TIADA lagi yang didambakan pelakon dan pengacara jelita, Dynas, kecuali kesejahteraan seisi keluarga selepas kehidupannya kini dirasakan serba lengkap, dengan adanya ikatan utuh bersama suami yang diperkukuhkan lagi kehadiran si kecil bernama Khyra Khalyssa sejak sembilan bulan lalu.Sekali pun tidur malam tidak menentu dan naluri keibuan sering tersentuh setiap kali berjauhan dengan cahaya mata hasil perkongsian hidup bersama suaminya, Mohd Hafizy Hafiz itu, fasa yang dilalui ibu cantik ini kini dirasakan cukup membuatkan dia begitu menghargai setiap detik.
“Kelab peminat Dynas belum dirasmikan tetapi kami sudah memulakan aktiviti dengan membawa penghuni Rumah Kasih Harmoni Sg Buloh menyaksikan pementasan Peter Pan baru-baru ini. Melihat kepada kegembiraan kanak-kanak terbabit, semakin semarak niat kami meneruskan usaha ini.
“Setakat ini kami menumpukan perhatian terhadap rumah terbabit memandangkan banyak lagi perkara perlu diberi perhatian kerana terdapat lebih 60 penghuni yang masih di bangku sekolah dan kita akan mendahulukan keperluan penting untuk anak-anak ini,” katanya yang cukup bersemangat merencana program bagi aktiviti akan datang.
Buat masa ini katanya, peminat boleh berhubung menerusi blog khusus DynasFanClub yang akan mengemaskini sebarang perkembangannya dan kelab terbabit sekali gus merapatkan hubungan seluruh ahli, termasuk dari Sabah dan Sarawak.
Jujurnya, program amal atau kebajikan bukan perkara baru dalam hidup si jelita berkulit mulus itu kerana sejak zaman solo lagi Dynas aktif membabitkan diri dalam aktiviti berkaitan. Sekarang, tiba masanya kelab peminat itu muncul sebagai gelanggang terbaru untuk dia membantu insan memerlukan.
“Inilah saja yang mampu saya lakukan untuk menceriakan kehidupan kanak-kanak itu. Paling istimewa aktiviti amal ini direalisasikan hasil permuafakatan ahli kelab, sekali gus membuatkan penubuhan kelab peminat ini lebih bermakna,” katanya yang bakal menganjurkan kursus kecantikan untuk ahlinya sedikit masa lagi.
Jenama Dynas
Menyentuh mengenai kerjaya seni, Dynas berkata, selepas bercuti hampir setahun sejak menanti kelahiran hingga habis berpantang memang agak janggal apabila mula-mula berdiri di depan kamera, apatah lagi setiap saat memikirkan bayi tercinta namun perasaan itu dapat diletakkan ke tepi.
Kini selain sibuk di lokasi penggambaran, program bersama kelab peminat dan menguruskan keluarga, wanita berjiwa kental itu masih berkesempatan mengatur strategi demi merealisasikan impiannya membuka gerai di The Curve untuk menjual koleksi busana ibu menyusukan di bawah label sendiri, DnA Exclusive.
“Seperti ibu lain, sukar untuk mendapatkan pakaian bersesuaian yang memudahkan ketika kita membawa anak keluar. Berikutan sokongan suami, saya mereka sendiri busana menepati cita rasa ibu moden dan kiosk pertama DnA Exclusive dijangka beroperasi dalam tempoh terdekat.
“Sebagaimana nama jenama ini, setiap rekaan juga hanya akan dikeluarkan dalam kuantiti terhad, malah saya merancang untuk mempelbagaikan lagi produk terutama barangan bayi dan penyusuan untuk memudahkan pelanggan mendapatkan keperluan mereka,” katanya lagi.
Pemenang kategori Pelakon TV Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH2008) itu mengakui sejak kehadiran Khyra, setiap saat dirinya terisi dengan pelbagai agenda bermakna yang sebelum ini tidak disangka mampu digagahinya.
“Saya bukan mahu menjadi ‘supermom’ atau ibu terhebat kerana semuanya hadir tanpa disedari dan lebih menakjubkan apabila saya mampu memenuhi semua tanggungjawab serentak sedangkan ketika solo dulu banyak perkara tertangguh.
“Inilah hikmah selepas bergelar isteri seterusnya ibu kerana segala urusan saya dipermudahkan oleh-Nya, membuatkan saya sentiasa bersyukur dengan nikmat yang diberikan. Mana mungkin saya mempersia-siakan setiap saat yang saya lewati ini,” kata pelakon Awan Dania musim ketiga itu.
Selain Awan Dania musim baru, Dynas yang turut memikul mandat sebagai pengacara Si Kecilku... Chakk!! yang disiarkan di TV3 sejak 5 Oktober lalu pada setiap Selasa jam 11 pagi, lakonannya juga dapat diikuti menerusi slot Akasia berjudul Cinta Kita.
PROFIL: Dynas
Nama Penuh: Wan Intan Edrinas Mokhtar
Tarikh Lahir: 8 Mac 1983
Asal: Petaling Jaya, Selangor
Pendidikan: Diploma Komunikasi Massa dari Universiti Teknologi Mara
(UiTM), Shah Alam, Selangor.
Pencapaian: Pelakon TV Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007 dan 2008.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: