KUALA LUMPUR: Keadaan di Mesir dilaporkan semakin tegang selepas perintah berkurung diisytiharkan di beberapa bandar utama dan berikutan itu Wisma Putra mungkin membawa pulang lebih 11,000 pelajar Malaysia jika keadaan semakin buruk.Sehingga ini, semua komunikasi di internet, terutama laman sosial Facebook dan Twitter yang didakwa digunakan sebagai medium meraih sokongan rakyat Mesir untuk menggulingkan kerajaan pimpinan Presiden Hosni Mubarak disekat sejak dua hari lalu.
Pelajar Malaysia dinasihatkan menyimpan bekalan makanan sekurang-kurangnya untuk sebulan khuatir jika darurat berpanjangan manakala Persatuan pelajar Malaysia membatalkan semua program sejak Khamis lalu.
Wisma Putra mengesahkan sudah menghubungi dan menasihatkan pelajar dan rakyat Malaysia yang menetap dan bekerja di Mesir, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan PETRONAS mengambil langkah keselamatan dan mengelak berada di tempat berisiko tinggi tercetusnya rusuhan.
Keadaan tegang di Kaherah digambarkan kumpulan pelajar Malaysia yang tiba di Lapangan terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 6.30 petang semalam.
“Banyak sekatan jalan raya dan penduduk berkumpul untuk berdemonstrasi,” kata pelajar yang enggan namanya disiarkan.
Katanya, talian telefon bimbit dan internet juga terputus sejak Khamis menyebabkan mereka tidak dapat mengikuti perkembangan semasa selain menerusi radio.
Penerbangan dari Kaherah ke Kuala Lumpur MH 970 yang dijadualkan jam 12.15 tengah malam 29 Januari (waktu tempatan) ditunda ke jam 3 pagi kerana rusuhan itu.
Nurfatihah Ekram, 21, pelajar perubatan tahun dua Universiti Mansoura berkata, perasaannya terganggu sebaik sampai lapangan terbang apabila ada ura-ura pihak keselamatan Mesir mahu membatalkan semua penerbangan keluar.
“Nasib baik ramai pelancong membantah kerana mereka mahu keluar cepat dari Kaherah,” katanya.
Sebelum itu katanya, sebaik sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah, mereka terkejut keadaan terlalu sesak kerana penerbangan ditunda.
“Pihak keselamatan pula tidak membenarkan sesiapa yang tiba di lapangan terbang keluar dari terminal menyebabkan keadaan bertambah sesak,” katanya.
Katanya, persatuan pelajar Malaysia di Mesir juga membatalkan semua program sejak Khamis lalu berikutan laporan rusuhan berkenaan.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof Rujhan Mustafa yang dihubungi berkata, semua pelajar Malaysia selamat dan dipantau Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan.
Ditanya sama ada pelajar berkenaan akan dibawa pulang jika keadaan semakin meruncing, beliau berkata, pihaknya sentiasa mendapat perkembangan semasa dari Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Mesir dan keputusan berkenaan hanya ditentukan Majlis Keselamatan Negara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: