SEAWAL promosi filem Haq terbitan KasihDia Pictures tahun lalu, ramai sudah memperkatakan mengenai watak Bad, lakonan Adi Putra yang beraksi panas dengan Zahra (Nanu Baharudin).
Fakta menarik pada majlis previu filem itu malam kelmarin, watak Bad juga sebenarnya turut menjadi idaman Zul Huzaimy yang memegang watak Haq. Namun, sebaik saja produksi memulakan sesi latihan, watak Bad diserahkan kepada Adi Putra.
Kata Zul Huzaimy, sebaik saja mendapat skrip filem itu, dia begitu inginkan karakter Bad yang berdengki dengan saudara lelakinya sendiri kerana memiliki kuasa luar biasa. Cemburu dan berasakan dirinya tidak disayangi keluarga, Bad kemudian melarikan diri. Kepulangannya, bagaimanapun menimbulkan seribu satu persoalan apabila dia juga memiliki kuasa luar biasa.
“Saya sukakan perjalanan cerita Haq. Awalnya saya minta produser untuk melakonkan watak antagonis itu, namun dia tidak setuju. Mungkin mereka rasa saya selalu membawakan watak sedemikian dan ada baiknya saya menjadi Haq. Sebagai pelakon, sudah tentu saya kecewa kerana tidak dapat melakonkan watak yang begitu kuat pada pandangan saya,” katanya.Begitupun, apabila latihan dilakukan sehinggalah selesai penggambaran, pandangan Zul Huzaimy terhadap watak Haq tiba-tiba berubah.“Selepas menjayakan watak Haq, barulah saya nampak pandangan produser terhadap penampilan saya bagi watak itu. Watak Haq adalah seorang yang jujur,” katanya.Menyaksikan persembahan Zul Huzaimy, dapatlah dikatakan ia sama sekali tidak mengecewakan, malah dia mampu membawakan wataknya dengan berkesan terutama dalam babak pertarungan. Aksinya nampak kemas dan meyakinkan.
Jelas Zul Huzaimy, pengalaman membabitkan diri dalam filem aksi sebelum ini antaranya Anak Halal dan Kl Gangster, banyak membantu. Bagaimanapun, latihan masih perlu sebelum penggambaran agar semuanya nampak lebih hidup.
Zul Huzaimy juga tidak menghadapi masalah untuk bergandingan dengan pelakon lain terutama Adi Putra kerana mereka sebelum ini pernah bertemu dalam filem Anak Halal. Menariknya, dalam kedua-dua filem itu, mereka masih lagi menjadi seteru.
Sebelum ini sewaktu sedutan filem Haq ditayangkan menerusi laman web bagi mempromosikannya, ramai memperkatakan gaya maskulin Adi Putra yang asyik menayangkan susuk tubuhnya itu.
Melalui previu itu, aksi panas yang hangat diperkatakan sebelum ini bagaimanapun tidaklah sehangat mana. Cuma penampilan Adi yang kerap tidak berbaju menyebabkan banyak suara nakal menggelarkan dia sebagai simbol seks.
Secara keseluruhan, Adi mempunyai pandangan tersendiri mengenai Haq. Katanya, apa yang dipaparkan dalam Haq adalah fakta dan kenyataan. Ia memaparkan kepincangan yang berlaku dalam masyarakat masa kini.
“Contohnya, kalau kita tengok sekarang, banyak masalah sosial berlaku dalam masyarakat kita dan antara paling banyak berlaku sekarang adalah pembuangan bayi. Kita kena lihat perkara ini dengan lebih mendalam. Jadi, aksi saya dalam Haq adalah hendak menunjukkan bagaimana kejahatan Bad dan bagi menghidupkan lagi jalan cerita,” katanya.
Mengulas aksinya yang berani, jelas Adi Putra, pada peringkat awal dia rasa gemuruh, namun atas rasa tanggungjawab bagi menjayakan watak itu membuatkan dia nekad melakukan yang terbaik.
Menyentuh mengenai kebanyakan babaknya yang tidak berbaju pula, Adi Putra akui pada peringkat awal dia rasa segan kerana harus menayangkan badan di depan kamera dan kru di lokasi.
“Namun mereka yang berlakon dalam Haq semuanya profesional, jadi lama-kelamaan perasaan segan itu hilang dengan sendirinya. Saya cuba memberikan yang terbaik untuk Haq,” katanya.
Bercerita mengenai babak aksi , jelas Adi Putra, pernah satu ketika kerana ia menuntut begitu banyak tenaga, dia pernah hampir pengsan.
“Saya tidak tahu mengapa kerana sedang menjayakan babak itu kepala tiba-tiba berpusing dan rasa hendak pengsan. Mungkin waktu itu badan kurang gula. Tapi mujur ia berlaku seketika dan kerja penggambaran dapat dilakukan semula selepas berehat buat seketika,” katanya yang harus melakukan latihan hampir setiap hari bagi adegan pertarungan.
Selain Zul Huzaimy, Adi Putra dan Nanu, turut membintangi filem ini, Raja Farah, Fatimah Abu Bakar, Zulkifli Ismail, Ammar Adli Mohamed Norin dan Airul Adli Mohamed Norin.
PROFIL
NAMA PENUH: Zul Huzaimy Marzuki
PANGGILAN: Zul Huzaimy
TARIKH LAHIR: 12 Disember 1978
USIA: 33 Tahun
TEMPAT LAHIR: Grik, Perak
KELULUSAN: Diploma Seni Persembahan, Akademi Seni Kebangsaan (ASK)
KERJAYA: Pelakon
FILEM: Haq, Lembing Awang Pulang Ke Dayang, Wayang, Senario The Movie: Episode 1, Anak Halal, Impak Maksima, Cinta Yang Satu, Syaitan, Remp-It, KL Menjerit, Lang Buana
DRAMA: Antaranya Ombak Laut Cina Selatan, Salam Sakaratul Maut, Kelab Wayang Gambar, Pantang, Salam Terakhir, Cinta Sang Gembala, Semanis Buah Ceri, Pusaraku Pelamin Ayah, 3 Dara, Kau Laksana Bulan, Lembrata Pak Lang Husin, Mentari Jingga, Bukan Aku Tak Cinta, Denai Berbisik
TEATER: Hamlet, Alang Rentak Seribu, Tengku Anum, Gedebe
PENCAPAIAN: Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-21
PROFIL
NAMA PENUH: Mohamed Hadi Putera Halim
PANGGILAN: Adi Putra
TARIKH LAHIR: 26 Februari 1981
USIA: 31 tahun
TEMPAT LAHIR: Singapura
KELULUSAN: Diploma Kejuruteraan Penerbangan, Institut Pendidikan Teknikal Singapura
KERJAYA: Pelakon, penyanyi
DRAMA: Haryati 2, Aku Cinta Padamu, Kelahiran Teristimewa, Akukah Tanggang, Mat Jenin, Mya Zara, Kala Hati, Na O Mei, Air Mata Salina, Emily, Cinta, Dakapan Senja, Kasih Relaku Pujuk
FILEM: Anak Halal, Akhirat, Histeria, Hanyut, KL Gangster
TEATER: Rubiah, Sri Mersing.
ALBUM: Kelahiran (2008)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: