KONSERT J2011- Lagenda, raja pop Malaysia Jamal Abdillah yang menutup tirainya pada 10 Januari selepas empat hari dipentaskan di Istana Budaya boleh disifatkan sebagai konsert yang berjaya.
Kejayaan yang dimaksudkan adalah daripada segi kutipan tiket, difahamkan sehari sebelum konsert itu berlangsung 80 peratus tiket yang berharga bermula RM85 hingga RM305 telah berjaya dijual, itu membuktikan nama Jamal Abdillah masih boleh dijual dan masih mempunyai daya penarik.
Boleh dikatakan konsert J2011- Lagenda memang dibikin khas buat peminat setia Jamal Abdillah kerana hampir kebanyakan lagu yang didendangkannya merupakan lagu yang agak asing di telinga pendengar biasa.
Malah, ada antara lagunya tidak pernah dinyanyikan langsung di pentas persembahan dan keunikan itulah yang membuatkan peminatnya memenuhi Istana Budaya walaupun kurangnya lagu popular didendangkan dalam konsert itu.
Kata Jamal, dia sengaja mengambil risiko memilih lagu-lagu yang kurang popular untuk dinyanyikan dalam konsert kali ini kerana, jika tidak konsertnya ini kelihatan sama sahaja seperti konsertnya yang lain.
"Sebenarnya saya terpaksa memilih lagu-lagu yang tidak pernah dinyanyikan pada konsert sebelum ini untuk konsert J2011- Lagenda.
"Saya takut orang bosan saya asyik menyanyikan lagu yang sama. Jadi untuk konsert ini, membawa lagu yang jarang dinyanyikan adalah kelainan yang cuba saya tonjolkan. Inilah masalah yang sering dihadapi oleh seorang penghibur, susah untuk penuhi selera semua membuatkan saya rasa serba salah," ujarnya.
Tambahnya, dia sedar setiap kali konsert, peminat pasti mahukannya menyanyikan beberapa lagu wajibnya seperti Kekasih Awal Dan Akhir dan Azura tetapi, dia harus memikirkan peminat setianya yang hadir ke setiap konsert.
Beritahu Jamal lagi: "Kalau orang biasa yang suka dengar lagu saya mungkin akan kecewa bila mereka tidak mendengar lagu-lagu yang mereka ingin dengar kerana itu sahaja lagu yang suka dan tahu.
"Tetapi berbeza dengan peminat setia yang datang ke setiap konsert saya, kalau saya bawakan lagu yang sama adalah tidak adil untuk mereka kerana mereka mengharapkan kelainan.
Menyanyi 23 buah lagu pada setiap malam di konsert J2011- Lagenda, balas Jamal, sepanjang 20 tahun bergelar penyanyi, sebenarnya terlalu banyak lagu yang ingin didendangkan di pentas persembahan tetapi tidak pernah berkesempatan.
"Sebenarnya banyak lagi lagu dalam album saya sedap-sedap dan saya sendiri suka tetapi ramai orang tidak tahu selain peminat yang beli album kerana lagu itu tidak dijadikan single atau diputarkan di radio.
"Jadi, inilah masanya untuk saya perkenalkan lagu-lagu itu pada peminat. Memang saya rasa puas kerana dapat memilih sendiri lagu-lagu yang saya suka untuk konsert kali ini," ucapnya.
Konsert yang diterbitkan sendiri oleh syarikat Jamal iaitu Bintang Channel Sdn. Bhd. diiringi oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan di bawah pimpinan Eddie Marzuki.
Antara lagunya yang didendangkan ialah Di Mana Bayanganmu, Nadi Cinta, Sepi Seorang Perindu, Cinta Yang Terbiar, Kelukaanku Keranamu, Sikapmu Meragukan, Antara Yakin Dengan Curiga, Penyiksaanku, Kalipso Tropikana, Takdir Penentu Segala dan Cinta Selayang Pandang.
Turut didendangkan ialah Gadis Melayu, Tangisan Di Waktu Malam, Lagu Rindu, DiRundung Derita, Rayuan Maut, Perasaan, Secupak Dua Cupak serta sebuah lagu baru, Sueraya.
Tidak ketinggalan, komposer yang banyak membantu menaikkan nama Jamal dalam dunia seni suara, komposer Datuk Ahmad Nawab turut membuat penampilan khas apabila mengiringi Jamal dengan tiupan saksofon menerusi lagu Jeritan Batinku, Namamu Di Bibirku, Seniman Menangis dan Rinduku Rindumu.
Selain itu, turut diselitkan nostalgia lagu-lagu popular yang pernah dinyanyikan penyanyi kegemaran Jamal seperti Tan Sri P. Ramlee, M. Bakri, S. Affendi, Ismail Harun, Eddy Silitongga dan Datuk Ahmad Jais.
Selepas konsert J2011- Lagenda, Jamal akan muncul dengan sebuah album kompilasi termasuk dua buah lagu baru dan kemungkinan besar Jamal akan mengadakan sebuah konsert di Singapura pada Mac depan.
"Masih dalam peringkat perbincangan, kalau semuanya berjalan lancar saya akan mengadakan konsert solo di Stadium Tertutup Singapura, Mac depan," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: