Sunday, January 30, 2011

Kesabaran Fasha

  • Foto

  • Foto

  • Foto

Dramatis popular reda apabila hubungan cintanya dengan Jejai sudah berakhir

ENGGAN terus menoleh laluan semalam yang menyakitkan, Fasha Sandha memilih untuk berdiam diri tanpa perlu menyatakan segala punca dan alasan yang menyebabkan percintaannya dengan Rizal Ashram Ramli berakhir, baru-baru ini.Mudah pendirian Fasha, 27, cukup cuma dia dan Rizal Ashram atau lebih mesra disapa Jejai, 34, saja yang tahu mengapa mereka memilih untuk membawa haluan masing-masing.
Baginya, jalan yang diambil itu adalah pilihan terbaik buat mereka berdua dan selebihnya, dia memohon untuk menyimpannya kemas di sudut hati sebagai rahsia yang tidak perlu dikongsi.

“Kegagalan percintaan kami saya jadikan sebagai titik kebangkitan dalam kehidupan, apatah lagi pada 28 Mac ini saya akan berusia 27 tahun. Saya tidak akan sesekali menyalahkan diri sendiri atau menuding jari kepada sesiapa saja atas apa yang berlaku. Semua yang terjadi ini adalah ketentuan takdir.

“Saya tidak kecewa, sebaliknya berasa seperti mendapat kekuatan baru untuk meneruskan perjalanan hidup ini,” ulas pemilik nama lengkap, Nur Fasha Sandha Hassan ini sarat nada positif.

Cuba disuap soalan mengenai kemungkinan hatinya masih berbekas dengan perasaan sayang terhadap Jejai, aktres kelahiran Johor Bahru itu cuma mampu menghela nafas panjang sebelum bersuara ringkas. Bisik Fasha perlahan, biar semua itu disimpan sendiri di kamar hatinya. Apa yang dapat mampu dijelaskannya, dia sudah memaafkan Jejai atas perpisahan yang terjadi.
“Langsung saya tidak menyimpan perasaan dendam atau marah kepadanya. Saya juga manusia biasa yang punya kekurangan dan tidak sempurna. Saya cuma mahu mengingati segala yang manis sepanjang bersamanya.

“Secara peribadi, Jejai seorang lelaki yang baik namun sudah tertulis dia bukan jodoh saya. Saya reda kerana perpisahan ini adalah jalan terbaik untuk kami berdua,” katanya yang kekal dengan pendirian untuk terus mengunci mulut.

Selepas menempuh pelbagai cubaan dan dugaan untuk mempertahankan cinta mereka, Fasha berkata, dia sendiri sukar menjelaskan apakah hatinya sudah serik untuk kembali mempercayai lelaki.

Seandainya ditakdirkan kembali menempuh alam percintaan, Fasha bertekad akan lebih berhati-hati. Segala yang berlaku dijadikan pengajaran pada masa akan datang.

Fasha juga tidak sesekali meletakkan kekhilafan itu kepada media yang memberi sorotan luar biasa terhadap kisah percintaannya.

Biarpun perhatian meluas itu memberi tekanan kepadanya, namun Fasha akur, semua itu adalah realiti yang perlu ditempuhi sebagai anak seni.

“Jika orang ramai masih mengambil berat mengenai saya, itu bermakna saya masih disayangi. Ia tidak pernah menyakitkan kerana setiap kali tertekan, saya cuma mengenang hanya yang indah. Semua itu akan membuat saya gembira. Alhamdulillah kerana apa yang dipaparkan di media massa, sama positif atau negatif masyarakat tidak pantas menjatuhkan hukuman.

“Saya dikelilingi oleh manusia yang arif dalam menilai setiap perbuatan dan tindakan. Mereka tidak membuta-tuli menerima apa yang diperkatakan, sebaliknya menggunakan medium komunikasi yang ada untuk mendapat cerita sebenar,” katanya.

Sepanjang berbicara, Fasha tenang menyusun patah ayat yang mahu dituturkan supaya tidak mengguris hati mana-mana pihak.

Langsung tidak terkesan badai dan gelora yang meremukkan hatinya. Terpacul soalan bagaimana Fasha menyembunyikan segala resah yang berkumpul di benak hatinya?

Akui Fasha, soalan itu bukan kali pertama menyapanya. Sebelum ini, dia pernah didekati oleh mereka yang kagum melihat kekuatannya untuk teguh berdiri tatkala dihempas badai dugaan.

“Teman rapat memanggil saya sebagai wanita besi. Mereka kagum melihat saya terlalu tabah dan sabar setiap kali dihimpit dugaan.

Cuma satu yang ingin saya nyatakan, kesabaran saya ada hadnya. Selagi saya kuat dan mampu menerima, saya akan telan segala bentuk cercaan dan penindasan.

“Menjadi positif itu lebih baik. Semua ini proses yang mematangkan saya, justeru mengapa perlu saya kesal apabila dipilih Tuhan untuk menerima ujian itu?,” jelas Fasha sambil memberikan amaran, jangan terlalu mencabar dirinya kerana apabila tiba masa dia akan bangkit mempertahankan maruahnya.

Kontroversi tak jejas kerjaya lakonan

KISAH peribadinya yang sengaja diperbesarkan dan disensasikan media massa kata Fasha Sandha, berlaku bukan atas permintaannya.

Dia yang kini terus menyerlah menerusi drama bersiri Samson Delaila untuk slot Samarinda di TV3 akui, semua yang datang adalah di luar kawalannya dan menerima kenyataan bergelar selebriti bererti merelakan kebebasannya dicabuli biarpun ada ketika, dia juga memerlukan ruang untuk bernafas selesa.

“Saya cuma menjadi diri sendiri. Apa yang tidak pernah berlaku dalam hidup Fasha Sandha? Saya sudah lunak menelan segala kritikan dan hentaman, tetapi Alhamdulillah kerana Allah mempunyai perancangan lebih baik untuk saya.

Kontroversi mungkin akan menutup mata masyarakat terhadap hasil kerja saya, tetapi jujur ia tidak berlaku kepada saya.

“Pembaca dan peminat sudah pandai menilai. Mereka sentiasa melihat bakat yang saya ada, malah terus memberi kata semangat untuk memperbaiki mutu persembahan tanpa mempedulikan isu peribadi,” katanya.

Tidak perlu mendabik dada kerana buktinya sudah jelas di depan mata. Sejak 2005, nama Fasha tidak pernah tercicir daripada senarai Top 5, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH).

Sepanjang tempoh itu juga, Fasha pernah merangkul empat trofi atas undian peminat iaitu Pelakon TV Wanita Popular, ABPBH 2005; Pelakon TV Wanita Popular dan Pelakon Filem Wanita Popular, ABPBH 2006 dan Pelakon Filem Wanita Popular, ABPBH 2007.

“Jujur saya sendiri tidak meletak harapan tinggi untuk kembali tersenarai kerana dewasa ini ramai pelakon baru dan berbakat besar hadir.

Alhamdulillah, peminat masih mempercayai malah sentiasa bersama saya ketika suka dan duka. Di laman sosial, mereka sentiasa menebarkan kata semangat, melahirkan sayang dan simpati membuatkan saya berasa begitu dihargai.

“Saya ingat setiap jasa mereka dan kerana itu saya cuba memberikan komitmen terbaik setiap kali diberikan kepercayaan,” katanya.

Selepas drama bersiri, Chinta meraih kejayaan luar biasa, Fasha kini menaruh harapan kepada Samson Delaila dan Dia Atilia untuk menyemarakkan namanya di hati peminat.

Bagaikan rahmat buatnya, dua drama lakonannya, Akukah Tanggang dan Suteramaya kembali disiarkan atas permintaan ramai selain sibuk dengan persediaan untuk memulakan operasi salunnya, Chinta Salon di Wangsa Link yang akan beroperasi bulan depan.


Kronologi percintaan Fasha - Jejai

  • Sekian lama menafikan hubungan yang diperkatakan, Fasha dan Jejai akhirnya membuat pengakuan rasmi mereka ialah pasangan kekasih pada 18 Mei tahun lalu.

  • Pengakuan itu adalah lanjutan daripada kejutan Jejai yang menempah helikopter untuk ke Pulau Lang Tengah, Terengganu ketika Fasha menjayakan penggambaran drama bersiri Duyong Aridinata.

  • Percintaan mereka diuji apabila bintang Nur Kasih, Tiz Zaqyah dikatakan cuba menggoda Jejai hingga Fasha membuat kenyataan terbuka di laman Twitter meminta Tiz supaya tidak mengganggu teman lelakinya pada Jun tahun lalu.

  • Selesai itu, Fasha membuat kenyataan kepada pihak media mengenai hasratnya untuk mengakhiri hubungannya dan Jejai dengan ikatan perkahwinan jika ada jodoh.

  • Hubungan cinta mereka diuji lagi apabila hati Fasha terluka apabila mendapat tahu Jejai bersama keluarga, bekas isterinya, Nora Danish serta anak mereka bercuti ke Jepun baru-baru ini. Fasha pula ke Pulau Bali, Indonesia bagi merawat hatinya yang luka apabila mendapat tahu Nora turut sama dalam percutian itu.

  • Percutian Fasha menjadi perhatian apabila gambarnya berbikini ketika bercuti di pulau itu disebarkan di Internet. Lucunya apabila laporan menyebut Fasha berbuat demikian kerana infin melepas geram dengan tindakan Jejai bercuti bersama bekas isterinya.

  • Selepas berteka-teki mengenai status percintaan mereka, Jejai pada Isnin lalu menamatkan persoalan itu dengan mengumumkan dia dan Fasha sudah berpisah.

  • Jejai membuat kenyataan dan penjelasan itu selepas terlalu banyak fakta tidak betul mengenai mereka diperkatakan media dan di Internet, biarpun dalam bentuk gosip. Jejai juga menegaskan bekas isterinya, Nora Danish sama sekali tiada kaitan dengan perpisahan mereka.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: