi sebagai seorang klien berbayar. Lagi satu, saya tak nak pisang berbuah dua kali.

Apa maksudnya?

Cukuplah apa yang dia dah buat pada saya, dan juga diri mereka sendiri kali ni.Saya tak nak benda yang sama berulang kepada orang lain.

Apa jadi pada lagu tu?

Saya terpaksa mendapatkan khidmat individu lain untuk membuat susunan muzik baru berdasarkan lirik asal. Judul lagu itu masih sama, Cinta dan insyaallah akan dimuatkan dalam drama bersiri Begitukah Cinta akan datang.

Tak nak heret ke muka pengadilan?

Ada juga terfikir soal tu, ia terpulang kepada keadaan. Kalau boleh saya tak mahu dakwa di mahkamah. Tapi kalau mereka masih memutarbelitkan isu ini di laman sosial Twitter dan Facebook saya tak teragak-agak untuk heret mereka ke mahkamah. Sebelum ini pun dia pernah kutuk saya melalui cara itu. Saya ada cukup bukti untuk mengheret mereka ke muka pengadilan. Ini soal maruah diri saya juga, jangan main-main.

Ada apa-apa pesanan untuk pasangan ni?

Kalau mereka buat semua ni pasal duit, saya halalkan dunia akhirat. Ingat, dia dah buat dekat saya tapi jangan sesekali buat dekat orang lain. Industri ni kecil sahaja, lambat laun kita jumpa juga. Nanti nak sorok dekat mana muka tu? Bila sebut pasal karya kreatif ni, memang perkara yang cukup sensitif. Kalau rasa-rasa tak kreatif, duduk diam-diam sudahlah. Bila dah macam ni, tak ke busuk nama tu?

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: