Sunday, January 30, 2011

MAS perkenal tempahan MHdeals di Sabah


PELANGGAN MAS kini boleh mendapatkan maklumat dan tawaran pakej percutian menarik di negeri Sabah menerusi MHdeals Destination Sabah.


PELANGGGAN Penerbangan Malaysia (MAS) yang berada di Sabah kini boleh menempah dan menikmati pakej tawaran syarikat itu menerusi aplikasi perluasan realiti MHdeals Destination Sabah yang ditawarkan pada peranti iPhone.

Selain pakej-pakej menarik, aplikasi itu turut menyediakan maklumat mengenai keunikan budaya dan tradisi Negeri di Bawah Bayu itu di samping destinasi percutian terbaik di bahagian Borneo.

Pengenalan aplikasi berkenaan merupakan hasil kerjasama antara MAS, Lembaga Pelancongan Sabah dan juga SITA Lab.

Menurut Naib Presiden Eksekutif Strategi Komersial MAS, Dr. Amin Khan, MHdeals merupakan aplikasi percuma yang boleh dimuat turun daripada platform Apple App.

"MHdeals Destination merupakan aplikasi unik yang mengetengahkan konsep hiburan kepada pengguna untuk membantu mereka memperoleh tawaran pakej-pakej MAS dan destinasi menarik di Sabah.

"Ia menggunakan teknologi penetapan lokasi geografi oleh sistem penentu kedudukan global (GPS) untuk mengenalpasti kedudukan pelanggan seterusnya memberi cadangan lapangan terbang terdekat yang menawarkan pakej terbaik,'' katanya.

Selepas mengetahui lapangan terbang, pengguna perlu memilih lokasi kegemaran (POI) mereka sebelum sistem memaparkan informasi destinasi tersebut.

Pengguna kemudiannya akan dihubungkan terus kepada Lembaga Pelancongan Sabah secara pautan web untuk maklumat lebih lengkap.

"Mereka juga akan dilengkapkan bersama galeri foto untuk memberi penerangan lebih jelas mengenai trip pelancongan di Sabah,'' jelasnya.

MAS merupakan syarikat penerbangan pertama yang menggunakan aplikasi perluasan realiti secara komersial sebagai saluran penjualan tiket interaktif dan menyeronokkan.

Ketika ini, terdapat tiga aplikasi MAS yang boleh dimuat turun daripada stor Apple App.

Bermula pada tahun 2009, MAS memperkenalkan aplikasi tempahan tiket penerbangan MHmobile secara mobiliti sebelum tawaran saluran jualan tiket MHkiosks menerusi iPad dilancarkan pada Jun tahun lalu.

Selaras dengan pelancaran MHdeals Destination Sabah, MAS turut menawarkan pakej penerbangan sehala terus dari Kota Kinabalu ke Perth dengan harga serendah RM597 kepada para pelanggan yang memuat turun aplikasi berkenaan.

Tempahan untuk pakej tersebut kini telah dibuka sehingga 31 Januari 2011.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: