Sunday, January 30, 2011

Cinta wanita lebih tua




Kebelakangan ini banyak pula kisah anak muda yang tertarik dengan wanita lebih berusia. Sindrom itu turut terpalit kepada beberapa selebriti.

Terbaru pemain bola sepak kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Radzak yang memilih pelakon Ayu Raudhah sebagai pasangan hidup walaupun kalau dibandingkan usia, mereka ibarat pasangan kakak dan adik.

Apa agaknya keistimewaan wanita berusia di mata anak muda hari ini? Pasti ada sesuatu yang menjadi tarikan mereka. Kebetulan penghias ruangan Kacak Bergaya minggu ini, Mohd. Syakir Mohd. Samsuri ada pengalaman sama.

"Semasa saya berusia 21 tahun, saya bercinta dengan wanita yang beberapa tahun lebih tua. Saya senang sekali berdampingan dengan wanita yang lebih matang.

"Saya rasa remaja yang mahu dirinya kelihatan matang tidak akan selesa bila berdamping dengan rakan sebaya. Banyak hal yang kebudak-budakan akan dilalui semasa bersama yang sebaya. Ia boleh membuatkan kita rasa rimas.

"Bila kita bersama wanita yang lebih berusia, pastinya mereka lebih matang dan tidak melihat kita sebagaimana mereka melihat anak remaja.

"Kita akan rasa diri kita dipandang lebih matang dan dalam masa yang sama kita akan menjadi lelaki yang matang. Saya tak pernah rasa kekok semasa bersama dengannya.

"Tapi nampaknya hubungan kami tidak bertahan kerana sebab-sebab lain dan agaknya sebab itulah sehingga sekarang hati saya belum terisi," kata Syakir.

Mata Syakir juga melihat satu keseronokan dengan gelagat wanita berusia yang cuba meremajakan diri bila bersama kekasih muda.

"Mereka pernah melalui alam remaja, jadi tidak payah bagi mereka memahami naluri seorang remaja. Saya rasa sebab itulah wanita hari ini selesa berganding dengan anak muda," sambung Syakir yang murah dengan senyuman itu.

Dalam perkembangan lain, Syakir seorang yang gilakan snooker. Bukannya sebagai aktiviti membazir masa kerana dia pernah mewakili kelab dalam pertandingan snuker peringkat Liga Malaysia.

Malah dia pernah dipilih mewakili negara dalam pertandingan snuker peringkat remaja bawah usia 21 tahun. Tetapi kerana ada hal yang tidak dapat dielakkan, dia terpaksa melupakan tawaran itu.

"Kali terakhir saya memasuki pertandingan snuker Liga Malaysia 2008 dan layak sehingga suku akhir. Selepas itu saya berhenti kerana mahu tumpukan kepada kerja," kata anak muda berbulu dada seksi ini.

Syakir juga aktif dalam sukan bola sepak dan memiliki pasukan yang diangotai oleh rakan sekolah lamanya. Pasukan yang dinamakan Hooligan itu asalnya sebuah pasukan futsal.

"Bila semakin ramai yang menyertainya, maka kami tubuhkan pasukan bola sepak," katanya yang kini bekerja sebagai Pengurus Projek sebuah syarikat IT.

Bersama syarikat tempat dia bekerja sekarang, Syakir dipertanggungjawabkan menyelenggara beberapa laman web di bawah sebuah syarikat penyiaran terkemuka. Dia banyak berhubungan dengan pelanggan tersebut dalam tugas harian.

Sebelum bekerja dengan majikan sekarang, Syakir menjalankan perniagaan sendiri yang juga menjurus kepada perkhidmatan berkaitan IT.

"Selepas tamat belajar memang saya memilih kerja sendiri kerana pada masa itu masih aktif bermain snuker. Bila nampak terjejas gara-gara masalah ekonomi, saya mula mencari kerja tetap.

"Saya masih lagi meneruskan syarikat sendiri, Digital Venture Network di luar waktu kerja," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: