Monday, January 31, 2011

Yuna akui Qi istimewa dalam hidupnya




AKHIRNYA penyanyi Yuna atau Yunalis Zarai, 23, mengakui yang Qi memang lelaki paling istimewa dalam hidupnya buat masa ini berbanding lelaki lain.

Sebelum ini penyanyi bertudung itu sering berdolak-dalik dan menepis setiap soalan yang berkaitan dengan Qi atau Qushairi Mohammed Razali, 34.

Namun, Yuna yang popular dengan lagu Dan Sebenarnya, berkata, buat masa sekarang, mereka belum terfikir untuk melangkah ke fasa seterusnya iaitu bertunang atau berkahwin.

Katanya, soal kahwin masih jauh kerana banyak perkara yang ingin dicapai dalam bidang seni sebelum bergelar isteri.

"Memang Qi lelaki paling istimewa dalam hidup saya dan saya selesa berkawan dengannya. Qi adalah lelaki yang baik dan saya rasa tenang dan gembira apabila bersamanya.

"Tetapi saya malas nak bercerita beriya-iya pasal hubungan kami kerana tidak mahu kisah itu membayangi cerita karier muzik pula. Lagipun saya dan Qi masih di peringkat mengenali hati budi," katanya.

Menurut Yuna, hubungannya dengan Qi yang bermula sejak mereka terlibat dalam program realiti, Kawanku Bintang Coca-Cola pada tahun lalu turut mendapat restu daripada keluarga masing-masing.

Bagaimanapun, Yuna tidak mahu kisahnya dengan Qi itu menjadi bualan ramai atau sering memberi kenyataan pada media, demi menjaga nama baik keluarga masing-masing.

"Walaupun umur kami jauh berbeza namun ia bukan menjadi masalah kerana kami mempunyai persamaan iaitu sama-sama suka muzik, biarpun genre muzik dia dan saya berbeza," katanya.

Malah, penyanyi itu juga tidak keberatan jika Qi muncul dalam projek Yuna Inspired Powered By DiGi yang sudah mula menjalani penggambaran sejak November lalu.

Yuna dedah aktiviti harian

Program Yuna Inspired Powered DiGi yang bakal disiarkan menerusi saluran Astro Hitz (Salura 705, Astro) mulai minggu pertama Mac ini dan di laman web www.yunainspired.com bermula 14 Februari ini akan memaparkan tentang kegiatan seni Yuna.

Menurut pengarah program, Jojo Struys, terdapat 24 episod yang akan merakam kegiatan Yuna di Kuala Lumpur sehingga ke London dan Amerika Syarikat.

"Belum pernah ada program berkisar kehidupan seharian Yuna tapi fokus lebih kepada kegiatan muzik. Apa yang sering Yuna lakukan di waktu lapang dan ketika di belakang pentas.

"Menerusi rakaman ini para peminat dapat mengenali siapa Yuna yang sebenarnya. Tiada skrip khusus kerana Yuna akan bercakap dan bercerita secara spontan," kata Jojo.

Selain menonton aksi Yuna di kaca televisyen (TV), peminat juga berpeluang menulis lirik untuk lagu ciptaan Yuna.

Setiap episod di TV akan disiarkan selama 15 minit manakala di Internet pula, selama lima minit dan peminat juga berpeluang untuk berinteraktif dengan Yuna.

Kata Jojo, setiap minggu akan dipilih seorang pemenang yang berjaya menulis sebaris lirik yang menarik.

"Untuk setiap rangkap, akan ada sebaris lirik yang perlu diisi oleh peminat menerusi laman sosial Facebook atau Twitter. Jika lirik mereka dipilih, peminat itu kelak berpeluang menghadiri konsert Yuna yang bakal diadakan di Lembah Kelang tidak lama lagi," ceritanya.

Selain Astro Hitz, turut menjayakan projek Yuna Inspired ini adalah DiGi, Cannon dan Penerbangan Malaysia (MAS).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: