Monday, January 31, 2011

Tiz tak salahkan masyarakat

CINTA SEJATI...Tiz dan Remy sebagai pasangan kekasih dalam drama dan filem Nur Kasih.
CINTA SEJATI...Tiz dan Remy sebagai pasangan kekasih dalam drama dan filem Nur Kasih.

SEJAK menjadi artis, ada-ada saja gosip tempias ke arah Tiz Zaqyah Abdul Razak. Dulu, gambar aksi hangatnya bersosial dengan rakan di kelab malam tersebar di Internet dan kemudian dituduh menggoda bekas kekasih Fasha Sandha, Jejai, pada awal pagi.

Terbaru, Tiz dikaitkan bercinta dengan aktor kacak Remy Ishak yang sama-sama berlakon dengannya dalam siri dan filem Nur Kasih. Satu demi satu cerita mereka dipaparkan namun Tiz tetap dengan penafiannya.


Konsisten dengan jawapan yang diberikan sebelum ini, Tiz mengulangi kenyataan bahawa mereka hanya sebagai 'sahabat paling akrab'. Dia akui begitu selesa dengan Remy kerana mereka boleh berkongsi banyak perkara bersama termasuk bertukar-tukar pandangan.

  • Foto

  • Foto

    SERASI...Tiz suka berkawan dengan Remy yang memahami dirinya.

"Saya memang suka sikap Remy terhadap saya. Setakat ini, saya memang tidak bercinta dengan sesiapa kerana mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada karier. Saya teringin juga mengumpul harta daripada hasil titik peluh sendiri sebelum saya bercinta dengan serius dan berkahwin.


"Menjadi prinsip saya, saya tidak mahu harap kemewahan daripada teman lelaki. Saya yakin masih ada kemampuan berusaha sendiri sama ada untuk mengejar impian membeli rumah, kereta malah apa saja dengan wang sendiri," katanya.


Lali dengan segala cerita kontroversi yang tidak putus-putus datang dalam hidup, Tiz berkata, dia tidak mahu hidup tertekan dek cakap-cakap orang dan enggan membiarkan gosip meruntuhkan semangatnya.Kata pemenang Pelakon TV Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 (ABPBH09) ini, dia tidak pernah menyalahkan masyarakat apabila memperkatakan mengenai dirinya.


"Terserah kepada masyarakat untuk menilai saya. Apa yang penting, saya tahu setiap tingkah laku saya dan keluarga juga memahaminya. Namun saya kadangkala kecewa apabila cerita remeh sengaja diperbesarkan. Saya sebenarnya mahu prestasi lakonan saya lebih diperkatakan. Tapi apa boleh buat. Saya juga tidak dapat menghalang orang daripada bercakap apa saja mengenai saya.

"Seperti yang selalu saya katakan, soal jodoh adalah perkara yang sangat subjektif dan ia kerja Tuhan. Bagaimanapun, sama seperti gadis lain, saya juga selalu mendoakan yang terbaik," katanya.


Ditemui pada majlis sesi ramah mesra bersama pelakon drama bersiri Gemilang arahan Kabir Bhatia di Pusat Komuniti Bukit Damansara, Kuala Lumpur, baru-baru ini, Tiz yang anggun berkebaya juga ingin menjelaskan gosip mengenai hubungannya dengan jejaka yang dikenali sebagai Aizat.


Sebelum ini, gambar Tiz dan anak seorang wakil rakyat itu dikatakan tersebar di Internet selepas Tiz menghadiri majlis membabitkan lelaki itu.


Tiz menjelaskan, dia sendiri tidak kenal siapa Aizat yang digosipkan itu.


"Saya paling jarang menghadiri majlis keramaian kerana selalu sibuk di lokasi penggambaran. Oleh itu, macam mana pula saya boleh dikaitkan dengan orang yang tak pernah saya kenali?

"Malah ingin dijelaskan, saya menceburi bidang seni tanah air kerana memang mahu dikenali sebagai pelakon yang berjaya. Bukan hendak mencari peluang menjaja kisah peribadi. Saya lebih suka kalau karier saya lebih diberi keutamaan," katanya.

Anak emas Khabir?
BIARPUN tidak banyak drama dilakonkan, penonton mula perasan Tiz lebih tertarik untuk bekerja dengan pengarah berkaliber, Kabir Bhatia.

Setakat ini, Tiz sudah menghasilkan empat projek drama dan filem bersama Khabir serta satu filem cereka.


Bersandarkan watak Nur Amina, gadis berkulit gebu ini turut mengakui sangat berdebar menanti tayangan filem sulung lakonannya itu pada April ini.


Katanya, selepas kejayaan drama bersiri Nur Kasih di TV3, apakah filem juga akan memberi impak hebat seperti di kaca TV?

"Saya anggap kerjasama saya dengan Khabir adalah rezeki. Ini kerana setiap kali Kabir memberikan tawaran, kebetulan ia tidak bertindan dengan jadual lakonan saya dengan produksi lain.


"Saya tak pernah anggap saya 'bintang atau anak emas' kepada Kabir. Bagi saya, ia soal rezeki dan saya hanya bersyukur kepada Tuhan kerana memberi peluang bekerja di bawah arahan Kabir. Setakat ini, tak dinafikan saya seronok berlakon dan mendapat bimbingannya.


"Saya melihat Kabir seorang pengarah yang senang untuk saya bekerja dengannya dan dia sangat yakin dengan tugasnya. Selain Nur Kasih dan Gemilang, saya turut berlakon dalam drama Keabadian Cinta serta 7 Lagu," kata Tiz selesa mengambil satu tawaran berlakon pada satu-satu masa.


Katanya, dia tidak suka bersikap tamak dan terkejar-kejar untuk ke set penggambaran. Disebabkan itu, Tiz sedar masih belum banyak drama dapat dilakonkannya.

Katanya, dia bukan hendak menjadi cerewet tetapi sebagai pelakon, dia sentiasa mahukan karakter yang terbaik.


"Rasanya sebagai pelakon, saya ada hak untuk menerima atau menolak sesuatu watak itu," katanya.




>PROFIL
NAMA: Tiz Zaqyah Abdul Razak
PANGGILAN KOMERSIAL: Tiz
TARIKH LAHIR: 25 Oktober 1988
USIA: 23 tahun
ASAL: Kuala Lumpur
KELUARGA: Anak bongsu daripada dua beradik
STATUS: Bujang
PERWATAKAN DIRI: Mesra dan ceria
PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
KARIER: Pelakon
MULA BERLAKON: 2006
DRAMA: Gol & Gincu, Impian Illyana, Nur Kasih, Asmaradana, Spa Qistina, Gemilang
TELEFILEM: Bernafas Dalam Lumpur, Puaka Topeng Putih, Keabadian Cinta, 7 Lagu
FILEM: Nur Kasih
PENCAPAIAN: Pelakon TV Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 (ABPBH 09)

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: