GAYA PENGHIBUR...Yuna turut menghiburkan tetamu pada petang itu.
SEKIAN lama berteka-teki mengenai hubungannya dengan pengacara dan pelakon Qushairi atau Qi, penyanyi wanita popular masa kini, Yuna akhirnya memberi jawapan sebenar siapakah jejaka kacak itu di hatinya.
Dan sebenarnya... Qi tidak lain daripada teman lelaki yang paling istimewa dalam hidup Yuna ketika ini.
Lebih jauh daripada itu, Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Zarai, 23, mengharap�kan hubungannya dengan Qi (disebut Chi), 34, itu akan berakhir dengan sempurna apabila sampai masanya nanti. Malah, Yuna juga tidak menolak sekiranya dia dan Qi bertemu jodoh kelak.
“Saya memang sangat ‘boyish’ dan semua kawan saya adalah lelaki termasuk pemuzik band dulu. Tapi, saya hanya anggap mereka seperti abang angkat saya saja. Kawan perempuan pula hanyalah Wawa (pengurus).“Sekarang, Qi adalah kawan lelaki yang paling rapat dan istimewa dalam hidup saya. Saya selesa berkawan dengan Qi kerana kami ada minat yang sama dalam bidang muzik. Qi seorang yang ‘cool’, kelakar, khlas dan jujur dalam persahabatan.“Memang beza umur kami jauh tapi minat kami cukup mendalam dalam bidang muzik walaupun genre muzik kami berbeza. Saya minat akustik dan Qi pula minat `house music’. Pada masa sama, hubungan kami juga direstui keluarga kedua-dua belah pihak. Semoga peminat doakan yang terbaik buat hubungan kami nanti,” katanya.
Namun, buat masa ini, Yuna tidak mahu terlalu mengheboh�kan hubungannya dengan Qi kepada peminat.
“Hubungan kami masih dalam fasa awal lagi dan dalam proses mengenali hati budi lagi. Bukannya kami hendak berkahwin esok atau dalam tempoh terdekat ini. Perkara itu juga masih jauh lagi kerana saya sibuk dengan album baru dan Qi juga sibuk dengan kariernya. Banyak lagi perkara lain yang saya boleh cerita dengan peminat.
“Saya tidak mahu cerita peribadi diperbesarkan kerana perlu menjaga nama baik keluarga yang cukup rapat dalam hidup saya.
Pada masa sama, saya tidak mahu bila cerita seperti ini dihebohkan nanti peminat hilang fokus pada karier muzik saya. Hidup saya gembira ketika ini dan ingin fokus pada karier muzik yang dicintai ini,” katanya.
Perkenalan Yuna dan Qi bermula ketika mereka sama-�sama menjayakan program realiti Kamilah Bintang Coca-Cola pada tahun lalu. Hubungan mereka mula dihidu ramai apabila hadir bersama sedondon ketika Shout Awards!, di Stadium Bukit Jalil Kuala Lumpur, November tahun lalu. Kedua-duanya juga sering dilihat bersama menghadiri beberapa majlis lain selepas itu.
Yuna ke New York bulan depan
DEMI merealisasikan impian menempa nama di persada muzik antarabangsa, Yuna terpaksa berjauhan dengan keluarganya selama beberapa bulan.
“Hubungan saya dan keluarga cukup rapat terutama nenek dan datuk malah keluarga juga menyokong karier muzik saya sejak dulu. Justeru, saya tetap meluangkan masa untuk berjumpa keluarga di Malaysia dua bulan atau seminggu sekali sekalipun sibuk dengan projek album dan persembahan di luar negara,” katanya.
Kata Yuna, dia yakin muziknya diterima di peringkat antarabangsa.
“Saya juga sudah mengikat kontrak dengan syarikat Fader Label yang berpusat di New York sebelum Krismas, tahun lalu.
“Syarikat ini juga mempunyai beberapa artis antarabangsa yang lain bernaung di bawah pengurusannya. Mengikut kontrak, saya akan buat satu EP dan satu album dengan mereka,” katanya.
Setakat ini, kata Yuna, dia sudah merakamkan 10 lagu untuk album barunya itu.
Insya-Allah, saya akan muncul dengan 3 lagu untuk EP (album mini). Tiga atau empat lagu ini untuk memperkenalkan nama saya di peringkat antarabangsa dan selepas itu, barulah saya akan muncul dengan album penuh pula.
“Saya juga sudah bersedia menembusi pasaran muzik antarabangsa berdasarkan impak yang saya terima daripada peminat di sana sebelum ini. Saya juga merakamkan album Decorate di Amerika Syarikat sebelum ini.
“Saya juga dapat maklum balas, orang sana juga suka lagu Gadis Semasa nyanyian saya dan mereka kata lagu itu bagus,” katanya.
Yuna berkata, dia akan ke New York selepas menjayakan rakaman program realiti TV Yuna Inspired, di London selama empat hari pada awal Februari ini.
“Saya pernah bekerja di London dan merakamkan beberapa lagu di Kenselton Studios di sana. Dalam perjalanan, saya akan ke New York pula untuk buat rakaman album dan menjayakan persembahan sekali. Selepas itu, saya mungkin akan ke Los Angeles pula selama beberapa bulan seperti yang saya beritahu sebelum ini,” katanya.
Ditanya sama ada dia akan membawa pemuziknya sekali, kata Yuna, dia memang ada perancangan ke arah itu.
“Buat permulaan, saya akan ke luar negara ditemani Wawa nanti. Pada masa sama, saya juga merancang untuk membawa pemuzik saya iaitu Paan atau Aidil sekali bersama-sama saya ke sana kerana mereka berada di sisi saya sejak hari pertama saya berkecimpung dalam bidang muzik lagi.
“Saya benar-benar ingin membawa mereka sekali ke sana bila keadaan saya sudah kukuh di sana,” katanya yang bakal mengeluarkan jenama pewangi sendiri tidak lama lagi.
Teruja jayakan program sendiri, Yuna Inspired
YUNA Inspired cukup bermakna buat penyanyi berbakat besar Yuna kerana akhirnya mempunyai program realiti TV sendiri. Program sebanyak 24 episod ini memaparkan
perjalanan dan penerokaan muzik Yuna khusus sebagai penghargaan kepada peminat yang menyokong karier muzik�nya selama ini.
Berkongsi lanjut mengenai program itu, kata Yuna yang mengakui dirinya pemalu, mengakui tidak suka menjadi perhatian ramai pada peringkat awal.
“Semuanya berubah apabila ditawarkan penerbit untuk buat program ini. Saya juga tertarik untuk menjayakannya kerana ia bercerita mengenai latar belakang muzik saya serta perkembangan terkini karier muzik saya.
“Program ini menceritakan cinta saya yang mendalam pada bidang muzik dan mendedahkan aktiviti belakang tabir dan penerokaan muzik di London dan Amerika Syarikat,” katanya.
Yuna ditemui pada majlis pelancaran Yuna Inspired Powered By DiGi, di Ampang, baru-baru ini.
Tambah Yuna lagi, program realiti TV itu membolehkan dia berinteraksi dengan peminatnya.
Katanya, antara aktiviti yang akan ditonjolkan dalam Yuna Inspired ialah sesi rakaman lagu dan beberapa persembahan bakal di jayakan di luar negara.
“Peminat juga berpeluang berinteraksi bersama saya di laman web dan menyertai pertandingan mencipta sebaris lirik lagu baru untuk saya. Pemenang terpilih berpeluang mendapat hadiah ke konsert rahsia saya nanti. Setakat ini, saya sudah merakamkan lapan episod daripada 24 episod dari penghujung tahun lalu di Kuala Lumpur,” katanya.
Program realiti itu juga akan disiarkan menerusi laman sosial www.yunainspired.com pada 14 Februari, sekali gus memberi peluang kepada peminat untuk mendekati dan berinteraksi dengannya. Program ini bakal disiarkan di saluran Astro Hitz TV (saluran 705) bermula 27 Februari depan.
PROFIL
NAMA SEBENAR: Yunalis Zarai
ASAL: Alor Setar, Kedah
TARIKH LAHIR: 14 November 1986
UMUR: 24 tahun
KERJAYA: Penyanyi, komposer dan duta produk
STATUS: Bujang
ALBUM: Decorate
PRODUK: Duta produk Libresse
PENCAPAIAN: Popstar Award, Break Out Award (Artis Baru), Ultimate Shout! Award; Artis Baru Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009; Pemenang tempat kedua, Anugerah Juara Lagu 2009 (AJL2009) menerusi lagu Dan Sebenarnya itu, Anugerah Industri Muzik ke-17 dengan memenangi empat anugerah iaitu Artis Baru Terbaik, Lagu Inggeris Tempatan Terbaik (Deeper Conversation), Lagu Pop Terbaik (Dan Sebenarnya) dan Lagu Terbaik (Dan Sebenarnya).
LAGU LAIN POPULAR: Cinta Sempurna, Gadis Semasa dan Penakut
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: