PERTEMUAN bersama Spider diadakan pada satu malam, sewaktu empat tentera muzik ini sedang leka berlatih di studio Luncai Emas milik sifu M. Nasir.
Suasana yang riuh dengan vokal berbalut instrumen diselang-seli celoteh ahli grup tiba-tiba sepi sebaik nama Loloq disebut.
Sebelumnya, penulis ada memberitahu artikel ini akan diterbitkan pada 30 Januari, tarikh sama kembalinya Allahyarham Rosli Khamis atau Loloq ke rahmatullah.
Hakikatnya, hubungan Spider dengan Loloq amat manis dan sangat rapat. Segalanya dikongsi bersama lebih-lebih lagi pada permulaan Spider mahu bertapak dalam dunia seni.
“Kami sangat kehilangan arwah. Album terdahulu kami, Bintang 12 adalah album terakhir bersamanya. Malah, boleh saya katakan bahawa pacuan Spider datang daripadanya.
“Loloq membuatkan kerja jadi seronok dengan penghasilan liriknya,” ujar Tam, termenung mengingatkan Loloq, lelaki yang setia dengan jenama Converse dan Levi’s.
“Kalau dia ada sekarang, pasti dia yang akan riuh-rendah. Beritahu apa yang bagus dan tidak.
“Malah, kalau sesebuah lagu dihasilkan, dia adalah individu yang akan melompat riang ke sana ke mari,” Tam bersuara.
Nafie menambah serius: “Lirik Loloq kena dengan keadaan semasa. Dia juga masak benar dengan cara hidup dan karakter kami. Itu yang membolehkan kerja jadi senang.
“Sebab itu apabila mahu memulakan album baru ini, kami terbayang-bayangkan arwah.
Penulis bertanyakan rutin arwah menulis untuk Spider yang sangat serasi dengan kumpulan itu.
“Dia memang tahu fiil dan perkembangan kami. Sudah ada idea dan intinya. Ada yang dia terus tulis, sejurus mendengar lagu.
“Lirik Aladin, dia tulis dalam masa 10 minit. Spontan. Ada yang dia minta salinan lagu dan buat kerja rumah dulu.
“Malah, kami juga selalu bincang pasal single dan tajuk sesebuah lagu itu. Jadi bila dia tiada, kami terasa sangat,” ulang Tam lagi.
Harapan Kitasatu
Perlahan-lahan meninggalkan laut emosi, penulis bertanyakan penghasilan album terbaru mereka, Kitasatu, sebuah album yang tiada langsung sentuhan Loloq.
Kurang puas rasanya mendengar album ini kerana cuma lima lagu yang dihadiahkan. Ia seperti satu perjalanan yang kurang lengkap.
Tam mengulas seraya mengiyakan: “Kita ikut perkembangan semasa. Sekarang lima lagu sudah dikira sebuah album.
|
|
“Kalau kita bagi 10 lagu sekali pun, cuma beberapa yang ingin didengar, untuk apa? Kami sendiri kurang puas. Seperti ada yang kurang dan tidak padat.”
Memandangkan kebanyakan peminat sekarang lebih tertarik pada fenomena muat turun lagu dari Internet, Spider turut mengikut aliran itu.
Kata mereka, jalan ringkas ini perlu mereka cuba.
Menyentuh soal material, ujar Tam, mereka membuat rakaman secara langsung dan kembali kepada cara asas seperti album pertama, Ngam Ho.
Mereka mencuba semula proses rakaman awalan yang telah lama ditinggalkan.
“Ada pemuzik lain yang rasa album ini satu eksperimen,” kata Aie, sang pengetuk dram. Belum habis hujahnya, Nafie mencelah: “Semua album adalah eksperimen buat kami.”
Kitasatu, lagu yang sedang dipertaruhkan kini bukanlah sebuah kesinambunagan Relaku Pujuk. Itu pernyataan Tam.
“Ia sebuah lagu nukilan Keon buat saya, hadiah perkahwinan katanya. Melihat liriknya, ia sebuah lagu indah buat pasangan yang dilimpahi flora cinta.
“Kalau diikutkan, kita memang nak jadikan Ajaib lagu handalan kami tetapi ia dimainkan sekejap sahaja di corong radio.
“Ada yang berpendapat lagu itu terlalu eksperimental. Terperanjat mungkin,” ujar Tam yang menegaskan bahawa Spider tidak pernah mempromosikan lagu balada sebagai daya penarik material mereka.
“Kami sebenarnya mahu tonjolkan lagu-lagu yang lebih up beat,” ujarnya menghala kepada konsep grup ini yang kekal dengan genre ska dan rock.
Maka Kitasatu dihadiahkan dengan lima buah lagu hasil nukilan Spider beserta lirik oleh M. Nasir dan Keon.
Ia satu produk dengan persembahan material menarik walau cuma lima alunan lagu.
Mengimbas semula perjalanan album Spider daripada Ngam Ho ke Aladin, Nazraku dan Bintang 12, pasti setiap satunya membuahkan lebih daripada sebuah single yang menarik.
Rancang mereka juga, album ini bakal dilancarkan pada bulan hadapan di Hard Rock Cafe, Pulau Pinang sebelum diikuti siri jelajah Malaysia, khas untuk merapati kembali peminat yang sudah tiga tahun mereka tinggalkan tanpa material baru.
Penakut
Mood yang semakin menaik selepas bercerita soal album dan material dilanjutkan termometernya.
Sedikit panas apabila ditanya soal kematangan dan kesukaran sebuah grup bernama Spider.
Pernah ada suara keras di luar sana yang merungut mereka susah berurusan dengan Spider bahkan sukar dihubungi. Mereka cuma tersenyum.
“Kami sedar ada yang masih bercakap tentang kami. Kononnya sukar berurusan. Bagi kami, industri yang harus matang. Jangan asal boleh sahaja,” ujar Nafie. Dia serius lagi.
“Pernah kami dipersalahkan hanya kerana meminta perkara asas sebuah grup sewaktu mahu mengadakan persembahan. Janganlah anggap enteng perkara yang kami minta.
“Tapi akhirnya jari telunjuk dituding ke arah kami sendiri,” tambah Tam yang meminta mood mereka tidak diperlekehkan sebelum persembahan.
“Kita lawan balik kerana ideologi grup. Kami lihat grup-grup baru sekarang penakut. Mereka tidak berpegang kepada falsafah perjuangan grup, (mereka) hanya mahu hidup dalam dunia seni.
“Mereka tidak prihatin dan bangun mempertahankan hak,” nasihat Tony persis seorang abang kepada si adik.
“Spider bukan mahu jadi musuh sesiapa. Cuma kita perlu ada pegangan agar tidak tertindas selain mesti ada sikap hormat menghormati,” perlahan Tam bersuara lagi.
Dia turut kecewa kerana alasan promosi dan persembahan amal membuatkan penyanyi di Malaysia dibayar dengan harga yang rendah.
Lalu cerita Tam, Nafie, Tony dan Aie yang sikap muncul kerana pegangan seni mereka. Mungkin ada yang tersalah tafsir atau sekadar mendengar cerita yang ditokok tambah.
Lali dengan cerita sebegitu, apa yang penting buat Spider ialah prinsip serta identiti diri. Mereka terus mekar dengan ‘ego’ yang berpaksi pada tujuan yang betul bergelar anak muzik.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: